Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Anis membaca buku sementara adiknya menonton televisyen. ialah ayat majmuk jenis apa? keterangan ke? Kita harus membantu orang ketika mereka dalam kesusahan. ialah ayat majmuk keterangan ke? | Anis membaca buku sementara adiknya menonton televisyen. - ayat majmuk gabungan. Kita harus membantu orang ketika mereka dalam kesusahan. - ayat ini dibetulkan menjadi "Kita harus membantu orang yang dalam kesusahan" - ayat majmuk pancangan relatif. | Tatabahasa | 08.11.2010 |
apakah maksud malapetaka,bala? | Malapetaka ialah berbagai-bagai kesusahan (bencana, kecelakaan,dsb); Bala ialah kejadian buruk yang menimpa seseorang atau sesuatu tempat. | Makna | 19.01.2008 |
apakah peribahasa yang menggambarkan maksud sebarang kesilapan dalam membuat keputusan akan mengundang kesusahan kepada individu tersebut? | Untuk makluman saudara, kami tidak dapat mencari maksud setiap peribahasa melainkan dengan merujuk setiap satu peribahasa. Sila rujuk buku Kamus Istimewa Peribahasa Melayu, karya Abdullah Hussain untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. | Tatabahasa | 25.05.2011 |
Ingin bertanya maksud peribahasa: AYAM DI KEPUK MATI KELAPARAN, ITIK DI AIR MATI KEHAUSAN | Antara maksud peribahasa ini ialah sangat menderita kesusahan meskipun bergaji besar (beristerikan atau bersuamikan orang kaya) atau hidup miskin di negara yang kaya dan makmur. | Makna | 30.04.2009 |
Maksud 'Sejahtera' | Mengikut kamus Dewan Edisi Keempat kata 'sejahtera' bermaksud aman dan makmur,senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana(kesusahan, gangguan,dll.) | Makna | 17.01.2008 |
apakah perbezaan di antara mengharungi sungai dan menyeberangi sungai? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. perkataan "menyeberangi" bermaksud 1. pergi ke seberang sana sungai, jalan, dll, melintasi, mengharungi: dgn apa hendak diseberangi lautan? 2. ki me-nempuh (melalui, merasai) kesusahan dll: tiga kali kita ~ hidup, apabila ketiga kalinya telah diseberangi dgn selamat, bahagialah kita; Manakala perkataan "mengharungi" pula bermaksud 1. berjalan menyeberangi air (semak, sungai, dll), meranduk: takut ~ air yg deras; budak itu sedang ~ sungai; ~ belukar berjalan melalui belukar; 2. menempuh, melayari (lautan dll): sedang kami ~ lautan India, angin turun dgn hebatnya; kegagahan wau ~ angkasa; 3. ki menghadapi (mengalami) kesusahan (kesukaran dsb): kejayaan dicapai setelah ~ berbagai-bagai kesulitan; | Istilah | 08.04.2013 |
Kemalangan | Pertanyaan saudara tidak jelas. Jika yang dimaksukan ialah definisi kemalangan, berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, kemalangan ditakrifkan sebagai 1. kecelakaan, kesialan, kerugian, kesusahan: abang engkau telah terlibat dlm satu ~ kereta di utara Semenanjung; 2. tertimpa malang (celaka), mendapat kecelakaan: kalau-kalau ada antara kawan-kawan yg ~ dlm masa ribut besar semalam itu; mendapat ~ mendapat celaka (spt luka-luka atau mati dilanggar kereta, jatuh dr pohon, dll). | Istilah | 18.02.2009 |
APAKAH KESALAHAN EJAAN DAN IMBUHAN DALAM AYAT DI BAWAH? 4. Para pendayung itu terpaksa menungkah arus sebelum tiba di garisan tamat. 5. Ketua kampung itu dihormati oleh anak-anak buahnya kerana beliau sering membantukan pendudok kampung yang dalam kesusahan. 6. Kejadian tembak-menembak yang berlaku siang tadi disebabkan penduduk di situ berasa gelesah. 7. Kebanyakan pakaian songket yang dipamerkan itu pernah diperagai oleh para peragawati terkemal tanahair. 8. Lelaki yang disyaki menculik anak hartawan itu telah ditangkap oleh pehak polis. 9. Penulis itu menghantar karyanya kepada syarikat penerbitan untuk mencetak melalui e-mail kerana lebih mudah dan pantas. 10. Hubungan silaturrahim sesama jiran tetangga perlu erat untuk menjaminkan keharmonian hidup bermasyarakat. 11. Anak-anak dilarang melakukan perkara yang boleh mencemari nama baik ibu bapa supaya perasaan mereka tidak terguris. 12. Syarikat binaan milik rakyat setempat mempunyai kepakaran dalam pemasangan syiling rumah. Sila rujuk Kamus dan buku Tatabahasa Dewan untuk mendapatkan ejaan/imbuhan yang betul dalam konteks ayat tersebut. | Ejaan yang betul seperti yang berikut: 4. Para pendayung itu terpaksa menongkah arus sebelum tiba di garisan tamat. 5. Ketua kampung itu dihormati oleh anak-anak buahnya kerana beliau sering membantu penduduk kampung yang dalam kesusahan. 6. Kejadian tembak-menembak yang berlaku siang tadi menyebabkan penduduk di situ berasa gelisah. 7. Kebanyakan pakaian songket yang dipamerkan itu pernah diperagakan oleh para peragawati terkenal tanah air. 8. Lelaki yang disyaki menculik anak hartawan itu telah ditangkap oleh pihak polis. 9. Penulis itu menghantar karyanya kepada syarikat penerbitan untuk dicetak melalui e-mel kerana lebih mudah dan pantas. 10. Hubungan silaturahim sesama jiran tetangga perlu erat untuk menjamin keharmonian hidup bermasyarakat. 11. Anak-anak dilarang melakukan perkara yang boleh mencemarkan nama baik ibu bapa supaya perasaan mereka tidak terguris. 12. Syarikat binaan milik rakyat tempatan mempunyai kepakaran dalam pemasangan syiling rumah. | Tatabahasa | 16.08.2013 |
Assalamaualaikum Encik, tolong bantu saya untuk memastikan ayat-ayat berikut betul atau perlu dipinda. terima kasih. 1) Izat bersikap seperti ibu dan ayahnya yang selalu membantu penduduk kampung yang hidup dalam kesusahan kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. 2) Pakaian abang yang kotor di dalam baldi itu akan saya basuh pada pagi esok. 3)Pasukan bola jaring sekolah saya menjadi johan dalam pertandingan bola jaring itu. / Pasukan sekolah saya menjadi johan dalam pertandingan bola jaring itu. 4) Permasalahan sosial dalam / di kalangan remaja dapat diatasi hasil kerjasama daripada semua pihak. 5) Kak Yana kelam kabut mengemas ruang tamu apabila mendapat tahu bahawa/yang kenalan lamanya hendak datang ke rumah. 6) Kehidupan Abang Imran menjadi porak-peranda sejak/setelah diberhentikan kerja pada/sejak tiga bulan yang lepas. 7) Nur diminta mengemaskinikan laporan mesyuarat Persatuan Bahasa Malaysia dengan secepat yang mungkin. 8) Cikgu Badrul menyiapkan/menyediakan/membuat/membina sebuah pentas dengan dibantu oleh beberapa orang pelajar. | Ayat 1, 2 dan 3 adalah betul. Manakala ayat 4 ialah 'Permasalahan sosial dalam kalangan remaja dapat diatasi hasil kerjasama semua pihak. 5. Kak yana kelam kabut mengemas ruang tamu apabila mendapat tahu bahawa kenalan lamanya hendak datang ke rumah. Soalan 6 adalah betul. 7. Nur diminta mengemaskinikan laporan mesyuarat Persatuan Bahasa Malaysia secepat yang mungkin. 8. cikgu Badrul menyiapkan sebuah pentas dengan dibantu oleh beberapa orang pelajar. Harap maklum. | Tatabahasa | 22.07.2008 |
Jamila berasa ______ melihat keadaan neneknya. Jawapan manakah yang lebih sesuai? A.sedih B. simpati Apakah perbezaan antara 'sedih' dan 'simpati'? | Jawapannya ialah berasa sedih. Sedih bermaksud berasa sangat terharu atau rawan, manakala simpati bermaksud perasaan belas kasihan, timbang rasa, dan sebagainya terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan. Daripada ayat di atas tidak ada keterangan lanjut yang membolehkan penggunaan perkataan simpati kerana ayatnya umum, oleh itu perkataan sedih lebih sesuai. | Tatabahasa | 17.07.2010 |
|
Tesaurus |
---|
| susah (adjektif) | 1. Bersinonim dengan sukar: payah, rumit, sulit,
2. Bersinonim dengan jarang ada: sukar terdapat
3. Bersinonim dengan miskin: papa, daif, melarat, serba kekurangan,
| Kata Terbitan : bersusah-susah, menyusahkan, kesusahan, |
|
|