Skoliosis ialah lengkung ke sisi yang berlaku pada tulang belakang. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini begitu ketara ketika remaja ataupun ketika masih kanak-kanak lagi. Skoliosis lebih banyak menjejaskan kanak-kanak perempuan daripada laki-laki, tetapi para doktor belum dapat menjelaskan sebabnya. Kes yang sudah teruk boleh menyebabkan kecacatan bentuk yang parah yang boleh mengganggu perjalanan jantung, paru-paru, dan sistem saraf. Kecacatan bentuk yang sedemikian boleh juga membawa kepada masalah psikologi. Para doktor masih belum dapat mengetahui puncanya yang menyebabkan kebanyakan kes skoliosis ini, walaupun ada sesetengahnya berpunca daripada penyakit otot atau kecacatan sejak lahir. |