Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Selamat sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Bapa tertarik pada kereta yang canggih itu. 2. Kehidupannya sangat tertib. 3. Adunan ini saya uli untuk membuat piza. 4. Beliau memperoleh undi majoriti. 5. Warga syarikat itu tekun-tekun belaka. 6. Kami sempat ziarah ke Wat Angkor semasa melancong di Kemboja. 7. Negara kita terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. 8. Dia minum air dengan banyak kerana kehausan. Terima kasih. | Ayat contoh yang diberikan betul, kecuali: 5. Warga syarikat itu tekun-tekun belaka. 6. Kami sempat ziarah ke Wat Angkor semasa melancong di Kemboja. Ayat yang gramatis ialah Warga syarikat itu tekun belaka dan Kami sempat melawat ke Wat Angkor semasa melancong di Kemboja.
| Tatabahasa | 01.10.2012 |
Apakah perbezaan di antara tekun dgn rajin dari segi penggunaan? Adakah rajin lebih sesuai bagi akademik Dan tekun lebih sesuai digunakan utk situasi bekerja? | Tekun sama maksudnya dengan rajin. Penggunaan kedua-dua kata tersebut boleh silih berganti. | Tatabahasa | 09.07.2015 |
Tuan di talian, Ayat manakah yang betul bagi ayat contoh di bawah. 1. Murid-murid tekun mendengar ceramah motivasi itu. atau 2. Murid-murid mendengar ceramah motivasi itu dengan tekun. | Ayat yang gramatis ialah Murid-murid mendengar ceramah motivasi itu dengan tekun. | Tatabahasa | 07.06.2012 |
Salam, saya dilanda masalah dengan pilihan jawapan bagi soalan berikut (isi tempat kosong) : Zulaikha merupakan seorang murid yang pintar di sekolahnya. Dia sangat (rajin / tekun) belajar. Dia akan sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Dia juga (rajin / tekun) mengulang kaji pelajaran. Diharap tuan / puan dapat memberi saya tunjuk ajar. Terima kasih. | Dia sangat rajin/tekun belajar. Dia akan sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Dia juga rajin/tekun mengulang kaji pelajaran. - kedua-dua kata, iaitu rajin dan tekun boleh menjadi pilihan jawaban bagi ayat tersebut. | Tatabahasa | 29.10.2010 |
Wafiy tekun belajar---- kawan kawannya hanya berbual-bual. A sementara B sedangkan C tatkala D semasa | Dalam konteks ayat tersebut, sementara dan sedangkan boleh digunakan. Contoh ayat lengkap, Wafiy tekun belajar sementara/sedangkan kawan-kawannya hanya berbual-bual. | Tatabahasa | 10.08.2015 |
Merujuk kepada soalan dan jawapan yang diberi: Beberapa orang murid yang tekun mengulang kaji pelajaran mereka di perpustakaan. ( Beberapa orang murid mengulang kaji pelajaran mereka di perpustakaan dengan tekun) Saya sering keliru dengan kata adjektif, ditulis di depan atau di belakang dan bagaimana menentukan di mana yang paling sesuai ditulis? | Kata adjektif sebagai predikat boleh hadir di bahagian belakang kerana kata adjektif boleh hadir sebagai unsur inti dalam frasa adjektif atau boleh hadir sebagai keterangan dalam frasa kerja. Tidak ada jalan mudah untuk mengenal binaan ayat dengan betul, melainkan belajar dan melihat contoh binaan ayat yang diterangkan bab demi bab dalam buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 16.07.2014 |
Salam sejahtera. Apakah jawapan untuk soalan yang berikut: Pak Cik Seng gigih mengusahakan ladang kelapa sawit bersama-sama isterinya. Pilih perkataan seerti bagi gigih. A tekun. B tabah. C rajin. D malas | Perkataan tekun, tabah dan rajin mempunyai makna yang hampir sama, namun jawapan yang paling hampir, iaitu seerti dengan gigih ialah tabah. Gigih ialah keras hati, tegar hati, patuh kepada pendirian sendiri; tabah bermaksud tidak gentar dan tetap hati, serta terus mencuba dengan penuh semangat dan azam, berani,cekal demi mencapai kejayaan, kecemerlangan. Manakala tekun ialah rajin dan usaha, bersungguh-sungguh. | Makna | 03.07.2014 |
apakah yang dimaksudkan dengan berkerjasama,berdikari gigih,tekun,amanah,bijaksana dan ikhlas | Bekerjasama ialah bekerja (berbuat sesuatu) bersama-sama atau dengancara saling membantu, bergotong-royong. Berdikari ialah tidak mengharapkan orang lain untuk menolong. Gigih ialah keras hati, tegar hati, patuh kepada pendirian sendiri. Tekun ialah rajin dan usaha, bersungguh-sungguh. Amanaha ialah kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang. Bijaksana ialah berakal budi, arif, pandai dan berhati-hati. Ikhlas ialah hati suci, tidak menipu dan tidak berpura-pura. | Makna | 16.03.2008 |
Pilih ayat yang betul. a. Setiap murid mengulang kaji pelajaran dengan tekun. b. Pelbagai barangan runcit dijual di pusat perabot. c. Saya tidak diberitahu oleh emak mengenai perkara yang telah terjadi. apakah jawapan bagi soalan ini? Bolehkah berikan penjelasan dan betulkan ayat yang salah kepada ayat yang betul. Terima kasih | a. Setiap murid mengulang kaji pelajaran dengan tekun. Ayat ini betul. b. Pelbagai barangan runcit dijual di pusat perabot. Fakta ayat kurang tepat, ayat yang betula ialah "pelbagai jenis perabot dijual di pusat perabot". c. Saya tidak diberitahu oleh emak mengenai perkara yang telah terjadi. Ayat ini betul. | Tatabahasa | 24.04.2014 |
Gadis itu sangat baik budi pekertinya. Apakah pola ayat untuk ayat ini? Mohon pencerahan tuan. Selain itu, 'tambahan pula' tergolong dalam kata hubung gabungan; Dia tekun belajar, tambahan pula aktif dalam kegiatan kokurikulm. Oleh itu, bolehx "tambahan pula" digunakan pada pangkal ayat. Mohon pencerahan tuan | Pola ayat "Gadis itu sangat baik budi pekertinya" ialah Frasa Nama (FN) + Frasa Adjektif (FA). Gadis itu (subjek) + sangat baik budi pekertinya (pradikat). Perkataan “tambahan pula” boleh digunakan dipangkal ayat sebagai penanda wacana yang menghubungkan sesuatu maklumat dengan maklumat tambahan lain dalam wacana. Penanda wacana "tambahan pula" hadir pada awal ayat lazimnya diberikan tanda koma selepas perkataan tersebut. Untuk maklumat lanjut sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 525 - 526. | Tatabahasa | 03.08.2021 |