Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Tumbuh-tumbuhan menyerap air daripada akar kepada daun. atau Tumbuh-tumbuhan menyerap air dari akar ke daun. Munsyi, haraplah munsyi berikan tunjuk ajar TK | Tumbuh-tumbuhan menyerap air daripada akar kepada daun. Kata sendi nama dari untuk tempat dan masa, manakala kata sendi nama daripada untuk sumber, perbandingan dan sebagainya. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 268.
| Tatabahasa | 04.07.2012 |
Adakah ayat ini betul? 1- Adakah tumbuh-tumbuhan sejenis benda hidup? ataupun 2- Adakah tumbuh-tumbuhan benda hidup? | Ayat yang betul ialah; Adakah tumbuh-tumbuhan tergolong dalam kumpulan benda hidup? | Tatabahasa | 25.03.2010 |
Cantik kembang bunga melati, Tumbuh sebatang di tepi kota, Hilang tumbuh patah berganti, Adat pusaka terpelihara juga. Pergi ke pulau menggali ubi, Singgah ke beting dilayar juga, Sepuluh kali kita berbudi, Kalau miskin terbung jua. Pijak galah sambil berlari, Rupanya hujung sudah patah, Banyakkan usaha pada diri, Masa diri muda dan mentah. Jika masak pisang setandan, Mari disimpan dalam kereta, Jika ada tuah di badan, Kaca kupegang jadi permata. Kajang tuan kajang berlipat, Kajang saya mengkuang layu, Dagang tuan dagang bertempat, Dagang saya sidagang lalu. Anak Cina bertimbang madat, Dari Makasar langsung ke Deli, Hidup di dunia biar beradat, Bahasa tidak dijual beli. apa tajuknya? dan siapa yang tulis? | Jenis puisi yang di atas ialah puisi Melayu Tradisional yang dikenali sebagai PANTUN. Pantun ialah sejenis puisi Melayu lama yang diwarisi oleh orang Melayu daripada nenek moyang mereka sejak zaman-berzaman. Oleh itu, pantun tidak mempunyai pencipta yang khusus, kerana ia bersifat warisan. Secara keseluruhan pula, pantun di atas bertemakan budi dan adat bangsa Melayu. | Lain-lain | 23.06.2008 |
Salam sejahtera tuan. Peribahasa 'bagai cendawan tumbuh selepas hujan' membawa maksud apa dan biasanya digunakan dalam aspek apa? Bolehkah peribahasa ini digunakan dalam ayat yang berikut ini? - Belakangan ini, kongsi gelap yang terdapat di negara kita boleh dikatakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Maklum balas tuan amat dihargai. | Peribahasa "bagai cendawan tumbuh selepas hujan" bermaksud terlalu banyak pada sesuatu masa. Penggunaan peribahasa tersebut dalam ayat adalah betul. | Tatabahasa | 18.07.2013 |
Yang mana lebih betul:- 1) Biasanya, tumbuh-tumbuhan yang tidak berbunga mempnyai spora 2) Tumbuh-tumbuhan yang tidak berbunga biasanya menpunyai spora. Terima kasih | Kedua-da ayat ini betul. | Tatabahasa | 26.03.2010 |
1) Adakah Perang Badar tergolong dalam kata nama khas? 2) Aimah menghela nafas panjang. "Patah tumbuh..." Dia mengesat air mata lalu menyambung, "Hilang berganti." Soalan: Patah tumbuh hilang berganti ialah peribahasa. Sekiranya dimasukkan dalam dialog seperti di atas, adakah 'hilang berganti' ditulis menggunakan huruf kecil pada pangkalnya? 3) Ada dua cara menggunakan tanda koma melalui pembacaan saya. a) Dia suka mengemas, mencuci dan memasak. b) Dia suka mengemas, mencuci, dan memasak. Menurut Nik Safiah Karim dalam buku Bimbingan Pelajar: Bahasa Kita, ayat b yang betul. Ini bagi mengelakkan kekeliruan. Bagaimana dengan pendirian DBP sendiri. A atau b yang betul dan sekiranya jawapannya berbeza daripada Nik Safiah Karim, mohon tuan yang bijaksana jelaskan hujahnya. | 1) Perang Badar ialah kata nama khas. 2) Frasa 'hilang berganti' ditulis menggunakan huruf kecil pada pangkalnya, dalam rangkaian peribahasa hanya perkataan pertama ditulis dengan huruf besar. 3) Kedua-duanya betul. Penggunaan tanda koma sebelum dan lebih kepada gaya penulisan. Lazimnya tanda koma digunakan apabila menulis perkara yang bukan daripada kategori yang sama, seperti Emak ke kedai membeli ikan, sotong, ketam, dan bakul. | Tatabahasa | 29.11.2011 |
Apakah maksud cabang? Terdapat pelbagai maksud bukan? Apakah maksud cerah? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, cabang bermaksud 1. bahagian yg tumbuh dr batang atau dahan pokok: daun tumbuh di ~; 2. bahagian hujung yg berpecah spt dua jari terbuka (bkn galah, lembing, tongkat); besi ~ tiga trisula; 3. bahagian atau bahagian kecil pd tanduk rusa dsb; 4. bahagian atau bahagian kecil sesuatu jalan (sungai, jalan kereta api, dsb) yg berpecah dr bahagian yg utama: ~ jalan; sungai itu banyak ~nya; 5. cawangan: Malayan Banking Berhad mempunyai banyak ~nya di seluruh Malaysia; 6. bahagian atau bahagian kecil drpd sesuatu lapangan pengetahuan (rumpun bahasa, bangsa, dsb): botani ialah ~ biologi; bahasa Melayu ialah ~ rumpun bahasa Melayu-Polinesia; 7. golongan masyarakat: ia dilahirkan dlm kalangan kaum menak, kaum bangsawan ~ atas; ~ buaya = ~ perahu kayu bercabang pd rangka badan perahu; ~ guling cabang pd haluan atau belakang perahu; ~ tenggorok bahagian kecil dr batang tenggorok, bronkiol; Manakala cerah pula bermaksud 1. terang (bkn hari, bulan, lampu, langit, dll): hari sudah ~; 2. jernih (bkn kaca dll); 3. tidak hitam, agak putih (bkn kulit): kulitnya ~; 4. berseri, tidak muram (bkn rupa muka): wajah Cikgu Seman belum ~ betul; 5. ki baik, bahagia, elok: kehidupan mereka menjadi bertambah-tambah ~; 6. ki berakal, cerdik: mujurlah Abang Mat tu ~ sikit; ~ ceria terang lagi bersih (bkn udara, cuaca, dll); ~ kulit tidak hitam (dan tidak putih benar); | Lain-lain | 04.09.2010 |
saya ingin bertanya, adakah imbuhan pe/peng juga boleh merujuk kepada binatang dan tumbuh-tumbuhan? saya ingin mendapatkan takrifan bagi perkataan pengguna. contoh : pak mat membeli freskis untuk kucingnya tompok. pak mat tidak makan freskis itu. tompok yang makan. siapakah pengguna freskis itu? pak mat atau tompok? atau kedua-duanya? terima kasih. . | Pengguna bermaksud orang dan lain-lain yang menggunakan termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Hal ini boleh dijelaskan melalui konteks ayat atau penceritaan dalam ayat. Berdasarkan contoh ayat yang diberikan mudah untuk kita menentukan siapa yang menggunakan/makan makanan tersebut. | Tatabahasa | 04.12.2012 |
Apakah nama untuk daging yang tumbuh di sisi kuku dan di pangkal kuku, yang lazimnya perlu dibuang tetapi tidak menyakitkan apabila dipotong? Terima kasih. | Adakah yang tuan maksudkan ialah kematu, lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=kematu untuk melihat maksud yang tersebut atau melihat carian/dapatan lain yang tuan maksudkan. | Tatabahasa | 15.09.2013 |
Akar keladi melilit selasih Selasih tumbuh di hujung taman, Kalungan budi junjungan kasih, Mesa kenangan sepanjang zaman. Soalan: Dapatkah akar keladi melilit selasih? | Rangkap pantun tersebut hanya merupakan perlambangan bahasa yang mengindahkan lagi susunan bahasa dalam bidang sastera terutamanya dalam penulisan puisi. | Lain-lain | 18.05.2010 |
|
Tesaurus |
---|
| tumbuh (kata kerja) | Bersinonim dengan hidup bercambah, berkecambah, bertunas, berdaun, berhimpang, bercadung, beranak, subur, naik, terbit, timbul, muncul, keluar, membiak, menjalar, merebak;, | | Kata Terbitan : menumbuhkan, tumbuhan, tumbuh-tumbuhan, ketumbuhan, pertumbuhan, |
|
Puisi |
---|
|
Kacang kelisa tumbuh di dusun, Tumbuh sepohon di tiang layang; Kami menyambut bersusun-susun, Kerana meraikan pengantin datang.
Lihat selanjutnya... |
|