Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam. Mana ayat yang betul? 1. Kesan krisis air ialah menjejaskan kualiti tanah sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian. 2. Kesan krisis air adalah menjejaskan kualiti tanah sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian. | Jawapan yang betul ialah “Kesan krisis air telah menjejaskan kualiti tanah sekali gus menjejaskan aktiviti pertanian” atau “Kesan krisis air telah menjejaskan kualiti tanah dan aktiviti pertanian”. | Tatabahasa | 15.01.2022 |
krisis ketidakyakinan terhadap bahasa melayu | Krisis ketidakyakinan terhadap bahasa Melayu berkemungkinan besar hanya dialami oleh individu tertentu yang berasa kurang yakin akan keupayaan bahasa Melayu untuk digunakan dalam urusan tertentu. Ini mungkin disebabkan pihak berkenaan tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik. | Lain-lain | 28.03.2007 |
Adakah ayat di bawah gramatis? Salah satu punca menyebabkan krisis air adalah berlakunya pemanasan global. Terima kasih. | Ayat yang lebih sesuai "Antara punca yang menyebabkan krisis air berlaku ialah pemanasan global". | Tatabahasa | 22.07.2019 |
Apa perkataan bahasa Melayu yang sesuai digunakan bagi menterjemah "Quarter life crisis"? Quarter life crisis di sini bermaksud krisis yang berlaku pada usia awal 20-an, dalam pencarian makna hidup. | Cadangan terjemahan dalam bahasa Melayu bagi Quarter life crisis ialah "krisis kehidupan awal dewasa" | Makna | 14.03.2022 |
Adakah penggunaan Malaysia sebagai kata ganti nama diri dalam ayat berikut dikira gramatis? "Tidak pernah Malaysia saksikan kemelesetan ekonomi sedahsyat era COVID-19 sejak Krisis Ekonomi Global 2008." | Ayat yang betul ialah “Selepas Krisis Ekonomi Global 2008, Malaysia tidak pernah mengalami kemelesetan ekonomi sedahsyat era COVID-19.” Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan (DBP, 2008) hlmn. 101 untuk maklumat lanjut berkaitan dengan Kata Ganti Nama. | Tatabahasa | 21.01.2024 |
Saya ingin mencari alternatif untuk perkataan "precedent". Bolehkah saya gunakan perkataan "prajadian" sebagai kata ganti? Contoh ayat: Tiada "precedent" yang mengatakan bahawa seorang Presiden boleh dilucutkan jawatan kerana kegagalan untuk menangani krisis dalam Dewan Senat. Diganti dengan: Tiada "prajadian" yang mengatakan bahawa seorang Presiden boleh dilucutkan jawatan kerana kegagalan untuk menangani krisis dalam Dewan Senat. | Dalam konteks perundangan, precedent lazimnya diterjemahkan kepada duluan, menjadi "Tiada duluan yang mengatakan bahawa seorang Presiden boleh dilucutkan jawatan kerana kegagalan untuk menangani krisis dalam Dewan Senat". | Istilah | 04.02.2014 |
assalamulaikum sy pelajar kolej mara seremban saya ad buat kajian tentang novel Alias Ali iaitu Krisis terbitan Federal Berhad....saya nk mendapatkan biografi pengarang Alias Ali dan Sinopsis novel ni..... terima kasih... | Waalaikumusalam wbk. Bagi mendapatkan biografi pengarang Alias Ali, sdr bolehlah mendapatkan/merujuk kepada buku Biografi Penulis WAJAH (Edisi Ketiga), terbitan DBP, 2005. Buku tersebut boleh dibeli di mana-mana kedai utama atau dirujuk di mana-mana perpustakaan utama di tempat sdr atau di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50926 Kuala Lumpur. Tentang sinopsis novel Krisis karya penulis tersebut, sdr bolehlah merengkaskan ceritanya selepas karya tersebut dibaca. Sekian dimaklumkan dan wassalam. | Lain-lain | 04.08.2010 |
1. Apakah perbezaan dari segi penggunaan ayat sejak dan semenjak. Sebagai contoh: Krisis kewangan global yang terburuk sejak Kemelesetan Besar ini telah dicetuskan oleh kebankrapan satu daripada bank pelaburan global terbesar di Amerika Syarikat. 2. Apakah terjemahan untuk "International Financial Architecture". Sekian, terima kasih. Ramlee | 1.Kedua-dua istilah ini, sejak dan semenjak boleh diguna pakai. 2. Kami mencadangkan terjemahan bagi International Financial Architecture ialah Seni Bina Kewangan Antarabangsa. Walau bagaimanapun, terjemahan ini bergantung pada konteks atau bidang. | Istilah | 08.10.2009 |
Assalamualaikum dan Salam Hormat. Mohon bantuan terjemahan yang sesuai bagi 'Retrenchment Commission' dalam bahasa Melayu. Suruhanjaya ini ditubuhkan oleh kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1923 sebagai langkah untuk menyelesaikan krisis kewangan persekutuan. Sekian, terima kasih. | Waalaikumsalam, Tuan, Kami mencadangkan Suruhanjaya Penghematan. Sekian. | Penyemakan dan penterjemahan | 26.07.2017 |
Salam sejahtera, Apakah perbezaan penggunaan antara "naik turun" dan "berubah-ubah" bagi terjemahan perkataan "fluctuation"? Sila terangkan contoh penggunaan yang betul bagi perkataan-perkataan ini. Terima kasih. | Frasa "turun naik" dan "berubah-ubah" hanya kelaziman berbahasa sahaja, tiada apa salahnya. Kita boleh menggunakan kedua-dua frasa ini silih berganti mengikut konteks penggunaan dan ayat. Misalnya, 1. "Krisis ekonomi kini menyebabkan harga barang turun naik". Frasa "berubah-ubah" juga boleh digunakan dalam ayat 1. Ayat 2. Abu segan hendak turun naik tangga mahkamah itu. Contoh 2 menunjukkan frasa "berubah-ubah" tidak sesuai digunakan. Ayat 3. Hati Ahmat tidak berubah-ubah mengenai perasaan kepada Aminah. Frasa "naik turun" pula tidak sesuai menggantikan ayat 3 ini. Terima kasih. | Tatabahasa | 09.02.2015 |