Surah al-Furqan ialah salah satu daripada surah Makkiyyah, surah yang ke-25 mengikut susunan surah-surah al-Quran dan mengandungi 77 ayat. Surah ini dinamakan al-Furqan kerana Allah S.W.T. menyebut tentang al-Quran melalui ayat-ayat surah ini dengan menyatakan bahawa ia adalah kitab yang diturunkan kepada hamba-Nya, Muhammad s.a.w. Al-Quran adalah suatu nikmat yang terbesar kepada seluruh manusia kerana ia umpama cahaya terang dan gemilang yang dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai pembeza antara kebenaran dengan kebatilan, antara cahaya dengan kegelapan serta antara kekufuran dengan keimanan. Lantaran itu al- Quran selayaknya diberi nama al-Furqan atau pemisah. |