Nisbah jantina ialah perkadaran lelaki kepada perempuan dalam sesuatu jumlah penduduk. Kajian tentang rekod kelahiran bagi manusia dan haiwan lain menunjukkan bahawa banyak spesies mempunyai lebih banyak individu daripada satu jantina berbanding jantina yang lain. Misalnya, di kalangan manusia, 103 hingga 107 bayi lelaki dilahirkan bagi setiap 100 bayi perempuan. Bagaimanapun dalam jumlah penduduk dewasa, kaum wanita adalah lebih ramai kerana pada puratanya, kaum wanita hidup lebih lama. Kuda melahirkan kira-kira 98 ekor anak kuda jantan bagi setiap 100 ekor anak kuda betina. Ayam pula mempunyai nisbah 95 ekor ayam jantan bagi setiap 100 ekor ayam betina. |