Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
saya tidak berapa jelas penggunaan ayat ini *di kalangan @ dalam kalangan *sifat rajin @ sikap rajin Apakah penanda wacana? | Di ialah kata sendi yang menunjukkan tempat/arah sedangkan kalangan bermaksud lingkungan (bukan tempat/arah), antara dua frasa ini yang paling tepat ialah dalam kalangan. Yang betul ialah sifat rajin kerana sifat ialah keadaan yang dipunyai oleh orang. Penggunaan ungkapan tertentu yang menunjukkan perkaitan fikiran yang dengan tersendirinya membayangkan perkaitan peristiwa yang berlaku dan inilah dinamai penanda wacana. Untuk maklumat lanjut tentang penanda wacana sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga, halaman 525. | Tatabahasa | 23.02.2009 |
Soalan Kata Hampir Sama Makna Cahaya lampu jalan yang _________ menyebabkan kami takut untuk meneruskan perjalanan. A. suram B. kelam C. muram D. pudar Saya berasa keliru akan penggunaan setiap perkataan di atas. | Suram bermaksud tidak berapa terang (cahaya dan lain-lain) atau agak gelap. Kelam bermaksud tidak berapa terang (berkenaan cahaya, keadaan hari, dan lain-lain), atau agak gelap atau suram. Muram bermaksud tidak berapa terang (cahayanya), buram, guram, kelam, suram. Pudar bermaksud kurang cahayanya, tidak terang atau cerah, tidak berseri-seri, suram. Berdasarkan makna tersebut suram/kelam/muram/pudar boleh menjadi jawapan kepada soalan tersebut. | Tatabahasa | 21.03.2012 |
Tuan, adakah ayat ini betul? "Harumannya semakin pudar". Terima kasih. | Pudar bermaksud kurang cahaya atau tidak berapa terang dan tidak tepat dari aspek semantik dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 14.02.2012 |
Puan, Bolehkah puan jelaskan perkataan "berapa-berapa"? | Menurut kamus dewan, tidak terdapat maklumat perkataan "berapa-berapa". | Istilah | 27.11.2012 |
Maaf, kerana masih tidak berapa faham tentang jawapan yang diberikan. Adakah contoh yang diberi, iaitu 'kaubacalah buku ini' merupakan ayat pasif atau ayat aktif? Apakah yang dimaksudkan dengan kata kerja pasif? Jika pergabungan 'kau' dan 'ku' di hadapan perkataan hanya dibenarkan dalam kata kerja pasif, adakah contoh-contoh berkenaan betul? Kaudatang dari mana? Masa kaukeluar, kau gembira dan tersenyum saja, tapi balik dalam keadaan begini! Kuberitahu dia. Kenapa kaubiarkan dia sendiri ke sana? Berkenaan dengan soalan tentang penggunaan tanda baca soal dan tanda seru, adakah kedua-duanya boleh digunakan sekali? Hal ini kerana penggunaannya seperti contoh (Apa?! Seminggu?! Berapa hari dalam seminggu?!" Ayahnya meradang tanpa alasan.) kerap kali dijumpai dalam cerpen dan artikel Melayu. (penggunaan tentang tanda baca tidak dibincangkan dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.) Soalan ketiga, iaitu adakah 'disebabkan' perlu diikuti dengan 'oleh'? (tidak diberikan definisi dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga). Yang dijelaskan, hanyalah tentang penggunaan 'oleh sebab'. Terima kasih. | Sila susun soalan yang hendak dikemukakan supaya dapat dijawab satu per satu, terutama masalah yang ingin dibincangkan. Kebanyakan contoh ayat yang diberikan ialah ayat dalam novel yang merupakan cakap ajuk. Buku Tatabahasa Dewan hanyalah salah satu daripada rujukan buku tatabahasa, saudara perlu merujuk buku-buku tatabahasa yang lain atau pusat bahasa di IPTA/IPTS. | Lain-lain | 08.07.2010 |
Apakah jawapan yang sesuai, Dia memandikan adiknya dengan air ( ) kerana cuaca terlalu sejuk. a. panas b. hangat c suam d. sejuk jawapan yang dicadangkan adalah suam. bukankah air suam sesuai sebagai minuman. | Jawapan "air suam" betul kerana air suam bermaksud air yang tidak berapa panas dan digunakan sebagai minuman atau bukan minuman. | Tatabahasa | 12.11.2012 |
Adakah perkataan 'bena' (sekiranya wujud) diterjemahkan daripada perkataan 'banner'? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan bena bermaksud (béna) endah, hirau, peduli: janganlah buat tidak ~ kpd budak itu; ~ tak ~ endah tak endah (tidak berapa peduli);membenakan menghiraukan, mengendahkan, mempedulikan: tidak ~ musuh datang. Manakala perkataan "banner" merujuk pada "kain rentang" iaitu jaluran kain yang panjang, yang direntang melintang atau sepanjang jalan. Oleh itu, perkataan "bena" dan "banner" tiada kena mengena antara satu sama lain. | Istilah | 01.04.2013 |
MAKSUD SURAM | Suram bermaksud 1. tidak berapa terang (cahaya dll), agak gelap, kurang cahaya, redup (cuaca): di dlm kamar tidurnya itu hanya lampu tidur sahaja yg hidup, lampu kecil yg ~ cahayanya; petang yg ~; 2. tidak berkilauan atau bercahaya (barang emas, perak, dll), tidak bening (batu permata), buram: kalau beberapa hari tidak dicucinya, kereta itu kelihatan ~; 3. tidak berseri-seri (muka, mata, dll), kusam, kuyu, muram (kerana sedih dll): di ambang pintu terdiri Jenab dgn pakaian serba hitam, rambutnya tidak berdandan, mukanya ~; matanya ~; 4. kurang seronok (kehidupan dll), kurang berbahagia, susah (hati dll), sedih: sesekali guruh menderam di sebelah barat, di hati mereka ~, besok entahkan hujan!; kehidupan yg ~; | Makna | 02.10.2010 |
Salam Tuan/Puan Bolehkah pihak DBP memberi komen kepada hasil nukilan saya seperti di bawah. Untuk pengetahuan pihak DBP saya tidak berapa pasti apakah hasil nukilan saya ini puisi atau sebaliknya. Saya juga ingin mendapatkan komen daripada pihak DBP sama ada hasil nukilan ini layak untuk di siarkan di mana-mana majalah atau surat khabar. Terima kasih dengan komen yang akan diberikan. Anak-anakku kau umpama cahaya matahari Yang tidak pernah jemu menyinari bumi Begitu juga kalian menyinari kehidupan ayah dan umi Anak-anakku Kecerian terpancar di wajah dan senyum di bibir kalian Sungguh mendamaikan dan menyejukkan umpama air sungai yang mengalir tenang Anak-anaku Kaulah harta yang paling bernilai di dunia ini Diri kalian tidak boleh di jual beli Jika hilang tidak akan muncul kembali Anak-anakku tanpamu kalian di sisi umpama langit yang gelap yang tidak berbintang penuh diselubungi awan hitam Anak-anakku Ayah dan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraan kalian Agar menjadi anak-anak yang soleh dan taat Dengan perintah Tuhan | Waalaikumsalam puan, Bagi mendapatkan sebarang ulasan entang hasil nukilan puan, sebaik-baiknya puan hantarkan puisi tersebut mengikut format puisi yang sebenar kepada e ditor Dewan Sastera di Bahagian Majalah DBP, atau fadhli@dbp.gov.my. Setiap puisi yang dihantar perlu dinilai terlebih dahulu oleh editor bagi memastikan bahawa puisi tersebut menepati kriteria yang ditetapkan dan sesuai untuk diterbitkan.Terima kasih. | Lain-lain | 30.11.2013 |
Dalam kata bilangan, kita sepatutnya menggunakan "pelbagai jenis buah" atau "pelbagai jenis buah-buahan"? Pada pendapat saya, buah-buahan telah membawa maksud jamak, jadi sepatutnya "pelbagai jenis buah" betulkah? Tapi selalunya ternampak buku-buku dan surat khabar menulis "pelbagai jenis buah-buahan".. | Saya bersetuju dgn sdr dengan frasa "pelbagai jenis buah" yang membawa maksud jamak. Apa yg kita lihat dalam akhbar, kemungkinan penulis tidak sedar bahawa mereka telah menggunakan bahasa yg lewah atau pembaziran dalam penulisan . Kadang kala terdapat juga pihak yg tidak berapa peka atau mahir dalam penggunaan kata bilangan dlm penulisan sama ada dalam akhbar ataupun penerbitan lain. T.kasih. | Lain-lain | 17.08.2008 |
|
Puisi |
---|
|
Orang petani membuat dangau, Dibiar kosong tidak bekerja; Berapa tinggi terbang bangau, Akhirnya di belakang kerbau juga.
Lihat selanjutnya... |
|