Oasis ialah kawasan subur yang mempunyai tumbuh-tumbuhan di gurun, tempat air bawah tanah berada sangat hampir dengan permukaan tanah bagi mewujudkan telaga dan mata air. Air yang terdapat di oasis asalnya turun sebagai hujan atau salji di gunung atau bukit yang berjauhan. Selepas meresap ke dalam tanah, air ini secara perlahan-lahan meresapi batu-batan yang terdapat di bawah tanah, lalu mengalir ke kawasan rendah di gurun. Ia kemudian timbul semula di permukaan bagi membentuk mata air atau cukup cetek untuk memenuhi telaga. Kawasan yang mempunyai tumbuh-tumbuhan di sepanjang anak sungai yang sentiasa mengalir di gurun, juga dipanggil oasis. |