Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bukan mudah untuk / bagi saya belajar kemahiran ini. Kata sendi 'untuk' atau 'bagi' sesuai digunakan dalam ayat di atas? Setahu saya kedua-dua kata sendi tersebut tiada perbezaan dalam penggunaan. Betulkah? | Kata sendi nama untuk dan bagi sama penggunaannya dan fungsinya untuk menunjukkan kegunaan untuk semua, seperti dalam ayat; Bukan mudah untuk / bagi saya belajar kemahiran ini. Walau bagaimanapun untuk menyatakan maksud bahagian yang dikhususkan kata sendi nama "untuk" sahaja digunakan, seperti contoh ayat; Hadiah itu untukmu. Dalam penggunaan yang demikian, "untuk" tidak boleh bertukar ganti dengan "bagi". Contoh: Hadiah itu untukmu (bukan: Hadiah itu bagimu), ayah membeli kereta untuk ibu (bukan: ayah membeli kereta bagi ibu). | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Untuk perkataan praktikum (istilah dalam pendidikan), apakah maknanya? | Untuk makluman, huraian untuk perkataan "praktikum" tidak terdapat dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam, huraian untuk "praktikum" ialah bahagian daripada pengajaran yang bertujuan agar siswa mendapat kesempatan untuk menguji dan melaksanakan dalam keadaan nyata apa-apa yang diperoleh dalam teori. | Istilah | 03.05.2013 |
Adakah kata sendi 'untuk' harus ada untuk tajuk buku berikut? 100 Cara Berjimat Cermat atau 100 Cara untuk Berjimat Cermat | Kata sendi nama "untuk" tidak perlu hadir dalam tajuk tersebut. Ungkapan "100 Cara Berjimat Cermat" boleh digunakan sebagai tajuk buku. | Tatabahasa | 13.06.2013 |
guna perkataan BM apa untuk "party popper"? | Untuk makluman, belum ada istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "party popper" dalam bahasa Melayu. Istilah ini akan dikemukakan kepada Bahagian Peristilahan dan Leksikologi untuk mendapatkan padanan bahasa Melayu yang sesuai. | Istilah | 14.05.2013 |
Apakah Imbuhan Asing yang boleh di gunakan untuk perkataan ' klinik' & 'fungsi' ? | Awalan asing seperti pra atau pasca boleh digunakan untuk menerbitkan kata nama untuk membawa maksud tertentu kepada kata yang mengikutinya termasuklah klinik dan fungsi. Contohnya, praklinik dan tatafungsi. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan untuk mengenal pasti awalan mana yang sesuai dengan kata tersebut. | Tatabahasa | 20.05.2013 |
CEK PAPAN TANDA | Papan tanda yang dilampirkan tidak mempunyai bahasa Melayu untuk disemak. Untuk makluman tuan, Khidmat Pengesahan Bahasa, DBP menyemak papan tanda yang mempunyai perkataan bahasa Melayu sahaja. Sila masukkan aktiviti perniagaan seperti PEJABAT URUSAN, KILANG dan lain-lain. Seetelah membuat pembetulan, tuan hendaklah ke ruangan KHIDMAT PENGESAHAN BAHASA bukan KHIDMAT NASIHAT BAHASA untuk mendapatkan kelulusan papan tanda. | Tatabahasa | 28.10.2013 |
Apakah terjemahan terbaik untuk 'Meliponiculture', ternakan untuk kelulut atau lebah tak bersengat atau Trigona. | Untuk makluman, istilah "meliponiculture" tidak terdapat dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, padanan bahasa Melayu yang dicadangkan ialah meliponikultur. | Istilah | 10.11.2013 |
Kata perintah manakah yang betul untuk digunakan untuk ayat ini; ______ beri laluan. Makanan ini panas. Tolong beri laluan atau harap beri laluan. | Harap (haraplah) bermaksud hendaklah, mintalah, pohonlah; dan tolong bermaksud bantu.
Jawapan yang betul ialah harap beli laluan. | Tatabahasa | 19.07.2013 |
Salam. Saya ingin bertanya cadangan untuk terjemahan 'Rhinestone' dalam bahasa Melayu, yang kebiasaannya untuk barang kemas. Terima kasih | Untuk makluman, tidak terdapat istilah bahasa Melayu yang khusus untuk "rhinestone". Berdasarkan rujukan dalam internet, "rhinestone" juga dikenali sebagai "diamante". Padanan bahasa Melayu untuk "diamante" ialah permata atau manikam palsu. | Istilah | 11.10.2013 |
1) ADAKAH BANNER SAYA DITERIMA UNTUK DIGANTUNG DI RUANGAN IKLAN? 2) DIMANA RUANGAN UNTUK SAYA LAMPIRKAN BANNER SAYA UNTUK RUJUKAN TUAN/PUAN? | Untuk pengesahan iklan, sila layari laman web www.prpm.gov.my dan klik e-Perkhidmatan. Kemudian klik Khidmat Pengesahan Bahasa DBP. (bukan Khidmat Nasihat DBP) Skrin Daftar Masuk akan dipaparkan. Pengguna yang pertama kali berkunjung perlu mendaftar terlebih dahulu. Isikan maklumat yang diperlukan. Setelah selesai, klik "Daftar". Skrin Pengesahan Pendaftaran akan dipaparkan. Penuhkan ruangan yang disediakan untuk mengaktifkan akaun anda. Semak e-mel anda untuk mendapatkan Kod Pengaktifan. Brosur tentang Khidmat Pengesahan Bahasa ini boleh dimuat turun di laman web DBP. | Lain-lain | 02.05.2013 |