Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Adakah ayat-ayat berikut betul? 1 Beburung itu berkicauan pada waktu pagi. 2 Ayah menerima masak-masak cadangan kakak itu. | Ayat yang betul ialah 1. Burung itu berkicauan pada waktu pagi. 2. Ayah memikirkan masak-masak cadangan kakak itu. Untuk makluman, tidak ada perkataan beburung yang merujuk kepada burung. Memikirkan masak-masak ialah memikirkan dalam-dalam dan tidak ada menerima masak-masak. | Tatabahasa | 28.05.2011 |
Apakah yg dimaksudkan dengan sukan proaktif | Tidak ada maklumat tentang sukan proaktif dalam pangkalan data kami. Untuk makluman tuan proaktif bermaksud sikap positif (individu, institusi dll) merangka atau melakukan sesuatu tindakan (setelah difikir masak-masak) jauh lebih awal daripada berlakunya sesuatu perkara yang sememangnya memerlukan tindakan yang berkenaan (tindakan tidak dilakukan hanya setelah sesuatu hal itu berlaku). | Makna | 04.07.2013 |
Salam DBP, Saya ingin tahu sama ada ayat di bawah ini tepat atau tidak. 1) Emak masak lauk-pauk kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami. Menurut penulis buku berkenaan, bahagian yang salah ialah kata 'masak'. Menrutnya kata yang sesuai ialah 'bermasak-masak' seperti ayat yang berikut: Emak bermasak-masak lauk-pauk kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami. Menurut Kamus, 'bermasak-masak' bermaksud 'sedang membuat lauk-pauk (kuih-muih dll) Tolong jelaskan kepada saya. Terima kasih. | Emak bermasak-masak lauk-pauk kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami. Ayat ini kurang tepat atau lewah kerana bermasak-masak bermaksud sedang membuat lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya sepatutnya ayat ini menjadi Emak bermasak-masak kerana ada tetamu yang akan datang ke rumah kami.
| Tatabahasa | 19.05.2011 |
Saya mendapati perkataan "masak" bersinonim dengan "matang", jadi boleh puan jelaskan dengan selanjutnya perbezaan antara dua perkataan ini ? "Buah-buahan masak" atau "Buahan-buahan matang."? Terima kasih puan. | Salam sejahtera, Frasa yang betul ialah 'buah-buahan yang masak' atau 'buah-buahan yang matang' Sekiranya saudara merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat saudara akan dapat melihat perbezaanya. Untuk memudahkan saudara, saudara boleh layari laman web http://prpm.dbp.gov.my dan masukkan perkataan masak atau matang di kotak cari untuk mengetahui perbezaan di antara kedua-dua perkataan tersebut. | Tatabahasa | 07.11.2012 |
nak tahu maksud sawo matang | Maksudnya buah ciku masak, selalunya merujuk pada warna kulit iaitu warna coklat kemerah-merahan iaitu warna buah ciku masak. | Makna | 03.11.2006 |
Salam 1Malaysia, 1. Frasa 'Kali pertama' atau 'Pertama kali' yang paling tepat untuk digunakan dalam penulisan? 2. Frasa 'gas memasak' atau 'gas masakan' atau 'gas masak' yang paling tepat dalam bahasa Melayu? Terima kasih. | 1. Frasa 'kali pertama' dan 'pertama kali', kedua-duanya betul bergantung pada aspek mana yang ingin ditekankan atau didahulukan. 2. Gas masak sama seperti minyak masak. | Tatabahasa | 11.09.2012 |
Pisang kapas yang masak empuk itu amat sesuai dibuat lepat. Adakah ayat ini mengandungi kesalahan tatabahasa? Terima kasih. | Ayat ini tidak salah dari segi tatabahasa tetapi salah dari segi semantik (makna). Umumnya kata empuk untuk masakan, misalnya ubi direbus hingga empuk. Untuk pisang disebut masak ranum. | Makna | 29.09.2011 |
tuan, terdapat kesalahan dalam soalan di bawah, 1 jarang benar air yang kau masak ini. 2. mereka melepaskan keletihan selepas senaman. terima kasih atas panduan tuan | 1. Jarang benar air yang kau masak ini. - ayat ini memang salah kerana jarang bermaksud tidak rapat atau renggang 2. Mereka melepaskan keletihan selepas senaman. - ayat ini kurang tepat tetapi boleh diperbetulkan menjadi 'Mereka melepaskan keletihan selepas bersenam.' | Tatabahasa | 29.03.2011 |
apakah perbezaan antara "setengah " dengan "separuh"? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, separuh bermaksud 1. setengah, seperdua: pantun yg saya nyanyikan itu ~ saya dapat drpd orang Kelantan dan ~ drpd Orang Laut; 2. tidak sepenuhnya, tidak seratus peratus (kira-kira 50%): pertandingan ~ profesional; ~ akhir pusingan atau perlawanan paling hampir sebelum ke peringkat akhir (bkn bola sepak dsb); ~ hati tidak sungguh-sungguh; ~ jalan sekerat jalan; ~ mahir belum cukup mahir atau terlatih sepenuhnya utk melakukan sesuatu pekerjaan khusus: pekerja ~ mahir; ~ masak setengah masak, belum masak betul; ~ mati setengah mati; ~ sedar tidak sedar sepenuhnya; ~ umur setengah umur; manakala setengah pula bermaksud 1. separuh, seperdua: luasnya tanah itu ~ ekar; bekerja ~ hari; 2. tidak sempurna, tidak sepenuh-penuhnya, tidak ... betul; 3. bp kurang waras fikirannya (otaknya, akalnya), agak gila: bercakap merepek-repek tidak tentu hala spt percakapan orang ~; 4. setengah-setengah. | Istilah | 04.08.2010 |
Pokok kelapa boleh diproses untuk dijadikan minyak masak. Pokok kelapa juga boleh dijadikan sabun. Lilin dan berus juga diperbuat daripada pokok kelapa. Soalan: Adakah ayat-ayat ini betul? Dan apa kesalahan yang terdapat dalam ayat tersebut? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah buah kelapa boleh diproses untuk dijadikan minyak masak. Minyak kelapa juga boleh dibuat sabun. Lilin dan berus diperbuat daripada minyak dan sabut kelapa. | Tatabahasa | 05.04.2010 |