Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Terlampau banyak jawapan dalam Khidmat Nasihat yang sudah tidak relevan. DBP mesti segera mengemas kini jawapan-jawapan dan soalan-soalan dalam Khidmat Nasihat supaya bahasa Melayu yang berpiawai dapat diperkasakan. Kekeliruan-kekeliruan ini menimbulkan keliru buat pemain-pemain industri bahasa sendiri akibat daripada bahagian Khidmat Nasihat yang tidak dirapikan dan dikemaskan. Amanah DBP besar untuk memurnikan bahasa Melayu yang baik. | Kami mengambil maklum cadangan puan. Untuk makluman puan, sistem Khidmat Nasihat DBP (KNDBP) dalam proses untuk dinaik taraf, manakala paparan jawapan juga dikemas kini dari semasa ke semasa. Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan cadangan puan dalam meningkatkan lagi perkhidmatan kami dan kami akan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pengguna KNDBP. | Lain-lain | 06.06.2024 |
salam, yang manakah ayat yang menggunakan tanda petik tunggal yang betul. Cikgu terlampau 'lurus'. atau Cikgu terlampau 'lurus.' | Tanda petik tunggal (' ') digunakan dalam ungkapan atau ayat yang sudah diapit tanda petik (" "). Penggunaan yang betul dalam ayat tersebut ialah tanda petik (" ") dan tanda nokhtah diletakkan selepas tanda (" "). Sila rujuk Gaya Dewan muka surat 77 untuk lebih memahami. Penggunaan tanda (" ") yang betul ialah Cikgu terlampau "lurus". | Lain-lain | 13.04.2022 |
1. Dua orang guru yang terlibat dalam aktiviti ini. (Adakah ayat ini tergantung?) 2. Murid ini melampau aktif. (perkataan 'melampau' boleh digunakan ataupun perlu ditukar kepada 'terlampau?) 3. Guru telah menyediakan rancangan pelajaran tahunan atau Rancangan Pelajaran Tahunan? 4. Murid A memperoleh 70 markah. Murid B memperoleh 72 markah. Kedua-dua orang murid ini.....(Bolehkah saya gunakan 'ini' atau perlu ditukar kepada '...murid tersebut'?) 5. Guru mengajarkan ilmu Matematik kepada murid. (Betulkah penggunaan kata kerja 'mengajarkan' di dalam ayat ini?) 6. 'dalam kalangan' atau 'di kalangan' yang betul atau lebih sesuai digunakan? | 1. Ayat tak lengkap. 2. Perlu ditukar menjadi - Murid ini terlampau aktif 3. Guru telah menyediakan Rancangan Pelajaran Tahunan. 4. Perlu ditukar menjadi - kedua-dua orang murid tersebut. 5. Penggunaan mengajarkan dalam ayat tersebut adalah betul. 6. Kedua-duanya boleh digunakan. | Tatabahasa | 11.09.2008 |
Bolehkah perkataan hiper digunakan dengan penggunaan berikut; 'kelajuan hiper' 'definisi hiper' 'rangkaian hiper'? | Salam sejahtera, Hiper- merupakan awalan asing terlampau atau terlebih daripada normal, contohnya, hiperaktif dan hipersensitif. Hiper- tidak digunakan pada semua perkataan. Hanya perkataan tertentu sahaja. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 22.10.2018 |
Selamat sejahtera, Saya menghadapi kesukaran utk menentukan perbezaan antara 'sungguh' dan 'sangat' dalam konteks ayat. Ada tak formula untuk menggunakannya?TQ | Sangat bermaksud 1. terlalu, terlampau 2. hebat, kuat, menjadi teruk 3. benar-benar(sungguh-sungguh, sememangnya Contoh: Bilangan murid yang mendapat sijil pertama sangatlah sedikit. Sungguh bermaksud 1. tidak bohong,tidak lancung, benar,betul 2. amat, sangat, terlalu. Contoh: bising sungguh bunyi kedua-duanya bertengkar. Penggunaan dalam ayat bergantung pada konteks. | Tatabahasa | 30.01.2008 |
Apakah perbezaan antara 'tersangat' dengan 'sangat'? | Tersangat ialah terlalu sangat; teramat sangat: ~ pedihnya. Sangat pula ialah kata yang digunakan untuk menyatakan perbandingan yang tinggi; terlalu; terlampau: Harganya ~ tinggi. 2 makin menjadi (berkenaan penyakit); teruk; kuat: Penyakitnya bertambah ~. 3 dengan sungguh-sungguh benar; tidak main-main: Saya hendak ~ pergi ke sana. | Makna | 22.07.2013 |
Assalamualaikum Tuan, Pertanyaan saya seperti berikut: - 1) Junk cleaner analyzes background hibernate apps and running apps overheating your phone diterjemahkan kepada Pembersih sarap menganalisa aplikasi berehat sementara latar belakang dan aplikasi yang sedang berjalan yang menjadikan telefon anda terlampau panas. Adakah hibernate sesuai diterjemahkan kepada berehat sementara, hibernat dan hibernasi? Jika tidak sesuai, diharap tuan dapat memberikan penjelasan dan perkataan yang betul serta penggunaan imbuhan yang tepat. 2) Battery Power Saver extend battery life by analyzing battery status and hibernating battery-draining apps. diterjemahkan kepada Penjimat Kuasa Bateri memanjangkan hayat bateri dangan menganalisa status bateri dan merehatkan sementara aplikasi pengalir bateri. Adakah hibernating sesuai diterjemahkan kepada merehatkan sementara, menghibernatkan dan menghibernasikan. Jika tidak sesuai, diharap tuan dapat memberikan penjelasan dan perkataan yang betul serta penggunaan imbuhan yang tepat. Sekian, terima kasih. | Waalaikumussalam. Terjemahan yang sesuai adalah seperti yang berikut: 1) Pembersih sarap menganalisis aplikasi rehat sementara di latar belakang dan aplikasi sedang jalan yang menjadikan telefon anda terlampau panas. 2) Penjimat Kuasa Bateri memanjangkan hayat bateri dengan menganalisis status bateri dan aplikasi susut kuasa bateri yang sedang rehat sementara. Sekian. Terima kasih. | Penyemakan dan penterjemahan | 03.03.2017 |
Apakah terma atau istilah Bahasa Melayu yang sesuai bagi ayat berkenaan 'Hyper Speed for Hyper Detail'? Adakah penggunaan terjemahan 'Kelajuan Hiper untuk Perincian Hiper' dibenarkan? | Dalam data rujukan kami hiper bermaksud awalan asing terlampau atau terlebih daripada normal, misalnya hiperaktif dan hipersensitif. Berdasarkan carian kami, tiada istilah khusus bagi perkataan hyper detail dan hyper speed. Perkataan tersebut merupakan kata umum yang boleh diterjemahkan mengikut konteks penggunaan seperti berlebihan atau lampau. | Penyemakan dan penterjemahan | 17.08.2018 |
Saya terbaca perkataan Pelajar Digital-Natif dalam skema pemarkahan....maka saya ingin kepastian sama ada perkataan "Natif" itu diterima pakai dalam penulisan esei Bahasa Melayu. Secara peribadi saya tidak bersetuju(amat tidak bersetuju) tentang pengaruh Bahasa Inggeris yang "terlampau" dalam Bahasa Melayu seperti Bahasa Indonesia. Mohon pencerahan.Terima kasih tuan. | Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang berkembang pesat di dunia ini. Tidak dapat tidak bahasa ini mengalami kemasukan kata-kata asing daripada bahasa lain termasuklah bahasa Inggeris. Keadaan tersebut sama seperti bahasa-bahasa yang lain di dunia. Kata "natif" merupakan salah satu contoh kata yang telah terserap dalam bahasa Melayu. Kata ini telah terakam dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) dengan tiga pecahan makna. Kehadiran kata ini dalam bahasa Melayu terbukti dengan penggunaannya yang meluas dalam korpus bahasa Melayu, misalnya dalam bidang linguistik. Masyarakat bebas menggunakan kata ini mengikut sistem dan laras bahasa Melayu yang sesuai. Berikut ialah makna kata natif dalam KDP: natif kata adjektif 1. (berkenaan dengan bahasa) mula-mula dituturkan sejak lahir. Contoh: Cara mereka menyebut kata-kata pinjaman ini dipengaruhi oleh bunyi yang sepadan dalam bahasa natif mereka. 2. (berkenaan dengan penutur atau pengguna sesuatu bahasa) bertutur atau bercakap dalam bahasa tertentu sebagai bahasa pertamanya sejak lahir dan bukannya sebagai bahasa asing. Contoh: a) Orang Melayu penutur natif bahasa Melayu dan menggunakannya sebagai bahasa pertama. b) Pengguna natif bahasa ini ialah puak Cherokee di Amerika Utara. 3.(berkenaan dengan orang, tumbuh-tumbuhan, binatang dan lain-lain) mula-mula tinggal di sesuatu tempat atau sesebuah daerah, negeri dan sebagainya sejak lahir atau tumbuh. Contoh: a) Dalam sejarah, penduduk natif Afrika Selatan pernah menjadi mangsa dasar diskriminasi kerajaan kulit putih di negara itu. b) Untuk landskap di Putrajaya, pokok natif dan yang rendah tahap senggaranya dipilih sebagai keutamaan.
| Makna | 09.01.2025 |
Salam sejahtera. Penggunaan "sangat" dalam ayat ini diterima atau tidak? 1. Udara di pantai sangat nyaman dan segar. terima kasih | Penggunaan perkataan sangat diterima dalam ayat ini. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sangat bermaksud terlalu, terlampau, benar-benar, sungguh-sungguh. | Lain-lain | 02.09.2018 |