Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Apakah maksud jalan lurah/jalurah dan dramatari dlm bahasa Melayu? Adakah masing2 sepadan dgn perkataan viaduct dan theatre dance dlm bahasa Inggeris? Terima kasih. | 1. Perkataan “jalurah” tiada dalam kosa kata bahasa Melayu, manakala perkataan “lurah” bermaksud tanah rendah yang memanjang dan sempit, terletak di antara dua buah bukit atau gunung, dan biasanya terdapat sungai yang mengalir melaluinya. (Rujukan, Kamus Dewan Perdana halaman 1369). 2. Padanan untuk bahasa Inggeris “viaduct” ialah “jejambat” dalam bidang Geografi dan kejuruteraan. 3. Padanan untuk istilah bahasa Inggeris “theatre dance” ialah persembahan tarian dalam bidang kesenian. (Rujukan, Kamus Dewan Perdana dan Pusat Rujukan persuratan Melayu PRPM) | Makna | 19.08.2024 |
Adakah peribahasa ini betul? Bukit sama didaki, lurah sama dituruni | Ya, Betul. | Sastera | 17.07.2018 |
Apakah maksud peribahasa "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni"? | Peribahasa yang betul ialah "Ke bukit sama didaki, ke laut sama direnangi" bermaksud "Perhubungan yang sangat karib, tidak dapat diceraikan". | Lain-lain | 01.11.2009 |
Salam sejahtera. Apakah peribahasa yang sesuai dengan ayat berikut "Datuk Mugilan sentiasa percaya bahawa kejayaan syarikatnya itu adalah disebabkan oleh komitmen para pekerjansya". Sekian, terima kasih. | Cadangan peribahasa yang betul ialah: 1. Berat sama dipukul, ringan sama dijinjing 2. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni 3. Bagai Aur dengan tebing 4. Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat 5. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah | Lain-lain | 07.08.2022 |
Hi, saya sentiasa mengelirukan penggunaan imbuhan. Bila nak guna akhiran kan, i dan bila guna memper...kan atau tidak ada kan. Bila tidak perlu guna imbuhan? Terima Kasih. | 1) Imbuhan akhiran –kan merupakan akhiran yang membentuk kata kerja dalam bahasa Melayu. Semua golongan kata utama, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan beberapa jenis kata tugas boleh bergabung dengan akhiran –kan untuk membentuk kata kerja. Contohnya, i. kata nama - bukukan, pasarkan, dirikan; ii. kata kerja transitif - bacakan, belikan, masakkan; iii. kata kerja tak transitif - lahirkan, tidurkan, terbangkan; iv. kata adjektif - panjangkan, besarkan; v. kata tugas - sudahkan, sertakan. Akhiran –kan boleh juga hadir dalam ayat dengan beberapa imbuhan lain, iaitu meN-...-kan, beR-...-kan, mempeR-...-kan, di-...-kan, dan dipeR-...-kan. Contohnya: berbantalkan, dipertingkatkan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 183-186. 2) Imbuhan akhiran –i membentuk kata kerja transitif. Terdapat dua pengertian khusus penggunaan akhiran –i, iaitu: (i) memberi pengertian kausatif atau menyebabkan sesuatu jadi: baik – baiki (menyebabkan sesuatu jadi baik), sudah - sudahi. (ii) memberi pengertian lokatif, iaitu menyatakan unsur tempat: turuni lurah – turun ke lurah. Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 186-190. 3) Apitan memper-...-kan boleh bergabung dengan kata nama dan kata kerja untuk membentuk kata kerja. Contohnya: memperisterikan, memperbudakkan, mempersendakan, memperdengarkan, memperlihatkan, mempertunjukkan. 4) Walau bagaimanapun apitan memper-...-kan tidak boleh bergabung dengan kata adjektif, sebaliknya awalan memper- digunakan dengan kata adjektif untuk membawa maksud menjadikan lebih atau bertambah. Contohnya: besar – memperbesar (menjadi lebih besar atau bertambah besar) dan indah – memperindah (menjadikan bertambah indah).Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 208-211. | Tatabahasa | 08.06.2024 |
Boleh saya dapatkan penerangan terkini mengenai penggunaan kata sendiri berikut? 1) dari / daripada 2) hanya / dengan 3) melalui / menerusi 4) antara / di antara 5) baru - baharu | 1. Kata sendi dari dan daripada ialah kata sendi nama yang letaknya di hadapan frasa nama. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu atau masa. Sementara kata sendi nama 'daripada' hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan atau benda, asal kejadian dan sumber atau unsur perbandingan atau perbezaan. Merujuk kepada ayat di atas, kata sendi yang sesuai ialah "daripada": Mengeluarkan wang daripada bank (merujuk kepada sumber). 2. Kata sendi dengan digunakan untuk membawa maksud i. bersama-sama atau berserta, ii. cara sesuatu itu dilakukan iii. memakai atau menggunakan dan menyatakan keadaan perbandingan yang serupa atau sama. Kata hanya merupakan golongan kata penegas. Kata penegas disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan (hanya, sahaja, juga, memang, pun, -kah, -lah, –tah) yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Oleh sebab, kata "hanya" membawa maksud yang sama, iaitu tidak lebih daripada satu atau tidak ada orang lain lagi. 3. Kata melalui berasal daripada kata dasar lalu membentuk kata baru yang membawa pelbagai makna. Kata melalui membawa maksud "dengan perantaraan" atau "menerusi", contoh ayatnya: Kami berjalan melalui/menerusi lurah dan bukit. 4. Kata sendi nama "antara" perlu hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Contoh penggunaannya "Mereka berbincang antara adik-beradik". Sementara penggunaan kata 'antara' sebagai kata arah yang mengikuti kata sendi nama di-. Contohnya ialah "Rumahnya terletak di antara sebuah tasik dengan sawah padi". 5. Kata baru dan baharu kedua-duanya membawa makna yang sama dan baru dan baharu dianggap varian dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun buku Tatabahasa Dewan membezakan fungsi kedua-dua kata tersebut. Baru berfungsi sebagai kata bantu, contohnya dalam ayat "dia baru sampai dari kampung" dan baharu sebagai kata adjektif, contohnya "buku Tatabahasa Dewan, Edisi Baharu". Untuk penggunaan umum, puan boleh mengambil makna daripada kamus, namun jika untuk tujuan pembelajaran di sekolah, perlulah mematuhi rumus dalam buku Tatabahasa Dewan. | Tatabahasa | 30.05.2019 |
|
|