Sakharov, Andrei Dmitriyevich (19211989) ialah ahli fizik Soviet yang menjadi terkemuka kerana penyelidikannya tentang tindak balas termonuklear terkawal. Usahanya membantu ahli sains Soviet mencipta bom hidrogen pada awal tahun 1950-an. Tetapi, Sakharov menjadi terkenal kerana usahanya mempromosi hak asasi manusia dan keamanan dunia. Dia dianugerahi Hadiah Nobel tahun 1975 kerana usaha ini. Mulai akhir tahun 1960-an, Sakharov dan isterinya Yelena Bonner, berkali-kali mengkritik kerajaan Soviet dengan menuduhnya tidak memberikan hak asasi manusia kepada warganegara Soviet. Pada tahun 1980, Sakharov ditangkap oleh pihak berkuasa Soviet dan dibuang negeri ke Gorki (kini Nizhniy Novgorod), iaitu bandar yang tertutup kepada orang asing. Pada tahun 1986, dia dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Moscow. Pada tahun 1989, Sakharov dipilih menjadi ahli dewan perundangan Soviet yang baru dibentuk yang dinamakan Kongres Wakil Rakyat. |