Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
1) Murid di sekolah itu rajin-rajin belaka. 2) Kehidupan Encik Chong amat sederhana. 3) Para pekerja di Mesra Rasa Restoran rajin belaka. 4) Barang keperluan harian yang dijual di kedai itu agak mahal sekali. Pilih ayat-ayat yang betul. | Ayat yang betul ialah ayat pertama, kedua dan keempat. | Tatabahasa | 19.08.2013 |
salam. pengunaan "menasihatkan" dan "menasihati" sering keliru. Dalam kamus dewan tidak dinyatakan contoh yang jelas. contoh: Ayah menasihatkan @ menasihati adik supaya belajar rajin-rajin? t.kasih | Perbezaan penggunaan meN-... -kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya: a) Ali memberikan nasihat kepada Ahmad. b) Ali memberi Ahmad nasihat. Perkataan memberi dalam ayat 1(b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima aptan meN-...-i tetapi telah digugurkan i. 2. kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: a) Ali menasihati Ahmad yang nakal itu. b) Ali menasihatkan Ahmad yang nakal itu. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk maklumat lanjut. Harap maklum. | Tatabahasa | 30.09.2009 |
Selamat sejahtera. Adakah ayat-ayat berikut betul? a. Ketiga-tiga orang anak lelaki Puan Liza pandai-pandai belaka. b. Ketiga-tiga orang anak lelaki Puan Liza pandai belaka. c. Anak Puan Liza rajin-rajin belaka. | Ayat yang gramatis, Ketiga-tiga orang anak lelaki Puan Liza pandai belaka.
| Tatabahasa | 02.07.2016 |
Saya tahu bahawa kata penguat boleh hadir serentak sebelum dan selepas kata adjektif seperti 'amat pandai sekali'. Bagaimana pula dengan gabungan yang lain seperti di bawah? Yang manakah boleh diterima; yang manakah tidak? Dan mengapa? (a) Kata penguat bebas + Kata adjektif + Kata penguat belakang: (i) amat rajin sekali; sangat rajin benar; sungguh rajin nian (b) Kata penguat hadapan + Kata adjektif + Kata penguat bebas: (i) paling rajin sangat; agak rajin amat; terlalu rajin sungguh (c) Kata penguat hadapan + Kata adjektif + Kata penguat belakang: (i) paling rajin benar; terlalu rajin sekali; agak rajin nian | Untuk makluman saudara, penggunaan yang dibenarkan ialah: i. se + kata adjektif + gandaan + kata nama ii. ter + kata adjektif iii. paling + kata adjektif iv. kata adjektif + sekali v. ter + (amat/sangat) + kata adjektif vi. (amat/sangat/sungguh) + kata adjektif + sekali Penggunaan kata penguat dan darjah penghabisan selain daripada di atas adalah tidak gramatis. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 244 dan 259.
| Tatabahasa | 06.05.2012 |
saya tidak berapa jelas penggunaan ayat ini *di kalangan @ dalam kalangan *sifat rajin @ sikap rajin Apakah penanda wacana? | Di ialah kata sendi yang menunjukkan tempat/arah sedangkan kalangan bermaksud lingkungan (bukan tempat/arah), antara dua frasa ini yang paling tepat ialah dalam kalangan. Yang betul ialah sifat rajin kerana sifat ialah keadaan yang dipunyai oleh orang. Penggunaan ungkapan tertentu yang menunjukkan perkaitan fikiran yang dengan tersendirinya membayangkan perkaitan peristiwa yang berlaku dan inilah dinamai penanda wacana. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 525. | Tatabahasa | 23.02.2009 |
Selamat petang, boleh tanya perkataan rajin dan berusaha boleh ditulis sebagai "rajin berusaha' atau perlu pisahkannya menjadi "rajin dan berusaha". Adakah maksud rajin berusaha membawa maksud berusaha dengan bersungguh-sungguh ? Terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, rajin membawa dua makna (1) bersungguh-sungguh, tekun dan (2) kerap kali, selalu, manakala berusaha pula bermaksud beriktiar dengan sedaya upaya upaya. Oleh sebab itu, frasa (i) rajin dan berusaha membawa ‘bersungguh-sungguh dan beriktiar dengan sedaya upaya’, manakala frasa (ii) rajin berusaha pula bermaksud ‘selalu/ kerap kali beriktiar dengan sedaya upaya’. | | Tatabahasa | 21.03.2017 |
1)Ai Ling belajar dengan rajin. 2)Ai Ling rajin belajar. 3)Pekerja memetik daun teh dengan rajin. Adakah ayat-ayat ini betul? | Ayat-ayat tersebut betul, cuma kurang cantik. Antara ayat 1 dangan ayat 2, ayat 2 lebih gramatis, tetapi ini tidak bermakna ayat 1 salah. | Lain-lain | 21.08.2014 |
Tolong berikan beberapa peribahasa yang ada kaitan sikap rajin dan jujur | Antara peribahasa yang menggambarkan sikap rajin ialah "Ringan tulang berat perut" yang bermaksud yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki manakala "Rajin bekerja mudah belanja" bermaksud orang yang rajin bekerja tentulah hidupnya senang. Peibahasa yang menggambarkan sikap jujur pula ialah "Lurus sebagai sumpitan" yang bermaksud lurus hati benar. Maklumat lanjut boleh didapati melalui Kamus Istimewa Peribahasa Melayu secara dalam talian melalui laman http://www.karyanet.com.my . | Lain-lain | 01.10.2006 |
Ali rajin membaca buku atau Ali membaca buku dengan rajin? dalam situasi bagaimana kata adjektif boleh diletakkan di hadapan kata kerja? tq | Kedua-dua ayat ini betul. Ali rajin membaca buku, pola ayat FN + FA. Ali membaca buku dengan rajin, pola ayat FN + FK dan kata adjektif sebagai keterangan dalam frasa kerja. | Tatabahasa | 31.08.2015 |
a) Ali rajin membaca buku. b) Ali membaca buku dengan rajin. c) Ali malas membaca buku. d) Ali membaca buku dengan malas. e) Ali membaca buku dengan kuat. mohon pandangan tuan, ayat yang mana mematuhi hukum tatabahasa. | Ayat: Ali rajin membaca buku; Ali malas membaca buku; dan Ali membaca buku dengan kuat adalah betul. Ayat pertama dan kedua adalah betul kerana rajin dan malas itu adalah sifat kepada pelaku (Ali); manakala ayat ketiga menunjukkan cara perbuatan itu (membaca dengan kuat) dilakukan. Ayat: Ali membaca buku dengan rajin dan Ali membaca buku dengan malas adalah salah kerana rajin dan malas tidak boleh menjadi cara sesuatu itu (membaca) dilakukan. Lihat buku Tatabahasa Dewan, halaman 280. | Tatabahasa | 23.02.2011 |