Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
maksud kawalan belanjawan | Saudara, Perkataan kawalan bermaksud 1. yg dikawal; hukuman ~ hukuman yg menyekat kebebasan pergerakan seseorang; 2. usaha atau tindakan mengawal (menjaga, mengawasi): ~ keselamatan akan dilakukan di sepanjang pantai itu; ~ harga penetapan paras harga maksimum oleh kerajaan terhadap barang atau perkhidmatan asas tertentu, terutamanya semasa inflasi atau darurat; ~ kredit (Eko) kawalan yg dikenakan terhadap sistem perbankan bagi mengawal jumlah pinjaman, khususnya dlm pemberian pinjaman dan overdraf; ~ mutu pemeriksaan terhadap sesuatu barangan atau perkhidmatan utk menjamin atau memastikan barangan yg dihasilkan atau perkhidmatan yg diberikan itu mematuhi piawaian mutu yg ditetapkan; Perkataan belanjawan bermaksud 1. perhitungan banyaknya wang yg akan diterima (sbg pendapatan) dan dibelanjakan, butiran ringkas anggaran pendapatan, dan perbelanjaan: menteri kewangan bertanggungjawab menyediakan ~ negara setiap tahun; 2. peruntukan wang utk sesuatu keperluan atau utk sesuatu jangka waktu: perdebatan mengenai perincian ~ kementerian pendidikan diteruskan hari ini. Oleh itu kawalan belanjawan bermaksud kawalan terhadap belanjawan. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 18.12.2009 |
''hukuman rotan merupakan langkah yang berkesan untuk mendisiplinkan para pelajar''. Bicangkan. | Saudara dinasihati membuat penyelidikan tentang perkara melalui pembacaan atau rujukan dalam makalah yang diterbitkan dalam akhbar atau majalah tempatan, atau kertas-kertas kerja atau penulisan ilmiah di perpustakaan ipta/s atau Pusat Dokumentasi Bahasa Melayu, DBP. | Lain-lain | 28.05.2008 |
daijatuhkan hukuman atau dijatuhi | Sila berikan ayat lengkap. Ayat "Pesalah itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah" salah dan yang betul ialah "Pesalah itu dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh hakim kerana mengedar dadah". | Tatabahasa | 05.03.2010 |
1.hukuman itu adalah berdasarkan bukti yang sah.adakah " berdasarkan" merupakan kata kerja transitif? bagaimana dengan ayat berikut 2. meja di gerai itu beralaskan sehelai kain yang cantik."beralaskan" merupakan kata kerja transitif atau tak transitif? terima kasih . | 1. "Berdasarkan" dan "beralaskan" ialah kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut/objek sesudahnya. "Bukti yang sah" dan "sehelai kain yang cantik" ialah pelengkap atau keterangan bagi perkataan "berdasarkan" dan "beralaskan". Untuk keterangan lanjut, saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 144. | Tatabahasa | 29.03.2010 |
SELAMAT PETANG, Harap dapat bantu saya. Yang manakah betul? 1) Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman penjara, atau 2) Hakim menjatuhkan peslah itu hukuman? DalaApakah makna gusar sebenarnya? Adakah bimbang atau marah? Terima kasih | Ayat yang betul ialah 1. Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman penjara. Berdasarkan Kamus Dewan edisi keempat, gusar bermaksud berang atau merah. | Tatabahasa | 18.06.2012 |
1. a) Masuk adalah percuma b) Masuk percuma c) Hukuman yang menanti adalah maut d) Hukuman yang menanti ialah maut Yang manakah ayat yang betul. 2. Di sesetengah jalan raya ada dibuat lorong khas untuk motosikal dan basikal. Perkataan yang digunakan ialah "lorong sikal". Adakah betul penggunaannya. 3. Tolong berikan ayat contoh penggunaan 'ia' | 1. a) Masuk adalah percuma b) Masuk percuma - kedua-dua ungkapan ini betul, perkataan adalah dalam ungkapan pertama menunjukkan unsur penegasan dalam ungkapan tersebut. Hukuman yang menanti ialah maut - ayat ini yang betul. 2. Istilah laluan sikal (bukan lorong sikal) ada digunakan sebagai padanan bikeway dalam bidang Kejuruteraan Automatif. 3. Ia - kata ganti nama diri ketiga; atau dia: contoh ayat, ia bercita-cita hendak menjadi doktor. | Tatabahasa | 28.05.2010 |
saya ada satu kemuskilan: apakah perbezaan antara menjatuhi,menjatuhkan,dijatuhi dan dijatuhkan. Adakah ayat ini tepat:Apabila dia dijatuhi hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak.atau Apabila dia dijatuhkan hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak.Sekian | Saudara/ saudari, 'Apabila dia dijatuhkan hukuman penjara, kaum keluarganya menangis teresak-esak' adalah salah dan penggunaan yang betul ialah penggunaan perkataan dijatuhi. Apabila dia dijatuhi hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak. Apitan di-...-i ialah bentuk pasif meN-...-i yang menandakan lokatif, iaitu tempat berlakunya perbuatan - menjatuhi + objek (orang). Rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 207. Untuk pertanyaan perbezaan antara menjatuhi, menjatuhkan, dijatuhi dan dijatuhkan pula, saudara/saudari boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (hlmn. 613) bagi maklumat lanjut. | Tatabahasa | 05.08.2012 |
Soalan 1:tidak terangkat oleh saya kotak yang berat itu.(adakah ayat ini betul) Soalan 2 : Hakim telah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap penjenayah itu. (atau) Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap penjenayah itu.(Ayat yang manakah betul) Terima kasih. | Saudara Sulioh, 1. Ayat ini yang merupakan ayat pasif betul. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 148-149. 2. Ayat yang betul ialah 'Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada penjenayah itu' atau ' Hakim telah menjatuhi penjenayah itu hukuman penjara seumur hidup'. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 191-207. | Tatabahasa | 23.08.2009 |
salam. saya sedikit keliru.ayat yang manakah yang betul. 1- hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas pesalah. 2- hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah. andaian saya, ayat 2 lebih tepat kerana kepada digunakan untuk sasaran manakala ke atas menunjukkan kata arah. namun, kebanyakan berita, artikel dan naskhah2 ilmiah menunjukkan ayat 1 yang betul. | Puan Rohaizah, Kedua-dua penggunaan kata sendi nama dalam kedua-dua ayat itu betul kerana merujuk sasaran, iaitu manusia. Walau bagaimanapun, penggunaannya bergantung pada pengguna bahasa dan kebiasaan penggunaannya. | Tatabahasa | 24.02.2010 |
Pilih ayat yang betul 1. Hulu keris itu bersadurkan perak. 2. Hakim menjatuhi hukuman gantung kepada pengedar dadah itu. | Ayat yang betul ialah ayat 1: Hulu keris itu bersadurkan perak. Ayat 2 salah dan yang betulnya ialah Hakim menjatuhkan hukuman gantung kepada pengedar dadah itu. | Tatabahasa | 03.03.2009 |