| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Bolehkah saya terjemahkan ayat "grow a vegetable garden" kepada "menanam kebun sayur" . Ayat asal menceritakan yang dia akan mula menanam untuk membuat kebun sayur baru di rumahnya | Terjemahan bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "grow a vegetable garden" ialah mengusahakan kebun sayur. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.03.2017 |
| Pak Hasan berkebun sayur-sayuran di kebun sayur. Adakah ayat ini tepat? | Ayat yang tepat dan gramatis ialah Pak Hasan berkebun di kebun sayur-sayuran. Frasa keterangan di kebun sayur-sayuran sudah cukup untuk melengkapi frasa kerja berkebun. | Tatabahasa | 22.03.2018 |
| penggunaan kata nama 'petani' 1) petani menanam sayur di kebun atau 2) pekebun menanam sayur di kebun kalau dua-dua pun boleh terima, jadi bagaimana nak bezakan dua jenis pekerjaan ini? | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, "petani" bermaksud orang yang pekerjaannya bercucuk tanam (mengusahakan tanah), manakala "pekebun" pula ialah orang yang memiliki atau yang mengurus kebun. | Istilah | 18.05.2015 |
| Hanif ke kebun untuk membantu neneknya memetik sayur. Adakah ayat ini merupakan ayat majmuk? | Ayat di atas merupakan “ayat majmuk keterangan tujuan”. Keterangan tujuan ialah unsur yang menerangkan maksud bagi sesuatu perbuatan atau kejadian. Kata hubung keterangan tujuan “untuk” digunakan dalam ayat tersebut. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2014), halaman 514 - 518. | Lain-lain | 16.01.2026 |
| Topi yang dipakai oleh petani atau tukang kebun dipanggil topi yang besar atau topi yang lebar? | Topi yang dipakai oleh petani atau tukang kebun dipanggil topi yang lebar kerana saiznya diukur berdasarkan kelebarannya. | Lain-lain | 15.05.2025 |
| Pokok-pokok jagung di kebun itu () akibat ditiup angin kencang petang tadi. Abengkok Bserong Csenget Dcondong Mana satu yang betul Terima kasih | Ayat yang betul ialah "Pokok-pokok jagung di kebun itu senget akibat ditiup angin kencang petang tadi." | Lain-lain | 22.03.2022 |
| Encik Rashid telah membeli .................... hektar kebun getah di Johor. a. seluruh b. separuh c. setengah d. sebahagian minta penjelasan jawapan..saya agak keliru.. | Encik Rashid telah membeli setengah hektar kebun getah di Johor. Walaupun separuh boleh membawa maksud setengah, lazimnya perkataan yang digunakan ialah setengah hektar. Seluruh hektar tidak digunakan kerana lazimnya dinyatakan dalam jumlah yang sebenar seperti dua hektar. | Tatabahasa | 15.05.2015 |
| Ayat: 1. Pengetua berhajat untuk mencari tukang kebun baharu yang lebih rajin. Tuan, adakah dalam ayat (1) di atas, perkataan "untuk" berfungsi sebagai kata hubung keterangan tujuan? Adakah perkataan "untuk" menerangkan tujuan "berhajat" dalam ayat di atas? Jadi, tujuan "berhajat" dalam ayat di atas ialah "untuk mencari tukang kebun baharu yang lebih rajin"? Betulkah pandangan saya? Atau perkataan "untuk" berfungsi sebagai kata sendi nama dalam ayat di atas? | Untuk ayat: Pengetua berhajat untuk mencari tukang kebun baharu yang lebih rajin, fungsi "untuk" ialah sebagai kata hubung antara dua kata kerja, iaitu berhajat dengan mencari. Betul pendapat puan, iaitu "untuk" itu juga menerangkan tujuan berhajat dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 13.12.2014 |
| 1)Lina menanam( sawi / sayur sawi) di kebun. 2)Datuk mencangkul tanah (menggunakan cangkul).Adakah ayat ini betul? 3)Nenek memetik kacang panjang( yang masak).Adakah ayat ini betul? | Selamat petang: 1. Lina menanam sayur sawi di kebun. 2. Datuk mencangkul tanah. 3. Nenek memetik kacang panjang. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 19.10.2016 |
| Salam sejahtera! Manakah jawapan yang paling tepat bagi soalan di bawah? ___________ gajah liar telah memusnahkan kebun tebu di kampung. A) segerombolan B) sekawan merujuk kepada JU BM, jawapannya segerombolan. sekian, terima kasih. | Jawapan yang betul ialah sekawan. (Sekawan gajah liar telah memusnahkan kebun tebu di kampung.) | Tatabahasa | 14.08.2012 |