Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
dia putus akal apabila mendapati keretanya hilang. tuan,putus akal habis akal, tidak tahu apa yg harus dibuat (tidak ada ikhtiar lagi, bingung); adakah ayat ini betul dari segi bahasa? TQ | Ayat 'Dia putus akal apabila mendapati keretanya hilang.' adalah betul. | Tatabahasa | 18.09.2011 |
Saya belum habis bercakap, jangan menyampuk / sampuk. Adakah kata kerja di belakang 'jangan' harus diletakkan imbuhan? Terima kasih. | Selepas kata perintah "jangan", perkataan yang hadir selepas itu tidak semestinya kata kerja terbitan/kata imbuhan. Perkataan yang hadir selepas kata "jangan" boleh sama ada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk atau kata ganda. Contoh: 1. Jangan buang sampah di sini. 2. Jangan berludah di sini. 3. Jangan buka pintu semasa kereta api bergerak. | Tatabahasa | 30.05.2013 |
saya hendak pastikan adakah ayat di bawah betul penggunaan perkataan TINGGAL. 1. Ibu tidak boleh TINGGAL lama di kampung kerana cutinya telah habis. 2. Munirah TINGGAL di perkampungan nelayan Kuala Gula sejak kecil. | Penggunaan perkataan "tinggal" dalam ayat betul. | Tatabahasa | 20.08.2013 |
Disebabkan oleh kekurangan modal pusingan, syarikat itu telah jatuh. Penggunaan "jatuh" dalam ayat ini salah. Adakah "bangkrap" lebih sesuai dalam konteks ayat tersebut? | Perkataan yang lebih sesuai ialah bankrap. Bankrap bermaksudmenderita kerugian dan tidak mampu membayar segala hutang sehingga perniagaan tidak dapat diteruskan. Kedua, jatuh miskin dan habis harta bendanya. | Tatabahasa | 10.04.2013 |
I Rumah itu binasa selepas ribut kencang malam. II Kebahagiaan rumah tangganya binasa akibat daripada sikapnya yang suka berfoya-foya. III Dadah yang bersifat binasa jangan dicuba agar diri kita tidak menanggung kerugian. Iv Bajunya binasa kerana baru sahaja dicuci dengan bahan peluntur warna. Munsyi, penggunaan binasa dalam keempat-empat ayat ini , yang mana satukah yang betul? TK | Binasa bermaksud habis rosak atau hancur sama sekali, atau disebut juga musnah. Dalam bentuk kiasan binasa bermaksud mengalami bencana atau keburukan seperti mendapat kesusahan besar, penyakit, dan lain-lain. Berdasarkan makna tersebut ayat I, II dan IV betul tetapi ayat I dibetulkan menjadi semalam. | Tatabahasa | 08.04.2012 |
salamun alaikum saya abdullah dari Turki (saya tadi hantar mail ini ke PRPM tapi tidak sampai jadi tolong forward mail ini kepada PRPM) saya belajar bahasa melayu, saya banyak pakai web site PRPM ini. saya banyak berterima kasih atas khidmat kamus DBP. saya sejak 4 tahun pakai kamus online dbp, tetapi saya rasa dulu aturan kamus online lagi bagus daripada kamus online sekarang. saya cadangkan mengaturkan kamus cara begini: contohnya saya cari perkataan MAKAN pertama bagilah MAKAN di kamus dewan ke 4 (tetapi bagilah bahagian makan sahaja) lepas itu bagilah perkataan MAKAN di kamus pelajar ; lepas itu kamus inggiris melayu dan seterusnya. dan apabila habis semua kamus baru letakkan perkataan MAKAN yang ada di mana-mana bahagian kamus. minta maaf susahnya bagitahu sistem tersebut kerana saya masih tidak pandai bahasa malaysia. maklumat tentang saya boleh ditanya kepada puan Rosilawati Syarif (pegawai dbp) sekian, terima kasih | Terima kasih atas perhatian yang diberikan. Cadangan saudara kami ambil maklum dan akan dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab menangani hal sistem ini. Kami sentiasa membuat penambahbaikan (jika difikirkan kewajarannya) bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami. | Lain-lain | 13.01.2011 |
Saya berminat menulis sebuah buku tek peringkat Ijazah pertama jurusan matematik untuk subjek Aljabar Linear. Di bawah ada beberapa soalan yang ingin saya tanya 1. Saya diberitahu ada ganjaran RM 20000 untuk penulis disamping bayaran royalti, betulkah? Sehingga bila pemberian ini sah? 2. Bila saya habis tulis the first draft, boleh atau tidak saya minta pertolongan DBP untuk lihat jalan bahasa saya. | Salam sejahtera, Saudara dialu-alukan untuk untuk menyumbangkan penulisan ilmiah. Bahagian Buku Umum, Jabatan Penerbitan, menguruskan penerbitan buku ilmiah. 1. Pada 13 hb. Oktober 2011 diumumkan bahawa Kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mewujudkan dana RM2 juta mulai tahun depan bagi menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Menurut pengumuman tersebut, penulis yang karyanya layak memperoleh dana itu dan akan diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran RM20,000 selain royalti. Walau bagaimanapun kriteria, tatacara dan prosedur untuk dana ini akan disediakan dan diperincikan untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya dan akan dimaklumkankepada bakal penulis. 2. Penulis digalakkan untuk berbincang dengan editor DBP dari semasa ke semasa untuk memastikan proses penulisan lancar dan dapat menghasilkan buku yang berkualiti. Editor bukan sahaja akan menyemak manuskrip dari segi bahasa tetapi juga keseluruhan manuskrip. | Lain-lain | 18.10.2011 |
ulang-alik dan bolak-balik kedua-dua perkataan ini ada perbezaan ?Sila berikan maksud dan penggunaannya. Terima kasih. | Makna ulang-alik ialah kerap kali (berkali-kali) pergi dan balik, bolak-balik, mundar-mandir: empat kali Pak Pandir dgn Mak Andeh berangkut ~, baharulah habis semuanya. Olak-alik pula ialah berulang-ulang, bolak-balik, tidak tetap, (berubah-ubah pendirian, pegangan, percakapan, dll); | Makna | 21.10.2009 |
selamat pagi, 1. wajah pesakit kamser itu_________ a. pucat b. cekang 2.Adakah kedua - ayat ini betul a. Jangan tandus dengan kehendak yang tidak wajar b. Pendebat itu telah tandus idea bagi mematahkan hujah lawan. 3. Penjaga gol berjaya___________bola itu a. Menepis B. menangkis | 1. Wajah pesakit kanser itu pucat. 2. Tandus ialah 1. tidak ditumbuhi apa-apa: padang ~ padang yang tidak ditumbuhi apa-apa. 2. telah habis langsung (berkenaan idea, modal, bakat). a. Jangan tandus dengan kehendak yang tidak wajar. Penggunaan perkataan tandus tidak sesuai dalam ayat di atas. b. Pendebat itu telah ketandusan idea bagi mematahkan hujah lawan. 3. Penjaga gol berjaya menangkis bola itu.
| Tatabahasa | 13.03.2013 |
a. saya keliru dengan penggunaan perkataan "berhemah" dengan "berhemat". 1. Apa beza antara kedua-duanya. 2. Boleh beri contoh ayat yang sesuai ? b. ada khabar angin mengatakan kamus dewan edisi 4 tidak "valid". Betulkah ? | Sekiranya sdr merujuk Kamus Dewan, kata berhemah membawa maksud seseorang yang mempunyai budi pekerti yang mulia: Contoh ayat; dia jujur dan berhemah tinggi. Manakala kata berhemat menggambarkan sikap seseorang yang berjimat cermat dalam perbelanjaan atau penyimpanan wangnya. 1. berjimat, bercermat: sebab itu dia hendak ~ menyimpan wang; 2. berhati-hati, teliti: amatlah mustahaknya pengarang itu ~ kerana sekiranya perkataannya itu didapati palsu maka hukuman terhadapnya menjadi berat; ingat sebelum kena, ~ sebelum habis prb perlu berikhtiar dgn sungguh-sungguh supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Berkaitan dengan khabar angin yang mengatakan Kamus Dewan Edisi keempat tidak sah (valid) kurang tepat. Hal ini demikian, kerana Kamus Dewan ini menjadi rujukan umum pengguna bahasa dan mendapat permintaan yang sungguh menggalakkan daripada pengguna bahasa. Untuk makluman pihak tuan, Kamus Dewan juga diterbitkan dalam bentuk digital (cakera padat), iaitu Kamus Dewan Eja Pro. Walau bagaimanapun, kami merakamkan ucapan terima kasih atas keprihatinan tuan terhadap Kamus Dewan Edisi Keempat ini. DBP sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan, maklum balas, dan komen daripada pengguna terhadap produk DBP untuk tindakan penambahbaikan. | Tatabahasa | 11.06.2009 |