Kelesuan ialah istilah lain bagi keletihan. Seseorang itu sering mengatakan bahawa dia berasa lesu apabila letih. Apabila seseorang itu bekerja kuat, bermain bersungguh-sungguh, kurang rehat atau kurang tidur, dia boleh berasa lesu. Dalam kes seperti itu, kelesuan adalah normal. Daripada pengalaman, adalah diketahui bahawa perasaan ini akan hilang selepas berehat. Tetapi kadangkala, kelesuan merupakan suatu gejala penyakit. Orang yang mengalami penyakit jasmani sering berasa lesu walaupun hanya selepas membuat kerja ringan atau menggunakan sedikit tenaga. Orang seperti ini memerlukan rehat yang banyak, sering kali jauh lebih banyak daripada yang diperlukan sekiranya mereka sihat. Doktor mendapati bahawa kelesuan sering berlaku jika seseorang itu menghidap banyak jenis penyakit. |