Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Minta maaf, kerana saya masih keliru tentang: 1) Simpan sesuatu di dalam beg atau simpan sesuatu ke dalam beg? Kerana dalam soalan awal, tuan telah memberitahu bahawa kita patut simpan sesuatu | Frasa "di dalam" digunakan di hadapan kata yang menunjukkan ada ruang seperti di dalam gelas, di dalam beg, manakala frasa "ke dalam" digunakan di hadapan kata nama yang menunjukkan arah/tempat yang dituju yang mempunyai ruang yang jelas/abstrak seperti ke dalam sungai, ke dalam beg dan ke dalam bahasa Melayu. Oleh itu, ayat Simpan sesuatu di dalam beg atau simpan sesuatu ke dalam beg adalah betul bergantung pada konteks penggunaannya. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
Kenapa ada akhbar harian berbahasa Melayu masih menggunakan perkataan yang dieja salah seperti atlit (sepatutnya atlet ), bowling ( boling), stokin ( stoking ) dan lain-lain ? Para wartawan juga kerap menggunakan perkataan 'dan' pada awal ayat. Apakah komen dan tindakan DBP dalam hal ini? | Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan pemantauan terhadap penerbitan akhbar-akhbar dan majalah-majalah dan kami akui masih terdapat kesilapan baik dari segi ejaan ataupun tatabahasa dalam artikel sesetengah penerbitan. DBP telah mengeluarkan surat teguran kepada pihak penerbitan yang berkenaan. | Lain-lain | 29.11.2009 |
Assalammualaikum w.b.t. Saya pelajar Phd prasekolah. soalan saya masih tentang menulis. saya ingin mengetahui Apakah perbezaan bagi penggunaan perkataan tulisan, menulis, penulisan dan kemahiran menulis ? adakah terjemahan saya tepat tentang penggunaan kata writing iaitu students who are taught the writing process early ........ developing clearer and higher quality writing pieces , pelajar yang diajar proses menulis daripada peringkat awal ........ pelajar yang dapat membangunkan dengan lebih jelas dan lebih tinggi kualiti dalam penulisan. Terima kasih | Tulisan ialah sesuatu yang ditulis. Menulis merujuk perbuatan mencatat kata-kata dengan huruf dan memakai pena. Penulisan bermaksud perihal atau kegiatan menulis dan mengarang. Oleh itu, penggunaan setiap perkataan tersebut mestilah tepat mengikut konteks ayat tersebut. Proses menulis ialah terjemahan yang betul mengikut konteks ayat tersebut. | Lain-lain | 23.07.2012 |
Saya masih keliru: 1. Ejaan bagi pokok "Jelutong", "Chengal" dan "Nyatoh" bolehkah diubah kepada "Jelutung", "Cengal" dan "Nyatuh"? 2. Adakah nama-nama pokok seperti tongkat ali, kacip fatimah, jelutung, cengal, meranti sarang punai, meranti tembaga dll. ditulis dengan huruf besar (huruf pertama) jika ia berada di dalam teks? Adakah nama-nama pokok ini dianggap nama khas? Contoh ayat: Pak Ali sedang mengusahakan ladang pokok tongkat ali untuk dikomersialkan. | 1. JELUTUNG - tumbuhan (pokok), Dyera costulata; ~ badak sj tumbuhan (pokok renek), Ervatamia corymbosa; ~ laut sj tumbuhan (pokok), Euphorbia atoto; rotan ~ sj rotan, rotan segera (kerai, gelang, kemunting), Daemonorhops geniculatus. CENGAL- ~ batu = ~ emas = ~ sabut = ~ siput sj tumbuhan (pokok yg kayunya keras dan elok utk dibuat rumah dll), Balanocarpus heimii; ~ kampung = ~ pasir sj tumbuhan (pokok besar), Hopea odorata. NYATUH - sj tumbuhan (pokok yg kayunya elok utk bahan rumah), tabah putih, Palaquium obovatum; 2. = ~ beringin = ~ sondai sj tumbuhan (pokok yg kayunya elok utk bahan rumah), Payena Lavilandii. 2. Nama-nama pokok tidak perlu ditulis dengan huruf besar kecuali di awal ayat kerana nama-nama pokok tersebut merupakan kata nama am. | Tatabahasa | 16.04.2008 |
Kenapa ejaan dikemaskinikan perlu dirapatkan sedangkan kemas kini adalah kata majmuk | kemas kini ialah kata majmuk yang dieja dua perkataan. Apabila kata majmuk ini menerima apitan pada awal dan akhir kata (di-...-kan) maka terbentuklah dikemaskinikan, jika hanya menerima awalan sahaja seperti dikemas kini ejaannya masih dua perkataan. | Tatabahasa | 26.12.2012 |
saya telah ditugaskan untuk menyediakan satu tugasan yang bertajuk 'Implikasi penjajahan media massa barat terhadap bahasa melayu' saya harap pihak DBP dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat bagi saya menyediakan tugasan ini. sekian, terima kasih. | Kalau saudari masih ingat semasa saudari melayari laman ini, saudari pasti akan terbaca kenyataan berikut di awal paparan: KNB membantu anda menyelesaikan pelbagai masalah penggunaan bahasa Melayu. - Ejaan Rumi dan Jawi
- Perkataan dan istilah
- Penyemakan bahasa
Bagi tujuan tugasan kuliah, saudari perlu hadir sendiri ke Pusat Dokumentasi Melayu, Menara DBP, atau perpustakaan yang berdekatan. | Lain-lain | 06.09.2009 |
Saya berminat untuk menghadiri sebarang seminar/persidangan dsb yang berkaitan bahasa dan sastera. Diharap pihak tuan dapat memberitahu jadual bagi tahun 2008. Terima kasih. | DBP memang sentiasa mengadakan seminar atau persidangan yang berkaitan dengan sastera, tetapi buat masa ini kalendar untuk tahun 2008 masih belum dapat disediakan, namun demikian, pihak kami sentiasa membuat siaran di akhbar-akhbar dan juga melalui laman DBP. Mohon saudara sentiasa membuka laman DBP untuk mendapatkan maklumat yang saudara kehendaki. Ketika ini masih belum ada sebarang seminar atau persidangan dalam perancangan awal tahun ini. | Lain-lain | 08.01.2008 |
1. Apakah ejean yang tepat untuk Yang Berbahagia, Yang Berusaha, YBhg atau YBhg.,YBrs atau Y.Brs. atau YBrs. 2. Jika ejaan bagi screw ialah skru, bukan skrew. Dengan demikian crew harus dieja kru bukan krew. Ejaan tidak seragam antara TV3, RTM dan akhbar. Sila beri penjelasan. 3. Saya masih keliru tentang penentuan waktu. Saya pernah merujuk dgn BDP pada awal tahun 2000. Petang bermula pada pukul 2.00 hingga 6.59 petang. Malam bermula dari pukul 7.00 hingga 11.59 malam. Penentuan waktu ini tidak seragam. TV3 menggunakan petang dari pukul 1.00 hingga 7.00 petang. Ada ketikanya 7.30 pun masih petang. Boleh tuan jelaskan tentang penentuan waktu ini. Terima kasih. | YBhg. Datuk, i. Ejaan yang tepat ialah YBhg. dan YBrs. ii. Sehingga kini tiada pembentukan kata kru atau krew. Padanan yang digunakan ialah petugas, pekerja atau anak kapal. 3. Pukul 12.00 hingga 1.59 ialah tengah hari; 2.00 hingga 6.59 ialah petang; 7.00 hingga 11.59 ialah malam; 12.00 hingga 12.59 ialah tengah malam; 1.00 hingga 11.59 ialah pagi. Dicadangkan semua stesen penyiaran di bawah Kementerian berkenaan bertemu dan membuat satu keputusan tentang penyeragaman penggunaan bahasa di semua stesen penyiaran. | Tatabahasa | 13.05.2010 |
Kenalan dari Brunei. Namanya Rashid Rahman Hassan. Nama panjang: Awang Haji Abdul Rashid bin Awang Haji Damit. Untuk yang tak tau, Rashid ialah pemenang tempat kedua Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2011 dekat PICC awal tahun ni, dan dia mewakili negara Brunei. memberitahu bahawa terdapat kesilapan kita dalam menterjemah jawi-rumi. sepatutnya peribahasa yang betul adalah: harapkan pegar (burung pegar), pegar makan padi & bagai melepaskan batok (tempurung) di tangga bukan harapkan pagar, pagar makan padi & bagai melepaskan batuk di tangga. | Pendapat baharu tentang peribahasa “Harapkan pegar, pegar makan padi” (Harapkan pagar, pagar makan padi) yang banyak dibincangkan di ruang maya ini belum dapat dipastikan kesahihannya kerana sehingga kini belum ada dapatan/kajian yang dapat mengesahkan kebenarannya. Tidak ada maklumat terperinci tentang peribahasa dalam pangkalan data kami. Peribahasa ialah khazanah yang terakam sejak dahulu lagi, walaupun dicetak berulang kali tetapi bentuk asalnya tetap dikekalkan. Begitu juga dengan peribahasa “Melepaskan batuk di tangga”. Walaupun pendapat yang mengatakan bahawa yang benarnya ialah “Melepaskan batok di tangga” semakin digemari, buku peribahasa masih mengekalkan bentuk yang sedia ada. Wallahua’lam. | Tatabahasa | 06.01.2012 |
Saya ingin bertanya apakah nama-nama tempatan tumbuhan seperti bunga raya, bunga ros, durian belanda dan sebagainya tergolong dalam kata nama am ataupun khas? Terdapat dua jawapan berbeza berdasarkan tahun di arkib khidmat nasihat. Apabila digunakan sebagai tajuk, adakah perlu saya menggunakan ia sebagai kata nama khas? Contohnya 'Pokok Durian Belanda' atau saya masih boleh menggunakan kata nama am iaitu 'Pokok durian belanda'? | Perkataan durian belanda, bunga ros, bunga raya tergolong dalam kata nama dan dieja dengan huruf kecil sekiranya dalam ayat. Bagi penulisan tajuk, lazimnya ditulis dengan huruf besar di awal perkataan kecuali kata hubung yang ditulis dengan huruf kecil. | Tatabahasa | 08.03.2013 |