Surah al-Baqarah ialah salah satu daripada surah-surah Madaniyyah, surah yang kedua mengikut susunan surah-surah al-Quran dan mengandungi 286 ayat. Surah ini dinamakan al- Baqarah (lembu betina) untuk mengingati mukjizat terbesar yang berlaku pada zaman Nabi Musa a.s. Ia mengandungi kisah seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah dibunuh. Pembunuhnya tidak dapat diketahui. Mereka mengemukakan perkara ini kepada Nabi Musa a.s. dengan harapan baginda dapat mengetahui siapa si pembunuhnya. Lalu Allah S.W.T. mewahyukan kepada Nabi Musa a.s. supaya memerintahkan mereka menyembelih seekor lembu betina dan memukul si mati dengan sebahagian dagingnya. Maka, dengan izin Allah S.W.T. si mati itu hidup semula dan memberitahu mereka siapa pembunuhnya. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah S.W.T. yang dapat menghidupkan makhluk sesudah ia mati. |