Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
apa yang betul polisim atau polisemi? bolehkah bagi contoh-contoh polisemi seberapa banyak yang boleh. | Polisemi - (Lin) sesuatu bentuk kata, ungkapan, dsb yg mempunyai lebih drpd satu makna yg bertalian rapat antara satu sama lain. Contoh: Kepala: - kepala (bhgn tubuh), kepala surat, kepala angin, kepala santan dsb. | Lain-lain | 26.06.2009 |
Bolehkah anda kenal pasti kesalahan dalam ayat berikut? 1.Kemeja yang tersinggung pada paku di dinding itu diambil oleh kakak untuk dicuci. 2.Ketika berasak-asak hendak menaiki bas, siku Marlia tersinggung kepala seorang kepala kanak. 3.Hati-hati ketika berbicaragadis itu kerana hatinya mudah tersinggung. 4.Kadang-kadang kata-katanya tersinggungperasaan orang lain. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan tersinggung ditakrifkan sebagai 1. terkena, terjamah, tersentuh; 2. disakiti hati (terhina dll): kalau hatinya ~ sedikit, sampai seminggu dia merajuk; mudah ~ mudah sakit hati; ~ lebih bak kena prb mudah berasa hati manakala menyinggung ditakrifkan sebagai 1. menolak (menghentak, memukul) dgn siku, menyenggol, menyigung: ia kelihatan ~ kawan-kawannya dgn siku; 2. mengenai sedikit, menyentuh; 3. menyebut-nyebut sesuatu (dlm ucapan, karangan, dll), membicarakan sedikit, menyentuh: jalan cerita ini susah diikuti oleh pembaca kerana banyak perkara dan orang yg disinggung secara sepintas lalu; 4. menyakiti atau melukai hati (perasaan dll): perkataannya selalu menyebut hal yg kadang-kadang ~ hati isterinya; 5. menodai (nama baik seseorang dll): dia tidak akan membiarkan orang ~ nama baik keluarganya dgn sewenang-wenangnya; ~ mata bisul orang prb menyakiti hati orang lain dgn sindiran dll (dlm sesuatu perjumpaan dll). Berdasarkan huraian tersebut, saudara boleh mendapatkan jawapan pada pertanyaan yang dikemukakan. | Tatabahasa | 13.12.2010 |
1. "Kepala" seluar itu telah koyak. Penggunaan "kepala" dalam ayat ini betul ? Atau ialah Bahagian atas seluar? 2. Hei , jangan bermain dengan mancis! Penggunaan kata seru " Hei " dalam ayat ini betul ? Terima kasih. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, penggunaan perkataan kepala pada pakaian selalunya merujuk kain (sarung), Oleh itu, dicadangkan penggunaan untuk seluar ialah bahagian atas seluar. 2. Hei bukan kata seru. Ayat ini merupakan ayat larangan yang menggunakan kata larangan jangan sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu . | Tatabahasa | 28.06.2010 |
GARIS PANDUAN KEPALA SURAT JABATAN KERAJAAN YANG TEPAT | Untuk makluman, DBP tidak menyediakan panduan kepala surat. Puan boleh merujuk Pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan mengenai format tersebut.
| Lain-lain | 04.09.2013 |
Rujukan sajak bertajuk Di Perpustakaan.Karya Shafie Abu Bakar. | Di Perpustakaan Melangkah ke ruangmu satu pertukaran yang kontras dari kehangatan merata ke kedinginan yang menerpa terlalu hening di sini gua pendeta bersemadi di puncak sepi di sana sini kepala-kepala runduk meneliti mata dan fikir bersebati. Maju ke ruang buku terlalu kerdil aku di sini terapung di laut ilmu tercurah berzaman dalam tak terselam betapa pun kulayari bahtera ilmu di sini tak terteroka yang akan kucatat hanya setitik dari tinta yang akan kupetik hanya sebiji dari mutiara engkau adalah pusaka moyang gedung peradaban insan terhimpun berzaman. bersemadi di sini aku adalah pelayar yang dahaga di dada samudera tak berpantai betapa pun keteguk darinya dahaga tak pernah langsai | Lain-lain | 28.03.2010 |
Perkataan 'ulu' terdapat takrifan sebagai kepala benda dalam bahasa sukuan ( Bisaya). Adakah ianya boleh diterima sebagai istilah bahasa melayu. Masalah saya ialah saya mengajar murid perkataan ulu dengan merujuk kepada kepala benda. Contoh ppt dilampirkan (email pd En Sulaiman). Adakah ianya satu kesalahan dan perlu saya perbaiki. Dalam buku Panduan Pengurusan Pemulihan Khas terbitan Jabatan Pendidikan Khas KPM juga digambarkan ulu sebagai kepala benda( keris). Tarima kasih | Dalam hal ini kami berpegang pada Kamus Dewan yang menggunakan frasa hulu keris bukan ulu keris, kerana ulu tidak ada dalam entri Kamus. Untuk makluman saudara, lazimnya pengambilan daripada bahasa sukuan dilakukan apabila tidak ada bahasa/istilah dalam bahasa Melayu. Kami mencadangkan saudara menggunakan perkataan yang standard dan telah diseragamkan iaitu hulu kerana kata tersebut juga mengandungi maksud ulu. | Tatabahasa | 29.04.2010 |
Salam, Saya ingin mengetahui istilah sebenar yang digunakan bagi pemutar skru dan skru seperti yang ditunjukkan dalam gambar (seperti yang dilampirkan). Untuk makluman tuan, istilah yang selalu diguna pakai (secara tidak rasmi) adalah pemutar skru mata philips, pemutar skru mata rata, manakala bagi skru pula istilah yang selalu diguna pakai ialah skru kepala philips dan skru kepala belah atau kepala rata. Mohon bantuan dari pihak tuan kerana tiada rekod dalam www.prpn.dbp.gov.my. saya juga telah membuat rujukan dalam internet melalui web-web tertentu tetapi semua istilah yang diguna pakai adalah tidak sama. Segala kerjasama dari ppihak tuan, diucapkan jutaan terima kasih. | Istilah bahasa Melayu untuk gambar yang diberikan adalah seperti yang berikut: 1. Phillips screw driver - pemutar skru Phillips 2. screw driver - pemutar skru (tidak ada istilah pemutar skru mata rata) 3. Phillips screw head - skru Phillips 4. slot head screw - skru ulir | Istilah | 11.10.2012 |
Salam, apakah istilah atau perkataan yang sesuai untuk aksi mengimbangkan badan dengan menahan kepala di bawah manakala kaki dalam keadaan lurus ke atas? Terima kasih. | Istilah yang betul ialah balik jungkir, iaitu kepala di bawah, kaki di atas. | Tatabahasa | 29.10.2013 |
NO PORK, NO AFTER-TASTE, NO HEADACHE. bolehkah diterjemah sebagai TIADA DAGING HARAM, TIADA RASA PAHIT, TIADALAH/HILANGLAH SAKIT KEPALA ? | Tiada daging babi/khinzir, tiada kesan, tidak memeningkan kepala | Ejaan | 09.08.2006 |
Apakah maksud ayat ini: Dia memarang hulu baginda itu lalu mangkat. | Dia menetak (dengan parang) kepala baginda lalu mati. Memarang - menetak, memotong dll dengan parang Hulu - Kepala (sastera lama) | Makna | 08.02.2009 |
|
Tesaurus |
---|
| kepala (kata nama) | 1. Bersinonim dengan jemala: tendas, akal, otak, fikiran, minda,
2. Bersinonim dengan ketua: pemimpin, penghulu, pengurus, pengelola, kapten, batin, pengarah, penggawa,
mandur, penyelia, majikan, presiden, raja, imam, penasihat, guru, pemandu, khalifah,
lurah, gabenor, nakhoda, juragan, jurumudi, panglima, hulubalang, sintua, juara, tekong,
3. Dalam konteks surat bersinonim dengan tajuk, pendahuluan, permulaan,
4. Dalam konteks perkiraan bersinonim dengan orang, individu,
5. Bersinonim dengan tangkai: hulu, pemegang,
| Kata Terbitan : berkepala, berkepalakan, mengepalai, |
|
Puisi |
---|
|
Kain pelikat kepala dua, Jahit dengan benang masturi; Sudah berpakat kita berdua, Cakap orang jangan peduli.
Lihat selanjutnya... |
|