Scorpio ialah buruj (kumpulan bintang) yang boleh dilihat di kedua-dua hemisfera Utara dan Selatan. Scorpio ialah lambang zodiak kelapan dan salah satu buruj paling terang di langit. Dalam mitologi, Scorpio melambangkan serangga yang menyebabkan kematian Orion. Buruj ini terdiri daripada suatu barisan panjang bintang yang cerah yang menyerupai bentuk kala jengking. Ia mempunyai bahagian tengah berwarna merah yang ditandai oleh bintang raksasa merah yang cerah iaitu Antares. Sengatnya ditandai oleh bintang Lambda Scorpii, yang juga dikenali sebagai Shaula , iaitu nama yang berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud sengat. Buruj ini mengandungi bintang lota yang kilauannya kira-kira 200 000 kali lebih kuat daripada matahari. Scorpion jelas terpampang pada latar belakang Bima Sakti dan mengandungi beberapa gugusan bintang yang menakjubkan. Ini termasuk M4 (berhampiran Antares), iaitu objek yang dapat dikenal pasti dengan mudah melalui teropong, dan M6 dan M7, yang dapat dilihat dengan mata kasar. Matahari melintasi buruj ini dalam masa yang singkat pada minggu akhir bulan November. Lihat juga Astrologi; Astronomi; Zodiak. |