Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Assalamualaikum, Segala puji bagi Allah, tuhan semesta alam. Semoga anda semua mendapat rahmat dan hidayah daripadaNya. Bukanlah saya bertujuan untuk meminta pendapat, tetapi lebih kepada memberikan pandangan saya. Apalah kiranya pihak tuan berusaha untuk memastikan segala laman carian (website) seperti "Yahoo", "Google" dan lain-lain menggunakan Bahasa Melayu. Telah saya rujukkan kepada SKMM, dan jawapan hampa mengatakan mereka tiada kuasa untuk itu. Bukan berkenaan kuasa, tetapi usaha sepatutnya dilakukan. Bukankah lebih tegas nampaknya jika jabatan kerajaan yang menekan mereka berbanding seorang individu sahaja, kerana sesebuah kementerian itu sepatutnya mewakili semua rakyat. Mungkin pihak tuan telah pun menjalankan sesuatu, dan saya harap usaha itu akan berterusan supaya dapatlah kita menyatukan rakyat melalui bahasa, seperti yang terjadi di negara-negara lain dan usaha itu perlu dilakukan daripada sekecil-kecil perkara. Semoga Allah memberkati usaha anda semua. Sekian. | Maklum dan terima kasih atas pandangan tuan. | Lain-lain | 11.11.2010 |
maksud kosmologi melayu | Kosmologi ialah salah satu bidang falsafah yg mengkaji asal usul, proses, dan struktur alam semesta. | Makna | 18.07.2010 |
sarwajagat | Encik Hairol, Tiada soalan dikemukakan. Walau bagaimanapun, makna perkataan sarwajagat ialah sejagat, universal,meliputi seluruh dunia dan alam semesta. | Makna | 29.04.2010 |
Assalamuaikum, Saya ingin bertanya perkataan tuhan. 1. Huruf 't' perlu ditulis huruf besar atau huruf kecil? 2. Jika pengguna bukan beragama Islam ingin merujuk tuhan mereka dalam penulisan bahasa Melayu, adakah huruf 't' perlu ditulis dengan menggunakan huruf besar. 3. Jika kata ganti nama digunakan unuk merujuk Allah, lazimnya digunakan huruf besar pada huruf pertama. Adakah perkara yang sama dilakukan jika merujuk tuhan selain Allah? | Kamus Dewan menakrifkan Tuhan sebagai: i) Allah yang mencipta alam semesta dan untuk maksud ini Tuhan dieja dengan huruf besar; ii) sesuatu (seperti dewa dan sebagainya) yang dipuja oleh golongan manusia yang agama atau kepercayaan mereka tidak berasaskan kepercayaan kepada Tuhan Yang Esa dan untuk maksud ini tuhan dieja dengan huruf kecil. | Makna | 23.03.2011 |
Ciri-ciri budaya dalam pantun Melayu. Apakah pandangan masyrakat tentang pantun Melayu kini? Apakah langkah atau usaha-usaha yang dijalankan untuk mengekalkan dan memperkasakan pantun Melayu? | Antara usaha-usaha yang telah dijalan oleh DBP dalam memartabatkan pantun ialah mengadakan Pertandingan Berbalas Pantun Antara Kementerian pada setiap tahun. DBP juga telah menerbitkan banyak buku tentang pantun Melayu. Untuk menjawab persoalan saudara, sila rujuk buku "Pandangan Semesta Melayu: Pantun", terbitan DBP, 2006. | Lain-lain | 29.01.2008 |
1. Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat berkaitan kajian-kajian ilmiah atau tajuk-tajuk kajian, ulasan dan sebagainya yang berkaitan tentang syair bidasari ini? 2.Sejauh simpanan maklumat DBP, berapa banyakkah kajian yang telah dilakukan oleh para sarjana terhadap syair bidasari? | Untuk makluman saudara, berhubung dengan kajian-kajian ilmiah atau tajuk-tajuk kajian tentan Syair Bidasari , dicadangkan supaya saudara menghubungi Jabatan Kesusasteraan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya atau Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, UKM,Bangi. Berdasarkan maklumat yang ada Syair Bidasari telah dikaji oleh Puan Jamilah Hj.Ahmad, seorang pegawai penyelidik DBP dan hasil kajian tersebut telah diterbitkan pada tahun 1089. Prof.Madya Hashim Ismail, seorang pensyarah dari Universiti Malaya juga membuat kajian tentang Syair Bidasari yang berjudul Keindahan Syair Bidasari: Dualisme Yang Indah. Kajian beliau ini dimuatkan dalam buku Pandangan Semesta Melayu: Syair. Buku ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 2005. | Lain-lain | 28.07.2010 |
Soalan saya, adakah dbp menyimpan tajuk-tajuk kajian yang pernah dibuat oleh sarjana tempatan atau luar terntang syiar bidasari. 2. Adakah syair milik masyarakat melayu tradisonal atau berasal dari arab 3. Bilakah asal kedatangan syair ke malaysia? 4. Adakah syair asal bidasari mempunyai nama pengarangnya yang asal | Untuk makluman saudara, Syair Bidasari telah dikaji secara mendalam oleh Puan Jamilah Hj.Ahmad seorang pegawai penyelidik DBP dan hasil kajian tersebut telah diterbitkan pada tahun 1989.Beliau telah membuat perbandingan naskhah lima versi Syair Bidasari. Disamping itu Prof.Madya Dr.Hashim Ismail seorang pensyarah dari Universiti Malaya ada membuat kajian tentang Syair Bidasari yang berjudul Keindahan Syair Bidasari: Dualisme yang Indah. Kajian beliau ini dimuatkan dalam buku Pandangan Semesta Melayu: Syair yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2005. Saudara juga boleh merujuk Pusat Dokumentasi Melayu,Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara tersebut. Antara pegawai yang bertugas yang boleh dihubungi ialah Puan Kamariah Abu Samah ( 03-21481037) atau Puan Fatimah Zahrin( 03-21481044). Istilah Syair sebenarnya berasal dari Arab atau Parsi tetapi bentuk syair yang wujud dalam kesusasteraan Melayu ialah ciptaan orang Melayu mengikut struktur bahasa Melayu dan cita rasa seni sastera Melayu. Syair datang atau berkembang ke Malaysia atau ke alam Melayu khususnya sejak kedatangan agama Islam ke Melaka iaitu sekitar abad kelima belas. Syair Bidasari yang asal ( dalam bentuk manuskrip jawi) tidak tertera nama pengarangnya kerana pengarang syair tersebut hanya membahasakan dirinya sebagai "fakir" sebagai tanda merendah diri. | Lain-lain | 21.07.2010 |
1. Apakah maksud peribahasa "hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri"? 2. Bagaimanakah untuk menggunakan perkataan "merencanakan" serta perkataan "sarwajagat"? 3. Apakah laman web yang mengandungi senarai istilah yang boleh digunakan?seperti yang terdapat dalm peperiksaan SPM...ataupun mungkin di sini terdapat .. | 1. Maksud peribahasa tersebut ialah walau bagaimanapun mewah dan makmurnya negeri orang, namun negeri sendiri juga yang lebih baik. 2. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, merencanakan digunakan seperti yang berikut: 1. mengarang (cerita dll), menghuraikan, menceritakan: maka adalah kurencanakan dalamnya dr zaman moyangku sampai ke masa aku; tidak dapat kurencanakan bagaimana rasa hatiku, marah, sedih, benci, dll; tidak semua kejadian yg direncanakan dlm cerita ini sebenarnya berlaku; 2. menyusun laporan (keterangan, minit, dll): hasil tinjauan tentang kemahuan penduduk Malaysia Timur yg direncanakan oleh rombongan peninjau Bangsa-Bangsa Bersatu dlm laporannya kpd U Thant, diterima baik oleh Kuala Lumpur; 3. menyusun atau membuat rancangan (program dll), merancang: ia meminta kepadaku utk ~ suatu projek perumahan Bupati; dua jurusan penggempuran direncanakan, pasukan Amerika mendarat di Afrika Barat dan Inggeris di Mesir; 4. mengucapkan perkataan (ayat dll) supaya ditulis oleh orang lain: apa yg direncanakan oleh pengurus itu ditulis oleh setiausahanya dlm tulisan trengkas; manakala sarwajagat :(bersifat) sejagat, universal, meliputi seluruh dunia, alam semesta: unsur-unsur yg mendukung idea atau konsep keindahan sastera ~; menghadapi teknologi komunikasi yg bersifat ~; kesarwajagatan keadaan sejagat: kertas kerja yg membahaskan ciri-ciri kebudayaan Islam dgn menitikberatkan ~. 3. Sdr. boleh menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari prpm.dbp.gov.my/">www.prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Istilah | 01.08.2010 |
|
Tesaurus |
---|
| semesta (kata tugas) | Bersinonim dengan sarwa, segala, sekalian, seluruh, semua, para, segenap, serbi, sekotah, setiap, tiap-tiap, seantero, serata, sekujur, seberhana;, | |
|
|