| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Apakah maksud pengkerawi? Sebagai rujukan, saya sedang membaca dan mengkaji "Kitab Tib, Ilmu Perubatan Melayu" nukilan Harun Mat Piah keluaran Perpustakaan Negara Malaysia. Pada ms 113, tertera sebuah doa yang sukar untuk saya fahami dalam konteks moden. Berikut merupakan doa tersebut: Bismillah ir-Rahman ir-Rahim Ah tawar maha tawar Tawar Allah tawar Muhammad Tawar baginda Rasulullah Tawar menitik dari dalam syurga jannatullah Sifat Allah yang memadamakan bisanya Aku tahu akan asalmu Dan keluarmu daripada asap api neraka Allah Pindah faraq pengkerawi Dengan berkat kata Lailahaillallah Muhammad Rasulullah Hanya perkataan pengkerawi tiada dalam laman web DBP dan Kamus Dewan Edisi Keempat. Terima kasih. | Perkataan pengkerawi belum dirakamkan di dalam kamus. Pemilihan perkataan untuk dimasukkan di dalam kamus berdasarkan korpus dan kekerapan penggunaan perkataan tersebut dalam pelbagai bahan. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan supaya tuan juga meneliti hasil kajian lain tentang Kitab Tib, Ilmu Perubatan Melayu untuk mendapatkan makna yang tepat. | Makna | 21.05.2025 |
| Assalamualaikum, tuan. Saya ada 2 soalan. 1. perkataan tawar-menawar perlu diikuti objek? 2. Kalau tiada objek, sudah dikira gramatis? Contoh: Pembeli dan peniaga tawar-menawar harga barang di kedai itu. Mohon pencerahan. Terima kasih | Perkataan tawar-menawar tidak semestinya perlu diikuti dengan objek. Sebagai contoh, Tawar-menawar sahaja sudah mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk satu barang. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021) halaman 2273. | Tatabahasa | 26.11.2025 |
| Sila gantikan perkataan yang berada dalam kurungan dengan perkataan yang betul dan tepat. (a) Cerita yang dibacanya tidak menarik dan (tawar). (b) Dia mendapat (tawar) kerja di syarikat perkapalan. (c) Dia (kosong) matanya kerana dimasuki habuk. (d) Penyewa rumah itu diminta (kosong) rumah secepat mungkin. (e) Dia (tapak) sahaja ke Bentong. (f) Ali duduk sambil (menduga) di atas tangga. (g) Halim (menduga) soalan itu dengan tepat. (h) Dia mengambil sekeping (bocor) dari atas meja itu. (i) Dia memasak kari dengan menggunakan (isi) lembu. | Untuk makluman tuan, kami menyediakan perkhidmatan bagi membantu pelanggan menangani permasalahan bahasa seperti ejaan, istilah dan tatabahasa. Contohnya, kekeliruan tentang ejaan yang betul, penggunaan istilah yang tepat bagi sesuatu terminologi dan permasalahan tentang tatabahasa. Kami dapati pertanyaan tuan bukanlah berkisar tentang permasalahan yang tersebut, tetapi lebih kepada memberikan jawapan kepada soalan yang dibekalkan seperti lazimnya soalan peperiksaan dan buku rujukan. Kami tidak menyediakan perkhidmatan memberikan jawapan kepada soalan yang dibina; sebaliknya pihak tuan perlulah merujuk kamus dan buku tatabahasa, atau berbincang dengan panel penggubal soalan yang lain. Jika ada pertikaian tentang sesuatu isu tatabahasa yang menjadi jawapan kepada soalan tersebut, seperti "menemukan mayat atau menemui mayat", tuan boleh menghubungi pihak kami semula. | Lain-lain | 08.12.2015 |
| Salam sejahtera, Adakah betul padanan antonim ini? pahit - manis masin - tawar Sekian, terima kasih. | Dalam data kami, pahit , masam, manis, masin dan pedas berantonim dengan tawar. | Tatabahasa | 18.11.2013 |
| Ct'fieza Mahadzir Oct 22nd, 6:08pm Assalamualaikum.. Saya nak tanya kata lawan bagi Manis. Jawapannya Masam atau Tawar? | Kata lawan bagi "manis" ialah "masam". Walau bagaimanapun kata "tawar" juga boleh menjadi lawan bagi kata "manis", jika sesuai dengan konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 22.10.2014 |
| Emak Khalid amat suka makan ikan air _________. A payau B tawar C manis D masam Adakah jawapan A payau betul? Perkataan ikan air payau ada tertulis di Utusan Malaysia online - "IKAN siakap putih atau nama saintifiknya Lates calcarifer dari keluarga Centropomidae merupakan spesis ikan air payau yang berupaya hidup di habitat air masin dan air tawar. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0530&sec=Agrobiz&pg=ag_04.htm#ixzz36sFL8p12 © Utusan Melayu (M) Bhd | Tuan/puan perlu berikan soalan yang lebih lengkap, mungkin disertakan dengan gambar atau sebagainya. Istilah ikan air payau memang wujud, contoh ikan siakap dan kerapu. | Lain-lain | 08.07.2014 |
| Salam Ramadan, 1. Ada Munsyi Dewan yang mengatakan bahawa kata 'meng-e-melkan' dan 'mengX-raykan' adalah salah, sepatutnya 'mengirimkan e-mel' dan 'mengimbaskan X-ray'. Pandangan tuan? 2. Ayat: Ikan sungai air tawar sangat digemari oleh kebanyakan orang yang tinggal di kampung-kampung. Betul / Salah | Salam Ramadan, 'meng-e-melkan' dan 'meng-x-raykan tidak salah tetapi lebih gramatis jika menggunakan 'mengirimkan e-mel' dan 'mengimbaskan X-ray'. Ikan sungai air tawar...salah- Ikan air tawar...betul
| Tatabahasa | 08.08.2012 |
| Apakah antonim bagi masin? Ada yang mengatakan antonim bagi masin ialah manis dan ada juga yang mengatakan tawar. Bagi saya, antonim bagi manis ialah masam. Jadi, tentunya antonim bagi masin bukan manis. Harap dapat menguraikan kekusutan ini. Soalan tersebut adalah soalan bahasa melayu tahun 2. | Antonim bagi masin dan manis ialah tawar. | Tatabahasa | 02.10.2011 |
| Yang manakah antara soalan berikut gramatis (atau kedua-dua versi boleh diterima)? 1) "Negara apakah bersempadan dengan Malaysia?" ATAU "Apakah negara yang bersempadan dengan Malaysia?" 2) "Tasik di Tanzania apakah merupakan tasik air tawar yang kedua terbesar di dunia mengikut isi padu, dan yang kedua paling dalam?" ATAU "Apakah tasik di Tanzania yang merupakan tasik air tawar yang kedua terbesar di dunia mengikut isi padu, dan yang kedua paling dalam?" Bantuan dan sokongan DBP amat dihargai ramai. Terima kasih. | Cadangan jawapan yang betul adalah seperti yang berikut: 1) "Apakah negara yang bersempadan dengan Malaysia?" 2) "Apakah tasik di Tanzania yang merupakan tasik air tawar yang kedua terbesar di dunia mengikut isi padu, dan yang kedua paling dalam?" | Tatabahasa | 28.05.2019 |
| Selamat sejahtera tuan/puan. Saya M.Rathanamalah dari Ayer Tawar, Perak. Saya ingin mengetahui bagaimana bahasa Melayu boleh menyatupadukan rakyat di negara kita yang berbilang kaum ini.. Saya harapkan beberapa cadangan daripada tuan/puan. Terima kasih. | Bahasa perpaduan ialah bahasa yang digunakan dalam komunikasi antara masyarakat pelbagai kaum dan berperanan sebagai alat perpaduan dalam usaha menyatukan rakyat pelbagai kaum. Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk bahan ini: 1. Bahasa alat perpaduan oleh Jemat Anis (Dewan Masyarakat 01/06/1996). 2. Bahasa Melayu Jambatan Perpaduan oleh F. P. Chew (Dewan Bahasa 01/01/2004). 3. Isu bahasa dan perpaduan oleh Kamarulnizam Abdullah (Massa 24/08/2002) . 4. Bahasa: satu cara mengukur perpaduan kebangsaan oleh Khemlani-David, Maya. (Jurnal Dewan Bahasa 01/10/1992) . 5. Bahasa Melayu, pendidikan dan perpaduan kebangsaan oleh Zainal Abidin Abdul Wahid (Dewan Bahasa 01/10/2002). 6. Bahasa Perpaduan melalui media penyiaran oleh Lim Swee Tin (Dewan Bahasa 01/05/2007). | Lain-lain | 08.08.2009 |
|
| Tesaurus |
|---|
| | | tawar (adjektif) | 1. Bersinonim dengan hambar: campah, payau, tidak berasa, memek, cahang, Berantonim dengan masin masam manis pedas pahit
2. Bersinonim dengan tidak mujarab: tidak mustajab, tidak manjur, tidak berkesan,
3. Bersinonim dengan tawar hati: dingin, hilang minat, hilang kemahuan, hilang keinginan, hilang keberanian, tidak bersemangat, tidak ghairah, kendur, lembap, Berantonim dengan ghairah
4. Bersinonim dengan hilang kemarahan: tidak marah lagi, sejuk hati, Berantonim dengan marah
5. Dalam konteks pidato bersinonim dengan hambar, tidak menarik, tidak bersemangat, tidak bertenaga,
| | Kata Terbitan : menawari, penawar, |
|
| Puisi |
|---|
|
Kalau datang kapal serati, Sungguh Jawa tawar-menawar; Kalau datang si jantung hati, Racun diminum jadi penawar.
Lihat selanjutnya... |
|