Assalamualaikum/Salam sejahtera, 1. Boleh atau tidak perkataan TEMBUSAN digunakan sebagai ganti kata SALINAN KEPADA atau carbon copy(c.c) kerana ada negara jiran yang menggunakannya. 2. Ada jabatan pelajaran mahupun kementerian menggunakan kata GALUS untuk pelajar yang kelompok gagal dan lulus.Dalam kamus dewan saya cari tapi tidak jumpa.Oleh itu akronim tersebut diterima pakai atau tidak oleh DBP.Jika tak sesuai apa perkataan yang sesuai untuk kumpulan pelajar tersebut. 3. Di tempat kerja saya ada blok bangunan baru 3 tingkat. Paras bawah sekali dikosongkan dan disediakan sebuah pentas untuk acara-acara tertentu.Buat sementara waktu ruang tersebut diberi nama DEWAN TERBUKA. Ada cadangan untuk memberi nama baru yang lebih kreatif.Soalannya saya sesuaikah diberi nama DEWAN... atau DATARAN...atau PENTAS... atau BALAI...atau perkatan lain yang sesuai dengan fizikal tempat tersebut. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, entri tembusan mempunyai 4 takrifan, iaitu 1. sesuatu (jalan, sungai, dll) yg tembus ke; 2. sungai buatan (utk dilalui kapal dll), terusan 3. jalan yg menembusi bukit dll, terowong; 4. = ~ surat salinan surat asal. Oleh itu, entri tembusan merujuk makna ke-4 yang bermaksud salinan surat asal. Walau bagaimanapun, saudara digalakkan menggunakan frasa salinan kepada (s.k) yang digunakan dalam konteks surat rasmi di negara kita. 2. Tidak terdapat perkataan galus sebagai akronim gagal dan lulus untuk pelajar sekolah yang terakam dalam mana-mana kamus atau buku terbitan DBP. Pihak kami mencadangkan digunakan istilah lulus bagi pelajar yang lulus dan gagal bagi pelajar yang gagal. 3. Sesuai digunakan perkataan dewan kerana dewan bermaksud balai (ruang) tempat diadakan sesuatu (spt persidangan, perjumpaan, forum, ceramah, dll). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui takrifan entri dewan, balai, pentas, dataran. Saudara juga boleh melayari laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) http://prpm.dbp.gov.my untuk mencari maklumat yang diperlukan. PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sdr. hendaklah memasukkan perkataan tersebut dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Selamat mencuba. | Istilah | 23.07.2009 |