Sadat, Anwar al- (13371402 H./19181981 M.) ialah Presiden Republik Mesir bermula dari tahun 1970 sehingga meninggal dunia. Nama sebenarnya ialah Muhammad Anwar al-Sadat. Dia lahir di Mayyit Abu al-Kom, sebuah perkampungan di Wilayah al-Manufiyah di Delta Sungai Nil. Dia seorang siswazah Institut Ketenteraan Mesir pada tahun 1938. Sadat bersama-sama dengan Abdul al- Nasser dan tentera yang lain menyertai pertubuhan rahsia yang dikenali sebagai Pertubuhan Tentera Pembebasan. Pertubuhan ini bertujuan untuk menumbangkan pemerintahan beraja yang tunduk sepenuhnya kepada kuasa British dan ingin membebaskan Mesir daripada penjajahan Britain yang menguasai politik dan ekonomi. Sadat telah dijatuhkan hukuman penjara kerana penglibatannya yang aktif dalam aktiviti revolusi pada tahun 1940-an. Pada tahun 1952, dia telah memimpin gerakan revolusi yang telah menumbangkan Raja Farouk. Setelah tamatnya gerakan itu, Sadat memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan. Dia dilantik sebagai Ketua Dewan Rakyat dan Ketua Editor Akhbar al-Jumhuriyyah. Seterusnya, dia dilantik sebagai Naib Presiden Republik Arab Mesir dari tahun 1964 hingga tahun 1967 dan disambung semula pada tahun 1969 hingga tahun 1970. |