Tajuk |
Sinopsis |
Bidang |
Klasifikasi |
SAND, GEORGE | Sand, George (18041876) ialah nama pena Amantine-Aurore-Lucile Dupin, seorang penulis wanita Perancis pada tahun 1800-an. Karyanya dikagumi oleh para penulis agung zamannya. Tulisan Sand sudah tidak lagi disukai selepas dia meninggal dunia dan dia dikenang hanya kerana cara hidupnya serta percintaannya yang mengejutkan dengan penggubah Frédérick Chopin dan penyair Alfred de Musset. Dia melanggar tatasusila sosial dengan menghisap cerut dan memakai pakaian lelaki. Semenjak gerakan wanita muncul pada pertengahan tahun 1900- an, karya Sand telah dijumpai semula dan dia menarik perhatian yang kritis sebagai novelis dan penulis autobiografi. | UMUM | |
LANOH | LANOH, suku kaum Orang Asli daripada rumpun bangsa Semang-Negrito. Masyarakat ini turut dikenal sebagai Lano dan Sahubn tetapi nama Sabubn sudah tidak digunakan. | BUDAYA | Konsep |
MEMORI | Memori ialah kebolehan untuk mengingat sesuatu yang sudah dipelajari atau yang pernah dialami. Memori merupakan bahagian penting dalam proses pembelajaran. Jika kita tidak mengingati langsung tentang masa lampau, maka kita tidak akan dapat mempelajari sesuatu yang baru. Semua pengalaman kita akan hilang sebaik sahaja pengalaman tersebut berakhir dan setiap keadaan baru betul-betul merupakan suatu perkara yang asing. Tanpa memori kita akan mengalami pengalaman yang sama berulang kali untuk pertama kalinya. Kita juga akan kehilangan nikmat yang diberikan oleh memori kepada kehidupan nikmat kenangan yang indah di samping kenangan yang menyedihkan. | UMUM | |
SIBIL | Sibil ialah gelaran untuk ahli nujum wanita yang sudah berusia pada zaman Rom purba. Ahli nujum yang terkenal ialah Sibil Cumaen. Menurut mitologi, dewa Apollo berjanji bahawa Cumaen boleh hidup setahun bagi setiap butir pasir yang boleh digenggam di dalam genggamannya. Walau bagaimanapun, Apollo tidak menganugerahinya sifat awet muda dan dia pun kelihatan semakin hari semakin tua. Sibil Cumaen membawa Aeneas, pahlawan Trojan, ke dunia untuk mengetahui masa depan Rom. Kemudian, dia menawarkan diri untuk menjual sembilan buah buku mengenai ramalan yang dikenali sebagai Sibylline Books, pada harga yang tinggi kepada raja Rom. Apabila raja menolaknya sebanyak dua kali, Sibil membakar tiga buah buku setiap kali. Raja Rom akhirnya membayar harga asal untuk hanya tiga buah buku. Buku ini dijadikan bahan rujukan semasa menghadapi saat-saat bahaya sehinggalah buku ini musnah dalam kebakaran pada tahun 83 S.M. | UMUM | |
TEBUS TALAK | TEBUS TALAK, pembayaran daripada isteri yang memohon talak daripada suaminya. Jumlah bayaran ditentukan oleh suami. Pembayaran ini merupakan ganti rugi daripada isteri kepada suami akibat talak tersebut. Keadaan seumpama ini berlaku apabila pihak suami enggan menceraikan isteri tetapi isteri sudah tidak boleh lagi hidup di samping suami. Kadangkala jika isteri tidak mampu membayar tebusan dan kes tersebut tidak dirujuk kepada hakam, isteri mengambil sikap meninggalkan pihak suami (nusus). Suami pula masih enggan menceraikannya. Keadaan ini menyebabkan isteri tersebut digantung tidak bertali. | BUDAYA | Konsep |
SEJARAH NEW ZEALAND | New Zealand, Sejarah . New Zealand dinamakan oleh seorang pelukis peta Belanda yang tidak diketahui, selepas jurumudi Belanda, Abel Tasman mengunjungi kawasan ini pada tahun 1642. Tasman merupakan orang Eropah pertama yang diketahui mengunjungi New Zealand . Tetapi New Zealand sudah dijumpai dan didiami seribu tahun lebih awal oleh penduduk Polinesia Timur, mungkin dari Kepulauan Cook atau Tahiti. Pada pertengahan tahun 1800-an, keturunan daripada mereka ini menggunakan nama Maori, daripada ungkapan mereka tangata maori (orang biasa), untuk membezakan mereka daripada pendatang asing Pakeha (Eropah) peneroka British yang menjajah negara itu pada waktu itu. Orang Maori memanggil negara mereka Aotearoa, bermakna negara awan putih yang panjang, yang dikatakan oleh sesetengah orang Maori sebagai nama yang mula-mula digunakan oleh Kupe, penemu legenda negara ini. | UMUM | |
PROFILAKSIS | Profilaksis bererti sebarang rawatan yang melindungi seseorang daripada penyakit. Profilaksis juga dikenali sebagai rawatan pencegahan . Rawatan ini berlainan daripada rawatan pembaikan atau rawatan penyembuhan , yang diberikan apabila pesakit sudah pun menghidap penyakit ataupun dalam keadaan tidak sihat. | UMUM | |
MONTFORT, SIMON DE | Montfort, Simon de (1208?1265), negarawan dan askar Inggeris, yang memberi sumbangan kepada perkembangan kerajaan berparlimen di England. Dia dikenal sebagai Bapa Dewan Rakyat. Tetapi usahanya lebih kepada memperkukuh sistem Parlimen yang sudah sedia ada. Montfort ialah kesayangan Raja Henry III, tetapi tidak kekal kerana kesungguhannya untuk melaksanakan pembaharuan politik. Henry III mahu memerintah ikut sesuka hatinya, dan ini menyebabkan Montfort mengetuai satu pemberontakan untuk mengehadkan kuasa raja mengikut undang-undang. Henry dan anaknya (kemudian Edward I) mengangkat senjata untuk menentang, tetapi Montfort menangkap kedua-duanya di pertempuran Lewes pada tahun 1264. | UMUM | |
PERANG ROS | Perang Ros mencetuskan persengketaan awam di England pada akhir tahun 1400-an. Dua wangsa diraja berperang untuk merebut takhta. Simbol yang dipilih oleh setiap pihak merupakan nama bagi perang ini. Wangsa York sudah lama menggunakan bunga ros putih sebagai lambangnya. Wangsa Lancaster pula dikaitkan dengan lambang ros merah, tetapi ahli sejarah tidak pasti bila lambang ini bermula. Sesetengahnya berpendapat bahawa lambang ros merah hanya wujud sewaktu pertempuran yang terakhir. Perang ini bermula pada tahun 1455 dengan Pertempuran Saint Albans, dan berakhir pada tahun 1485 dengan Pertempuran Bosworth Field. | UMUM | |
TILIK | TILIK, perbuatan merenung, meramal atau menelah sesuatu yang sudah atau akan terjadi sama ada peristiwa, penyakit atau nasib. Tilik banyak dikuasai oleh bomoh, dukun atau pawang. Bagaimanapun, cara menilik berbeza dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Biasanya tukang tilik menggunakan tapak tangan untuk menilik. Daripada garis-garis tapak tangan, seseorang tukang tilik boleh mengetahui nasib rezekinya, kedudukan pekerjaannya, jodoh pertemuan, kebahagiaan rumah tangga, kedudukannya dalam masyarakat dan juga penyakit. Daripada tapak tangan juga, tukang tilik dapat melihat apa yang sudah dialami oleh seseorang, penyakit yang pernah dihadapi dan kejadian penting yang tidak terlupakan sehingga menghantui seseorang itu. | BUDAYA | Konsep |
|
Puisi |
---|
|
Sudah nasib pisang jeranang, Berjantung ada berbuah tidak; Sudah nasib apa dikenang, Orang dikenang teringat tidak.
Lihat selanjutnya... |
|