Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Saya belum habis bercakap, jangan menyampuk / sampuk. Adakah kata kerja di belakang 'jangan' harus diletakkan imbuhan? Terima kasih. | Selepas kata perintah "jangan", perkataan yang hadir selepas itu tidak semestinya kata kerja terbitan/kata imbuhan. Perkataan yang hadir selepas kata "jangan" boleh sama ada kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk atau kata ganda. Contoh: 1. Jangan buang sampah di sini. 2. Jangan berludah di sini. 3. Jangan buka pintu semasa kereta api bergerak. | Tatabahasa | 30.05.2013 |
Jangan pernah berkasar terhadap ibumu. Ungkapan jangan pernah dalam ayat ini sesuai atau tidak? Terima kasih. Terima kasih sekali lagi kerana sudi menjawab soalan-soalan sebelumnya. | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, jangan ialah kata larangan yang menyatakan tidak boleh, hendaknya tidak, usah.. manakala pernah ialah sudah ada mengalami, sudah berlaku. Perkataan pernah tidak sesuai mengikut konteks ayat yang dinyatakan. Perkataan yang lebih sesuai digunakan ialah sesekali... Jangan sesekali berkasar terhadap ibumu. | Tatabahasa | 17.01.2013 |
Bagaimanakah membezakan penggunaan akhiran -i dan -kan. Ayat yang manakah betul penggunaannya. a. Jangan cemari sungai. b. Jangan cemarkan sungai. | Perkataan mencemari bermaksud menjadikan cemar. Contoh,: Tingkah lakunya yang tidak sopan mencemari nama baiknya. Perkataan mencemarkan bermaksud menyebabkan menjadi cemar. Contoh: Dia mencemarkan kawasan itu dengan sampah sarap. Oleh itu, ayat yang betul ialah 'Jangan cemarkan sungai'. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 202-208. | Tatabahasa | 09.07.2009 |
Salam. Ingin bertanya ttg istilah kata-kata berikut. Apakah yang boleh kita golongkan kata-kata tersebut? - kalau takut, jangan berani-berani, kalau berani , jangan takut-takut. - terima kasih. | Kata-kata tersebut hanya ungkapan biasa tetapi tidak ditulis dengan sempurna/ tidak lengkap. | Tatabahasa | 25.01.2013 |
harap anak-anak sekalian jangan bermain di sini , ada kesalahan tak ?tq | Kata perintah yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan atau permintaan hadir sekali sahaja dalam suatu ayat, seperti Jangan buang sampah di sini dan Harap jelaskan hutangmu secepat mungkin. Ayat tersebut boleh dibetulkan menjadi Harap anak-anak sekalian tidak bermain di sini atau Jangan bermain di sini. | Tatabahasa | 06.07.2012 |
Tolong jelaskan maksud tersirat bagi frasa di bawah. i. "Hai encik, jangan bersorak dahulu, itu anak raja berlabuh tirai!" (maksud berlabuh tirai) ii. "Jangan tuan-tuan bersorak dahulu, itu anak raja berpangkas gombak." (maksud berpangkas gombak) Sekian, terima kasih. | Tidak ada perkataan berlabuh tirai dalam pangkalan data kami, perkataan yang ada ialah tirai berlabuh yang bermaksud berhenti atau singgah. Gombak bermaksud jambul dan berpangkas bermaksud bergunting. Perkataan berpangkas gombak diungkapkan dalam cerita Melayu klasik yang bermaksud bergunting jambul/rambut. | Tatabahasa | 31.03.2012 |
Kekeliruan penggunaan kata ganti tak tentu, mana-mana - untuk mengganti nama benda atau nama tempat yang tidak tentu. Contoh soalan, "----------------peserta yang terpilih dalam sesi latihan pada petang ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Bagi------------------yang tidak terpilih jangan berputus asa, cuba lagi. A. Apa-apa, bila-bila B. Siapa-siapa, mana-mana C. Mana-mana, siapa-siapa D. Berapa-berapa, siapa-siapa | Encik Paul, Berdasarkan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (hlm. 87): kata ganti diri tanya ialah jenis kata nama yang berfungsi menanyakan hal benda, perkara, atau manusia. Terdapat tiga bentuk kata ganti nama diri tanya, iaitu siapa yang merujuk orang, apa yang merujuk benda atau perkara, dan mana yang merujuk benda atau orang. Kadang-kadang kata ganti nama diri tanya boleh mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau untuk penegasan. Contohnya: apa-apa: Bawalah apa-apa yang ada. mana-mana: Ambillah mana-mana yang anda suka. siapa-siapa (sesiapa); Siapa-siapa pun boleh bersuara. Oleh itu, berdasarkan keterangan di atas, ayat yang betul adalah seperti yang berikut: Siapa-siapa (Sesiapa) peserta yang terpilih dalam sesi latihan pada petang ini akan mewakili sekolah ke peringkat daerah. Bagi mana-mana yang tidak terpilih jangan berputus asa, cuba lagi. | Tatabahasa | 28.02.2009 |
Hai, apakah terjemahan yang sesuai bagi "unhide"? Nyahsembunyikan atau tidak sembunyikan atau jangan sembunyikan? Sila nyatakan pendapat anda jika jawapan di atas tidak sesuai digunakan. Terima kasih. | Untuk makluman belum ada istilah khusus dalam bahasa Melayu untuk "unhide" dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, unhide boleh diterjemahkan menjadi nyahsembunyi atau tidak sembunyi. | Istilah | 30.11.2012 |
apa beza antara tidak dan bukan | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, tidak digunakan utk menyatakan bukan (menafikan, menolak, menghalang, dsb), tiada, tak: rumah saya ~ jauh dr sini; cerita itu ~ benar; ~ alang tidak (bukan) sedikit, banyak; ~ apa a) = ~ apa-apa tidak ada sesuatu; b) tidak mengapa; ~ boleh (dapat) ~ pasti, sudah tentu, mesti, tidak boleh diingkari (diabaikan dll); ~ lain dan ~ bukan (ialah, hanyalah) a) tidak lain drpd ...; b) hanya; ~ (tak) main bp tidak pakai, tidak mengamalkan sesuatu; ~ sekali-kali sedikit pun tidak; ~ urung tidak dapat tiada, tidak boleh tidak; baik ~nya baik atau tidak baiknya, baik buruknya; dapat ~nya dapat atau tidak dapatnya; jangan ~ a) tidak boleh tidak, harus; b) tidak dgn sungguh-sungguh; manakala bukan pula 1. = bukannya sebenarnya tidak, berlainan drpd yg sebenarnya: anak itu ~ bodoh tetapi malas; ini ~ kali pertama ia datang ke mari; ~ begitu cara membuat kerja; 2. utk menyatakan pertanyaan yg mengeraskan dugaan (pd akhir ayat): ini bukumu, ~? ~ barang-barang(sebarang) bukan biasa (sahaja); ~ buatan (kepalang, main) amat sangat; ~ logam unsur yg lain drpd logam. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 262. | Istilah | 21.10.2009 |
Semua tawanan perang itu jangan kalian pengapakan, kata Bendahara Ali kepada anak-anak buahnya. (munsyi, adakah pengapakan sesuai digunakan dalam sastera lama ini?) | Saudari, Tidak terdapatnya perkataan 'pengapakan' dalam sumber rujukan kami. Namun, untuk contoh ayat yang di atas, lebih gramatis sekiranya digunakan perkataan 'apa-apakan'. Misalnya: Semua tawanan perang itu jangan kalian apa-apakan. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. | Sastera | 05.09.2012 |
|
Puisi |
---|
|
Kalau dedak kata dedak, Jangan saya tertampi-tampi; Kalau tidak kata tidak, Jangan saya ternanti-nanti.
Lihat selanjutnya... |
|