Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Assalamualaikum wbt. Adakah wujud terjemahan tertentu untuk perkataan ini: slip, lapse dan mistake dalam bahasa melayu? | Untuk makluman, padanan bahasa Melayu untuk perkataan yang diberikan adalah seperti yang berikut: 1. slip - slip, gelincir 2. lapse - luput, lelap, jurang, selang 3. mistake - silap, salah Penggunaan padanan bahasa Melayu yang diberikan bergantung pada konsep dan konteks. | Istilah | 21.05.2013 |
BETUL ATAU TIDAK PERKATAAN/AYAT MELELAPKAN BAYARAN? CONTOH DI BAWAH. 6.2 Adalah sentiasa dipersetujui oleh kedua-dua pihak bahawa cagaran yang dirujukkan di perenggan 6.1 di atas akan dikembalikan kepada Pengusaha tanpa apa-apa faedah selepas perjanjian ini ditamatkan dengan memuaskan dan tertakluk kepada potongan yang dibuat oleh Koperasi mengikut perjanjian ini. Adalah dipersetujui bahawa KKUiTMB berhak untuk melelapkan Bayaran Dahuluan jika perjanjian ini ditamatkan oleh sebab apa-apa perlanggaran syarat-syarat perjanjian ini oleh Pengusaha dan kelelapan deposit ini juga tidak akan menyekat Koperasi untuk menuntut kerugian atau gantirugi lain yang diakibatkan oleh Kontrak ini. | Dalam bidang kewangan, perkataan melelapkan bayaran dalam ayat tersebut betul kerana berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, lelap bermaksud tidak dapat ditebus kembali kerana sudah lewat masanya (barang gadaian). Mohon dibetulkan ejaan ganti rugi (dua perkataan). | Istilah | 15.04.2021 |
Salam sejahtera, saya masih kurang pasti untuk membezakan kiasan sandar dengan kiasan terus. Bolehkan Munsyi Dewan menjelaskan perbezaan antara dua jenis kiasan ini dan bagaimanakah untuk membezakannya. Adakah kedua-dua kiasan ini merupakan simpulan bahasa? Sekian, terima kasih. | Tiada maklumat berkaitan dengan kiasan sandar dan kiasan terus dalam pangkalan DBP. Namun daripada maklumat daripada web, kiasan sandar ialah kiasan yang dikaitkan dengan benda lain yang serupa dengan perkara yang dikiaskan. Contohnya :mandi kerbau (mandi seperti kerbau, tidak bergosok dan sebaliknya menambah daki); tidur ayam (tidur tidak lelap betul); pening lalat dan jinak merpati. Kiasan terus pula ialah kiasan yang menyatakan sesuatu perkara secara terus dengan perkara lain. Contohnya kutu embun (orang yang suka merayau-rayau dengan tidak tentu tujuan pada malam hari), mabuk laut dan naik darah. | Makna | 08.08.2014 |
|
|