Pantun |
Sumber |
Tema |
Elok parang kerana disepuh, Disepuh dengan besi berani; Elok orang kerana senonoh, Senonoh adat budi pekerti. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Tegak adat hidup senonoh, Pemimpin adil rakyat sejahtera; Rosak adat hidup bergaduh, Pemimpin degil rakyat derhaka. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Adapun niat yang diniatkan, Niat senonoh mencari berkat; Adapun adat yang diadatkan, Adat tumbuh dari muafakat. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Sifat tua berdada lapang, Duduk terpuji senonoh berdiri; Adat dijaga lembaga dipegang, Untuk menjadi suluh negeri. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Elok anak kerana dikandang, Dikandang dengan budi senonoh; Elok akhlak nama terpandang, Sepanjang zaman menjadi contoh. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Taat umat memegang adat, Di mana duduk akhlak senonoh; Sifat jahat dibuang cepat, Supaya hidup tidak bermusuh. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Orang beradat tahukan diri, Di mana tegak sifat senonoh; Membuang adat memalukan negeri, Bangsa rosak umat bergaduh. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Patuh Melayu kepada yang hak, Bila batil diketepikan; Senonoh laku kukuhlah tegak, Besar kecil jadi teladan. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Patuh Melayu kepada sunah, Sunah nabi pembawa rahmat; Senonoh laku sempurna lidah, Hidup mati pahalanya dapat. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |
Patuh Melayu kepada pemimpin, Pemimpin sejati sama disanjung; Senonoh laku terpelihara kain, Batin berisi lahir beruntung. | Khazanah Pantun Melayu Riau | Adat |