Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Soalan: Rumah itu dibakar habis oleh api. Betulkah penggunaan 'oleh' dlm ayat di atas? 'Oleh' perlu diikuti dengan pelaku yg bernyawa atau mana-mana benda fizikal pun boleh? | Penggunaan oleh dalam ayat contoh tersebut betul kerana kata sendi nama oleh juga menunjukkan hubungan yang membawa maksud sebab. Dapat dikatakan bahawa penggunaan kata sendi nama oleh di sini sebenarnya berpunca daripada oleh sebab yang kemudiannya berlaku pengguguran sebab secara pilihan, Contoh lain: Ia mati oleh (sebab) senjatanya sendiri. | Tatabahasa | 20.07.2012 |
Adakah ayat ini betul? Kalau salah mengapa salah?Di bawah 18 tahun dilarang memasuki kedai ini. Terima kasih. | Ayat tersebut tidak gramatis kerana tiada pelaku (subjek). Ayat mudah yang lengkap ialah ayat yang mempunyai subjek dan predikat. Ayat tersebut hanya terdiri daripada predikat sahaja. - Remaja/Kanak-kanak di bawah 18 tahun dilarang memasuki kedai ini | Ejaan | 09.08.2006 |
macam mana hendak bezakan antara ejaan yang memerlukan imbuhan per... dengan pe....?? | Antara panduan yang boleh digunakan untuk mentukan kata terbitan yang terhasil sama ada dengan awalan pe-... atau per-.... Lazimnya awalan pe-... membawa maksud pelaku, iaitu orang yang melakukan kerja yang terkandung dalam maksud kata dasar seperti pekebun dan peguam. Awalan per-... pula lazimnya penanda makna alat atau tempat seperti perasap (tempat membakar kemenyan) dan perbara (tempat bara api). Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 115. | Tatabahasa | 30.05.2011 |
1)seorang murid lelaki menyusun meja dengan kemas 2) seorang murid lelaki mengelap cermin tingkap dengan baik. adakah kedua-dua ayat ini betul? | Kedua-dua ayat tersebut betul tetapi tidak sejadi (natural) kerana frasa kerjanya membayangkan ada pelaku tertentu yang telah melaksanakan perbuatan menyusun dan mengelap. Ayat yang sesuai ialah 1) Murid lelaki itu menyusun meja dengan kemas. 2) Murid lelaki itu mengelap cermin tingkap dengan baik. | Makna | 11.05.2011 |
Buku yang berharga RM3 saya telah beli. kenapa ayat ini salah. tolong berikan alasan untuk memudahkan saya memberikan penerangan kepada murid saya. sekian. | Buku yang berharga RM3 saya telah beli salah kerana kata bantu atau kata nafi tidak boleh disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif. Contoh lain: i. Buku itu telah saya baca (betul) - Buku itu saya telah baca (salah) ii. Kerja itu mesti kamu siapkan hari ini (betul) - Kerja itu kamu mesti siapkan hari ini (salah) iii. Buku itu tidak saya baca (betul) - Buku itu saya tidak baca. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
Saya telah cuba mencari maksuk ekstralinguistik melalui carian kata tetapi tidak ketemu. Apakah yang dikatakan atau dimaksudkan dengan perkataan ekstralinguistik ? Apakah faktor-faktor ekstralinguistik dalam mempelajari bahasa kedua? | Konteks ekstralinguistik ialah konteks yang buka berupa unsur-unsur bahasa. Konteks ekstralinguistik itu mencakup praanggapan, pelaku (orang yang terlibat dalam peristiwa komunikasi berbahasa termasuklah penutur dan pendengar), topik, latar (tempat, waktu dan peristiwa komunikasi), saluran (ragam bahasa dan sarana yang digunakan dalam penggunaan wacana) dan kod (bahasa yang digunakan dalam wacana). Untuk maklumat lanjut rujuk buku/makalah yang berkaitan, antaranya Unsur-unsur Ekstralinguistik dalam Pemelajaran Bahasa, Noor Aina Dani, Pelita Bahasa, Jun 1988. | Tatabahasa | 02.11.2010 |
assalamualaikum saya masih keliru tentang ekstralinguistik. Boleh tuan berikan contoh? | Konteks ekstralinguistik ialah konteks yang bukan berupa unsur-unsur bahasa. Konteks ekstralinguistik itu mencakup praanggapan, pelaku (orang yang terlibat dalam peristiwa komunikasi berbahasa termasuklah penutur dan pendengar), topik, latar (tempat, waktu dan peristiwa komunikasi), saluran (ragam bahasa dan sarana yang digunakan dalam penggunaan wacana) dan kod (bahasa yang digunakan dalam wacana). Untuk maklumat lanjut rujuk buku/makalah yang berkaitan, antaranya Unsur-unsur Ekstralinguistik dalam Pemelajaran Bahasa, Noor Aina Dani, Pelita Bahasa, Jun 1988. Bahan tersebut boleh diperolehi dengan mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), DBP dan mendaftar sebagai ahli Rakan Dewan dengan kadar bayaran sebanyak RM20.00 selama setahun, dan saudara boleh menggunakan kemudahan KAWAT DBP untuk mencari bahan yang diperlukan. Di Pusat Dokumentasi Melayu banyak terdapat bahan rujukan tentang Dewan Bahasa dan Pustaka. Sila hubungi Pusat Dokumentasi Melayu di talian 03-2148 3541/3540 sekiranya sdr. memerlukan maklumat lanjut. Untuk makluman, DBP pernah menganjurkan Seminar Bahasa Rojak, Seminar Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam, Seminar Antarabangsa Linguistik dan pelbagai seminar lagi yang berkaitan dengan bahasa dan linguistik. Selain itu, sdr. juga boleh berbincang untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pensyarah yang mengajarkan bidang ini. | Lain-lain | 04.11.2010 |
1. Bagaimanakah membezakan penggunaan kata hubung tetapi dan manakala. 2. Antara ayat yang berikut, yang manakah betul penggunaan kata hubung tetapi dan manakala? a. Abu suka makan roti canai tetapi saya suka makan piza. b. Abu suka makan roti canai manakala saya suka makan piza. 3. Ada pendapat yang menyatakan kata hubung tetapi digunakan untuk pelaku yang sama sahaja. Contohnya: a. Budak itu pandai tetapi pemalas. b. Dia pemarah tetapi hatinya baik Adakah pendapat ini betul? | 1. Perkataan tetapi digunakan untuk menyatakan hal yang berlawanan atau bertentangan, seperti ayat: Budak itu pandai tetapi malas. Perkataan manakala pula membawa banyak maksud, iaitu 1. apabila, bilamana; 2. tetapi; dan 3. sedangkan. Perkataan manakala boleh dibezakan apabila membawa maksud pertama dan ketiga. 2. a. Abu suka makan roti canai tetapi saya suka makan piza. b. Abu suka makan roti canai manakala saya suka makan piza. - kedua-dua ayat ini betul 3. Perkataan tetapi digunakan untuk menyatakan hal yang berlawanan dalam ayat majmuk gabungan. Tidak ada maklumat dalam buku Tatabahasa Dewan mensyaratkan hal yang berlawanan itu digunakan untuk pelaku yang sama. b. Dia pemarah tetapi hatinya baik - dari aspek tatabahasanya ayat ini adalah betul, tetapi kurang tepat dari aspek makna. | Tatabahasa | 12.05.2011 |
1.Menurut arkib soalan DBP,soalan 35 memberikan jawapan yang salah iaitu kata-kata aluan adalah betul padahal kata aluan-aluan adalah persis dan tepat.Saya berharap DBP menyedari kesalahan ini. 2.Dalam arkib soalan DBP,frasa tidak dapat dijawab oleh kami juga tidak menepati hukum tatabahasa pelaku kedua,apa komen tuan? | Terima kasih atas teguran tersebut. Kami memohon maaf atas kesalahan itu. Jawapan yang betulnya ialah kata alu-aluan. 2. Frasa yang betul ialah 'tidak dapat kami jawab'. Oleh hanya boleh digunakan untuk kata ganti nama diri ketiga sahaja. Bagaimanapun kami memohon kerjasama pihak tuan/puan untuk menyatakan no. siri arkib soalan yang telah dirujuk bagi membolehkan pihak kami membuat tindakan susulan. Harap maklum. | Tatabahasa | 26.07.2008 |
Merujuk soalan 33 yang telah saya tanya sebelum ini iaitu ' mereka mencuba melupakan masalah itu'. Akhirnya, tuan menjelaskan bahawa ayat aktif di atas perlu dipasifkan menjadi ' Masalah itu cuba dilupakan oleh mereka'. kata ' mencuba ' (dalam ayat aktif )pula ' menjadi ' cuba' ( dalam ayat pasif). Penjelasan tuan telah saya fahami. Cuma saya ingin tahu sebab 'meN- ' itu boleh digugurkan begitu sahaja. Sekurang-kurangnya'meN-' akan menjadi 'di' (jika pelaku KGND ketiga ) atau tanpa imbuhan 'di" (jika pelaku KGND 1 @2). untuk makluman tuan, saya sedang berusaha menjadi Munsyi Dewan yang lebih baik. Oleh itu saya perlu rajin bertanya. Tuanlah menjadi tempat rujukan saya . Tuan juga yang menjadikan saya lebih yakin berhadapan dengan khalayak. Terima kasih. | Imbuhan meN- tidak digunakan dalam ayat pasif. Bagi ayat tersebut "cuba" ialah kata bantu, manakala "dilakukan" ialah kata kerja, maka tidak perlu kata bantu diberi imbuhan. Selain itu, ada sesetengah kata kerja tidak memerlukan imbuhan seperti "makan" dan "minum". | Tatabahasa | 30.04.2009 |