Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salina telah naik menara gading. Adakah penggunaan perkataan "naik" betul dalam ayat itu. | Perkataan naik tidak sesuai digunakan dalam ayat. Perkataan yang sesuai ialah "ke". Ayat yang betul ialah "Salina telah ke menara gading." | Tatabahasa | 17.07.2013 |
Saya ingin mengetahui penggunaan perkataan 'trend': i. Adakah 'trend turun naik' digunakan untuk semua jenis arah aliran? Contohnya; Tahun 2008 50% Tahun 2009 80% Tahun 2010 65% Ayat: Prestasi murid dalam peperiksaan menunjukkan trend turun naik. (Adakah ayat ini betul?) 2. Bolehkah saya menggunakan 'trend naik turun' untuk menggambarkan peratus pencapaian murid yang meningkat pada tahun 2009 jika dibandingkan dengan tahun 2008 dan menurun pada tahun berikutnya? | Perkataan trend bermaksud arah aliran, yang menunjukkan perkembangan atau pergerakan dan tidak semestinya berlaku turun naik. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku turun naik dalam sesuatu trend itu, maka boleh digunakan trend turun naik. | Istilah | 15.06.2012 |
Salam Sejahtera, Berdasarkan Kamus Dewan; 1. eskalator = tangga bergerak utk. membawa orang naik atau turun antara tingkat bangunan. 2. travelator = laluan pejalan kaki yang bergerak mendatar Soalan ; Di sesetengah pasar raya, ada kemudahan laluan untuk pelanggan bergerak naik atau turun antara tingkat yang tidak bertangga supaya boleh diletakkan troli. Sekiranya eskalator, tidak bertangga. Sekiranya travelator, tidak bergerak secara mendatar kerana naik atau turun antara tingkat. Apakah istilah yang sesuai ? Terima kasih | Kami mencadangkan istilah "travelator" digunakan bagi maksud tersebut kerana konsep tidak bertangga dan laluan pejalan kaki. | Istilah | 12.11.2013 |
mohon pertanyaan dimuatnaik dieja rapat atau jarak contoh: a.dimuatnaik b.dimuat naik | Ejaan yang betul ialah dimuat naik. | Ejaan | 02.08.2013 |
adakah muat turun dan muat naik ialah kata majmuk? | Kata majmuk terhasil daripada proses merangkaikan dua kata dasar atau lebih yang membawa makna tertentu. Oleh itu, "muat turun" dan "muat naik" ialah kata majmuk. | Tatabahasa | 10.03.2013 |
Apakah yang dimaksudkan dengan gendang besar dan ulat naik daun? Adakah kedua-duanya merupakan simpulan bahasa? | "Gendang besar" ialah frasa nama yang bermaksud gendang yang besar. Ungkapan "ulat naik daun" tidak ada dalam sumber rujukan kami. dan tidak ada juga dalam senarai peribahasa. Untuk maklumat lanjut lihat http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=ulat+&d=11 dan klik Kamus dan Istilah serta Peribahasa. | Makna | 19.06.2012 |
Mengapa unsur lewah dalam bahasa Melayu dianggap satu kesalahan tatabahasa sedangkan kelewahan tertentu amat diperlukan dalam konteks penggunaan ayat. Contohnya: 1. berjalan kaki 2. naik ke atas 3. meningkat naik 4. melambung tinggi 5. jatuh ke bawah 6. kawad kaki | Lewah bukanlah suatu kesalahan tetapi penggunaan salah satu daripadanya telah melengkapkan ayat. | Tatabahasa | 10.07.2012 |
1) Ayah membonceng adik 2)Ayah memboncengkan adik di belakang motosikalnya. Adakah kedua-dua ayat ini betu ? bagaimana dengan ayat 1 ? | Kedua-dua ayat membawa makna berlainan. Membonceng bermaksud ikut naik kenderaan. Cth. Tiap pagi dia membonceng motosikal abangnya. Memboncengkan bermaksud membawa naik bersama-sama. Cth. seperti ayat kedua yang diberikan. | Tatabahasa | 22.04.2008 |
Seekor penyu sedang...........naik keatas pantai untuk mencari tempat bertelur yang sesuai A) menyusur B) mengesot C) merangkak D) melompat Apakah jawapan paling tepat sekali bagi tempat kosong tersebut. Sekian terima kasih | Jawapan yang sesuai ialah mengengsot. (éngsot); berengsot, berengsot-engsot 1. bergerak (beralih) sedikit-sedikit (perlahan-lahan), berkesot; 2. memulakan satu barisan cetakan atau tulisan lebih jauh dr garis tepi, inden; tidak ~ drpd bibir prb selalu disebut-sebut; mengengsot 1. berengsot: ia ~ menuju ke meja itu; 2. = mengengsotkan menggeserkan, mengesotkan perlahan-lahan. Lihat pula definisi mengesot kerana berbeza walaupun hampir sama. menegsot = bergerak (beralih) dgn menggeserkan atau mengengsotkan punggung, berengsot: anaknya belum boleh berjalan, baru pandai mengesot; dgn mengesot sedikit anak muda Inggeris itu menghampiri Doris; | Tatabahasa | 25.10.2012 |
1) Apakah jawapan yang sesuai bagi mengisi tempat kosong di bawah? Jantungnya _____________kencang semasa keputusan peperiksaan diumumkan. "Berdenyut" atau "berdegup" atau kedua-dua jawapan boleh digunakan? | Kamus Pelajar Edisi Kedua, BERDEGUP - bergerak turun naik atau kembang kempis; berdenyut Kamus Dewan Edisi Keempat-BERDENYUT--bergerak turun naik atau kembang kempis spt gerakan nadi, ubun-ubun, jantung, dll): Kedua-duanya boleh digunakan bagi jantung. | Tatabahasa | 07.08.2012 |