Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam sejahtera. Saya ingin tahu tentang perbezaan antara prihatin tentang dengan prihatin terhadap. Yang manakah ayat-ayat di bawah adalah betul? 1. Ibu bapa prihatin tentang / prihatin terhadap pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang / terhadap keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya. | Ayat yang betul ialah: 1. Ibu bapa prihatin tentang pelajaran anak-anak di sekolah. 2. Ali prihatin tentang keadaan kesihatan datuknya yang baru sembuh daripada penyakitnya. Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur rujukan sesuatu yang tidak tentu, umum atau mujarad manakala kata sendi nama terhadap digunakan sebagai unsur rujukan yang melibatkan penyambut tertentu sama ada manusia, haiwan, atau benda. Contoh: Jangan bersikap biadap terhadap orang tua. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tokoh | 11.05.2021 |
Apakah perbezaan antara "mengenai" dengan "tentang"? | Kata sendi nama tentang digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum seperti ayat "Mereka berbincang tentang masalah Negara". Kata sendi nama tentang sering juga digantikan penggunaannya dengan bentuk mengenai. Perlu diingat bahawa perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada seperti ayat Bola yang ditendangnya mengenai palang gol. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 278. | Makna | 20.02.2019 |
Assalamualaikum, saaya syuhaida, pelajar Bacelor Sastera di UPM. Saya hendak membuat kajian tentang ruang persembahan teater di Malaysia. Jadi, saya berminat untuk membuat kajian ini tentang Dewan Audotorium DBP. Saya inigin mengetahu tentang sejarah/asal usul dewan, fasiliti yg ada dalam dewan, peaturan yang ditetapkan dan juga tentang kepadatan/keluasan dewan. Jadi, bagaimana ye dan dengan siapa saya boleh berhubung mengenai dewan ini dengan lebih jelas. | Salam sejahtera, Kajian tentang Dewan Auditorium DBP. Merujuk kepada perkara di atas, pihak saudari bolehlah menghubungi Pegawai di Bahagian Pentadbiran Am untuk mendapatkan maklumat dan mengaturkan sesi janji temu untuk tujuan kajian lapangan tersebut. Maklumat pegawai untuk dihubungi seperti maklumat yang berikut: Nama: Encik Aris bi Othman Alamat: Bahagian Pentadbiran Am, Aras 14, Menara DBP, 50460 Kuala Lumpur. No. Telefon Pejabat: 03-2147 9708 E-mel: aris_o@dbp.gov.my Sekian, untuk pemakluman | Lain-lain | 09.06.2020 |
Apakah perbezaan di antara perkataan "tentang" dan "mengenai"? Contoh ayat: Ketahui lebih lanjut tentang perkhidmatan Telekom Malaysia. Ketahui lebih lanjut mengenai perkhidmatan Telekom Malaysia. Terima kasih di atas penerangan Tuan/Puan. | Salam sejahtera, Tuan, Kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud "rujukan" sesuatu yang tidak tentu atau umum atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi "hal" yang diperlakukan atau dibicarakan seperti, Mereka berbincang tentang masalah negara. Selain itu, kata sendi nama tentang juga sering digantikan penggunaannya dengan kata mengenai. Perlu diingat perkataan mengenai sebenarnya tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud "kena pada" seperti, Tembakan peluru itu mengenai sasarannya. Berdasarkan soalan tuan, ayat yang paling sesuai adalah, ketahui lebih lanjut tentang perkhidmatan Telekom Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://prpm.dbp.gov.my/. Sekian, terima kasih. | Makna | 12.07.2017 |
Tuan/Puan, Perlukah perkataan "tentang" diulang bagi ayat di bawah? BI *whether any member or office-bearer of the SRC or of an ad hoc committee of the SRC... BM *tentang sama ada mana-mana anggota atau pemegang jawatan JPP atau tentang sesuatu jawatan JPP atau tentang sesuatu jawatankuasa... Sekian, terima kasih. | Pengulangan perkataan dalam sesuatu ayat bergantung kepada keperluan sama ada perlu atau tidak perkataan tersebut diulang. Untuk persoalan tuan, terjemahan yang betul ialah: ... sama ada mana-mana anggota atau pemegang jawatan JPP atau jawatankuasa ad hoc JPP ... | Makna | 22.09.2021 |
Ayat songsang kepada ayat biasa, 1)Belum tentu pandai anak guru tentang bidang itu. Jwpan (a): Anak guru belum tentu pandai tentang bidang itu. Jwpan (b): Anak guru tentang bidang itu belum tentu pandai. Adakah jawapan (b) betul? 2) Sungguh menakjubkan pertunjukan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara. Jwpan (a): Pertunjukan yang diadakan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara sungguh menakjubkan. Jwpan (b): Pertunjukan yang diadakan sungguh menakjubkan sempena sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara. Adakah jawapan (b) betul? Terma kasih. | Salam sejahtera, Soalan 1 Jawapan yang betul: (a) Anak guru belum tentu pandai tentang bidang itu. Soalan 2 Jawapan yang betul (a) Pertunjukan yang diadakan sempena dengan sambutan ulang tahun hari kemerdekaan negara sungguh menakjubkan.
| Tatabahasa | 04.06.2017 |
1. Adakah ayat ini betul: Amira meminta Alice menerangkan semula tentang proses fotosintesis. Boleh saya tahu cara yang betul untuk penggunaan tentang 2. Apa beza Bahasa Malaysia dan Bahasa Melayu? Terima kasih | Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (halaman 278), kata sendi nama "tentang" digunakan sebagai unsur yang membawa maksud rujukan sesuatu yang tidak tentu atau umum, atau mujarad. Kata nama atau frasa nama yang mengikuti kata sendi nama ini menjadi hal yang diperlakukan atau dibicarakan. Berdasarkan Kamus Dewan Perdana pula, "tentang" mempunyai maksud yang sama dengan "berkenaan atau berkaitan dengan; mengenai". Oleh itu, "tentang" boleh digunakan mengikut kesesuaian sebagaimana penerangan ini. "Bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia", kedua-duanya boleh digunakan. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 menyatakan "bahasa Melayu" ialah bahasa kebangsaan. Walau bagaimanapun, pada 4 Jun 2007 kabinet memutuskan "bahasa Malaysia" turut digunakan selain daripada "bahasa Melayu" untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. | Makna | 11.10.2022 |
Siapakah yang patut saya hubungi jika mempunyai aduan tentang Gerbang Kata? | Aduan tuan tentang masalah teknikal Gerbang Kata telah kami salurkan kepada pihak yang berkenaan. Untuk sebarang pertanyaan tentang Gerbang Kata, hubungi Tuan Haji Abu Bakar Buyong melalui talian 03-21479388. | Lain-lain | 20.04.2019 |
Berdasarkan ayat-ayat yang berikut, adakah penggunaan "akan/tentang/terhadap di bawah betul? 1. Jangan awak salah faham tentang/akan dia. 2. Saya ambil berat terhadap/akan awak. Terima kasih. | Merujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua maksud terhadap ialah tentang; mengenai; berkenaan, maka contoh ayat yang diberikan adalah betul penggunaan akan/tentang/terhadap. | Tatabahasa | 07.07.2018 |
Soalan tentang tanda baca, italic, title case: 1) Apakah beza penggunaan tanda petik " " dan . 2) Apakah cadangan DBP untuk penggunaan italik untuk perkataan asing atau frasa khas. Perlu italik atau cukup sekadar tanda petik? 3) Apakah peraturan penggunaan Title Case. Bolehkah semua perkataan mempunyai huruf besar di awal? 4) Adakah pagi/petang boleh ditulis dengan singkatan seperti "AM" "PM" contohnya bahasa inggeris, "9am-5pm" BM ditulis bagaimana? | Penulisan “tanda petik” bergantung pada konteks penggunaannya. Terdapat dua tanda petik yang biasa digunakan dalam penulisan, iaitu tanda petik (“ ”) dan tanda petik tunggal (‘ ’). Perbezaan kedua-dua tanda petik ini ialah tanda petik (“ ”) lazimnya digunakan penanda yang mengapit cakap ajuk atau petikan langsung daripada naskhah atau bahan bertulis; penanda yang mengapit judul rencana, karangan, puisi, bab, buku dan sebagainya yang digunakan dalam ayat; dan penanda yang mengapit huruf, angka, simbol, istilah atau kata untuk tujuan khusus. Tanda petik tunggal (‘ ’) pula, ialah biasanya digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik. Untuk memahami dengan lebih mendalam, sila rujuk buku Gaya Dewan, Edisi Ke-4, halaman 125. Merujuk buku Gaya Dewan Edisi Ke-4, halaman 153, huruf italik atau huruf condong boleh digunakan bagi perkataan bahasa asing yang terdapat dalam teks bahasa Melayu. Contohnya lingua franca, mala fide dan prima facie. Jika perkataan dalam bahasa asing tersebut berada dalam tanda kurung, sama ada dalam bentuk ayat lengkap atau rangkai kata yang menjadi padanan maksud sebelumnya, perkataan tersebut tidak perlu diitalikkan. Contohnya, suai pada (copy fitting), kebebasan seni (poetic license) dan kos sut (marginal cost). “Huruf besar” digunakan pada permulaan setiap kata nama khas termasuk nama orang, nama tempat, nama institusi dan sebagainya; pada permulaan kata di pangkal ayat; pada permulaan kata cakap ajuk; dan pada permulaan baris-baris puisi. Sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Ke-4, halaman 147. Penggunaan singkatan bahasa Inggeris “am” dan “pm” dalam bahasa Melayu ialah “pg.” dan “ptg.” atau “pg.” dan “mlm.”. Oleh itu, jawapan yang betul ialah 9 pg.- 5 ptg.
| Lain-lain | 05.09.2023 |
|
Tesaurus |
---|
| tentang (kata tugas) | Bersinonim dengan mengenai, berkenaan, berhubung dengan, berkaitan dengan, bersangkutan dengan, darihal, terhadap, untuk;, | | Kata Terbitan : bersetentang, bersetentangan, bertentangan, bertentangan, menentang, menentangkan, mempertentangkan, tertentang, tentangan, pertentangan, penentangan, penentang, |
|
Puisi |
---|
|
Buaya putih buaya keramat, Mari tentang lubuk batu; Abang putih melawa sangat, Saya tidak memberi malu.
Lihat selanjutnya... |
|