Nabi Yakub a.s. ialah bapa kepada 12 buah puak. Baginda merupakan sandaran bagi bangsa Bani Israel . Baginda digelar Israel yang bermakna roh Allah dalam bahasa Ibrani. Nabi Yakub a.s. lahir di Kanaan (Palestin). Kemudian, Nabi Yakub a.s. dibesarkan di bawah jagaan bapa baginda, Nabi Ishaq ibn Ibrahim a.s. Ketika dewasa, ibunya menyuruh Nabi Yakub a.s. pergi bermusafir menemui bapa saudara sebelah ibunya di Iraq kerana ibunya takut saudaranya itu berasa marah sekiranya dia tidak menunaikan janjinya dulu. Di sana , Nabi Yakub a.s. mengahwini dua orang anak perempuan pak ciknya. Nabi Yakub a.s. juga diberikan jariah untuk kedua-dua orang isterinya itu. Selepas itu, keempat-empat orang wanita ini telah melahirkan 12 orang anak yang diberi gelaran asbat (puak). Setiap mereka inilah yang menjadi bapa kepada puak-puak Bani Israel. Penglihatan Nabi Yakub a.s. pernah hilang akibat terlalu sedih mengenangkan nasib anaknya, Nabi Yusuf a.s. yang telah disingkir oleh saudara-saudaranya melalui konspirasi jahat mereka. Namun, Allah SWT telah mengembalikan penglihatannya setelah dia menerima baju anaknya, Nabi Yusuf a.s. Nabi Yakub a.s. dapat berjumpa semula dengan anaknya itu selepas lama kehilangannya, serta lama menanggung kesedihan dan penderitaan yang berat. Nabi Yakub a.s. wafat di Mesir setelah 17 tahun duduk bersama anak kesayangannya Nabi Yusuf a.s. |