Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Tuan, adakah ayat di bawah mempunyai kesalahan: 1. Bangunan itu kelihatan begitu jelas sekali dari atas Bukit Antarabangsa. adakah frasa begitu jelas sekali salah? kerana terdapat pernyataan menyatakan bahawa kalau terdapat perkataan begitu maka perkataan sekali tidak boleh digunakan di belakang sesuatu ayat? Sila beri jawapan secepat mungkin . Terima Kasih. | Frasa "begitu jelas sekali" betul, dua unsur penguat boleh juga hadir berderetan sebelum kata adjektif, contohnya: sungguh amat indah dan terlalu amat pedih. | Tatabahasa | 23.10.2012 |
selamat malam, saya ingin mendapatkan maklumat mengenai maksud perkataan simbiotik, hedonisme dan mutualirisme. saya berharap pihak DBP dapat membantu. sekian, terima kasih | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, 1. simbiotik ialah (bkn hubungan erat) saling bergantung pd satu sama lain demi faedah dan kebaikan bersama: jelas sekali wujudnya hubungan ~ antara kegiatan pertanian dgn perindustrian di Malaysia. 2. Hedonisme ialah (hédonisme) pegangan atau pandangan hidup yg mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup. 3. Tiada kata mutualirisme yang terakam yang sumber rujukan kami, hanya kata mutualisme mengikut bidang geologi bermaksud kekesalingan dan mutualism mengikut bidang biologi bermaksud (kesalingan) satu bentuk simbiosis apabila kedua-dua pihak mendapat keuntungan tanpa menyebabkan kecederaan kepada mana-mana pihak. | Makna | 08.10.2010 |
Assalamulaikum. Apakah (i) ejaan yang betul (ii) makna, dan (iii) asal-usul perkataan "chan" seperti dalam ayat ini: "Saya takkan bagi chan kat orang macam tu"? Adakah daripada perkataan bahasa Inggeris, "chance"? Terima kasih. | Untuk makluman saudari, perkataan "chan" tiada dalam data kami. Perkataan tersebut tidak diterima dalam bahasa Melayu. Perkataan "Chan" merupakan bahasa percakapan bagi perkataan Inggeris seperti saudari maksudkan. Berdasarkan ayat yang saudari nyatakan, penggunaan bahasa rojak dan jelas sekali ejaan bahasa Inggeris yang tidak tepat. Ini melambangkan pengguna bahasa tersebut tidak memiliki jati diri dan merendahkan martabat bahasa Melayu. Perkataan "chance" yang dimaksudkan mempunyai istilah bahasa Melayu iaitu peluang. Harap maklum. | Tatabahasa | 22.04.2013 |
Kami "berlatih" badminton atau kami " melatih " badminton? Manakah satu ialah jawapan yang paling betul? Apakah perbezaan " berlatih " dan " melatih"? Terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Kami berlatih badminton". Berlatih bermaksud "memahirkan diri", ayat "Kami berlatih badminton " bermaksud kami memahirkan diri dengan permainan badminton, manakala melatih bermaksud "mengajar atau mendidik supaya mahir", ayat "Kami melatih badminton" bermaksud kami mengajar atau mendidik badminton, jelas sekali ayat ini tidak tepat maknanya. | Tatabahasa | 22.06.2009 |
mksud kegawatan ekonomi. Punca, kesan dan cara mengatasi masalah kegawatan ekonomi. | Saudara, Perkataan gawat bermakna berbahaya, genting, tegang: perdarahan demikian biasanya tidak begitu ~ tetapi perlu diadakan pemeriksaan dahulu; menggawatkan : menimbulkan ketegangan, membahayakan (keadaan dll), menggentingkan (keadaan dll): kekejaman yg di lakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin semakin ~; kegawatan : keadaan gawat, kegentingan, ketegangan: jelas sekali masyarakat yg didiskusikan oleh dramatisnya sedang berada dlm ~, kritikal, penuh krisis dan kekacauan; hanya beberapa hari sebelum dijalankan upacara akad nikah, barulah terjadi ~ itu. Untuk mengetahui punca, kesan dan cara mengatasinya, saudara perlulah membuat penyelidikan dan rujukan di perpustakaan di tempat saudara tentang isu ini. | Lain-lain | 10.11.2009 |
Kucing itu sungguh comel sekali.Soalannya berbunyi: adakah kita boleh menggunakan sungguh dengan sekali bersama-sama? Bolehkah tuan/puan/cik memberikan maklumat yang terkini tentang kata penguat?Terima kasih. | Kata penguat sungguh boleh digunakan untuk ayat sungguh comel sekali.Bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas mengenai kata penguat boleh merujuk Tatabahasa Dewan muka surat 247. | Ejaan | 30.03.2005 |
Salam 1 Malaysia, saya sudah merujuk tatabahasa dewan seperti yang disarankan oleh pihak tuan, tetapi kemusykilan saya ialah 'ter' yang dinyatakan dalam contoh hanya merujuk kepada 'ter' yang bergabung dengan kata dasarnya kata adjektif sahaja yang tidak boleh menerima kata penguat darjah penghabisan (ter-, paling dan sekali) contonya * tercantik sekali, *paling pandai sekali. Pandai dan cantik memang kata adjektif namun perkataan 'nama' (Kata Nama), 'desak'(Kata Kerja), yang bergabung dengan imbuhan 'ter-' menjadi 'ternama' dan 'terdesak' tidak dijelaskan berhubung dengan hukum penggunaannya. Persoalannya, adakah 'ter' dalam kes ini berfungsi sebagai imbuhan dan bukannya kata penguat dan peranannya hanya menukar golongan kata nama (nama) menjadi kata adjektif (ternama) dan kata kerja (desak) menjadi kata adjektif (terdesak). Jika ini berlaku, maksudnya, 'ternama' dan 'terdesak' boleh menerima kata penguat paling dan sekali contohnya 'paling ternama' dan 'terdesak sekali'. Saya bertanyakan soalan ini kerana saya perlu menjelaskannya kepada pelajar saya. Terima kasih. | Lihat semula buku Tatabahasa Dewan, halaman 170, di bawah tajuk Awalan teR-. Jelas dinyatakan dalam halaman berkenaan ternama dan terdesak hasil gabungan awalan teR- dan kata nama/kata kerja, dan bukannya darjah penghabisan seperti tercantik. Lihat juga halaman 244 dan bezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. | Tatabahasa | 30.01.2013 |
Setelah merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 245, didapati tiada tatabahasa yang mengatakan "amat sangat sakit" adalah gramatis. Jika tatabahasa ini diterima, maka "sangat amat sedih" atau "amat sungguh sedih" pun menjadi gramatis. Sila berikan penerangan yang jelas. Kenapa tatabahasa "(sangat/amat/sungguh) + adjektif + nian" digugurkan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga? Adakah tatabahasa tersebut tidak gramatis lagi? | Merujuk halaman 245, buku Tatabahasa Dewan, pola yang ada ialah (v) ter- + {amat/sangat} + kata adjektif dan (vi) {amat/sungguh/sangat} + kata adjektif sekali. Oleh itu, berdasarkan pola tersebut contoh yang saudara beri "amat sangat sakit" tidak gramatis kerana bentuk yang betul teramat sakit atau tersangat sakit (pola v) dan amat sakit sekali atau sungguh sakit sekali atau sangat sakit sekali (pola vi). Sebarang persoalan tentang kandungan buku Tatabahasa Dewan saya cadangkan saudara berhubung terus dengan editor yang terlibat. | Tatabahasa | 27.08.2009 |
Salam 1Malaysia, saya memang menyedari bahawa frasa adjektif 'paling baik sekali' memang menyalahi hukum tatabahasa Melayu. Walakin, baru-baru ini anak didik saya menyatakan bahawa frasa tersebut boleh diterima pakai mengikut guru bahasanya. Adakah pernyataannya betul ataupun sebaliknya. Sila berikan penjelasan yang jelas untuk menegakkan kesahihan pernyataannya. Sekian. Munsyi K'Seven | Terdapat tiga jenis kata penguat: A. kata penguat hadapan, iaitu yang terletak di hadapan frasa atau kata adjektif. Contoh: terlalu, paling, agak, cukup; contoh ayat: pokok itu terlalu tinggi; masakannya paling enak;pemandangan di tasik itu cukup indah; harga emas makin mahal; jawapannya kurang tepat;B. Kata penguat belakang, iaitu kata yang letaknya di belakang kata adjektif. Contohnya: sekali, benar, betul dan nian. Contoh ayat: kelakuannya baik sekali; lambat benar dia datang; indah nian istana bunian; keputusan peperiksaannya buruk betul; C. Kata penguat bebas, iaitu letaknya boleh di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contoh: amat, sangat, dan sungguh. | Tatabahasa | 28.03.2013 |
Sejauhmanakah pihak DBP memainkan peranan dalan memantau penggunaan perkataan dan bahasa yang betul dalam dunia pengiklanan terutama sekali papan tanda kedai-kedai yang kebanyakkannya salah . Contohnya "Kedai Menjual Alatulis" jelas salah penggunaan perkataan alat tulis. Harap DBP memohon daripada kerajaan menubuhkan satu pasukan pemantau bagi memantau penggunaan strukrur bahasa yang betul dan tidak megelirukan pelajar. | Dewan Bahasa dan Pustaka(DBP) sentiasa memberikan khidmat nasihat bahasa kepada masyarakat pengguna bahasa dalam sektor awam dan swasta. DBP juga melaksanakan kerja pemantauan dan seterusnya membuat teguran terhadap kesalahan penggunaan bahasa dalam kedua-dua sektor tersebut. Masyarakat pengguna bahasa,contohnya pihak berkuasa tempatan juga sentiasa menghubungi DBP untuk menyemak penggunaan bahasa yang betul dalam urusan kerja di tempat masins-masing. DBP mengalu-alukan cadangan untuk menubuhkan pasukan pemantau dan berharap cadangan ini dapat direalisasikan. | Lain-lain | 15.11.2008 |
|
Tesaurus |
---|
| jelas (adjektif) | 1. Bersinonim dengan terang: nyata, ketara, pasti, jali, curai, izhar, jaleh, Berantonim dengan kabur
2. Bersinonim dengan lunas: selesai, langsai, habis, beres, impas,
| Kata Terbitan : berjelas-jelas, menjelaskan, kejelasan, penjelasan, |
|
|