Sawdah bint Zamah ( ? 55 H. / ? 675 M.) ialah salah seorang daripada isteri Rasulullah s.a.w. Sawdah bint Zamah berasal dari kalangan bangsawan Quraisy Amiriyyah. Dia pernah berhijrah ke Habsyah bersama-sama bekas suaminya al-Sakran ibn Amru yang juga seorang Muslim yang bersaudara dengan Suhayl ibn Amru. Kemudian mereka pulang ke Makkah dan setibanya di sana, suaminya meninggal dunia. Baginda mengahwininya tiga tahun sebelum Hijrah, iaitu selepas kematian Khadijah bint Khuwaylid. Sebenarnya, Khawlah bint Hakim, iaitu isteri Uthman ibn Mazun yang mencadangkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. dan meminang Sawdah bagi pihak nabi. Baginda Rasulullah s.a.w. pernah berhasrat untuk menceraikannya bahkan menurut sesetengah riwayat lain, Baginda telah menceraikannya, tetapi dia memohon agar dirujuk kembali kerana ingin dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama para isteri Baginda yang lain. Menurut riwayat lain, dia adalah wanita yang menjadi sebab turunnya ayat yang memerintahkan kaum wanita Islam memakai hijab. Dia meninggal dunia di Madinah. Lihat juga Isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. |