Tajuk |
Sinopsis |
Bidang |
Klasifikasi |
ABU HURAYRAH | Abu Hurayrah (21 S.H.59 H./602 M.679 M.), salah seorang sahabat yang setia dan keturunannya berasal daripada kabilah al-Azd. Nama penuhnya ialah Abd al-Rahman ibn Shakr al-Dawsiy. Dia dibesarkan dalam keadaan yatim pada zaman Jahiliah. Yang pasti, dia memeluk Islam melalui al-Tufayl ibn Amru al-Dawsiy yang datang menemui Rasulullah SAW. Sebelum Hijrah, Abu Hurayrah r.a. bersama-sama kaum kerabatnya yang memeluk Islam tidak bergabung dengan Rasulullah SAW melainkan setelah tamat pembukaan Khaybar. Abu Hurayrah datang dengan 80 orang kabilah Daws yang memeluk Islam. Kebetulan kedatangan mereka ketika orang Muhajirin baru kembali dari Habsyah, yang diketuai oleh Jafar ibn Abi Talib r.a. Rasulullah SAW meraikan mereka dengan memberikan sebahagian harta rampasan Khaybar. Abu Hurayrah sentiasa mendampingi Rasulullah SAW dan menjadi ketua ahli al-Suffah di Masjid Nabawi. | UMUM | |
PEHIN | PEHIN, pembesar kerajaan Brunei. Pembesar kerajaan yang dianugerahi gelaran pehin biasanya daripada golongan kaum bangsawan awang-awang. Mereka memberi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada sultan. Penganugerahan gelaran pehin dibuat atas nama rakyat yang diwakili, sama ada mengikut daerah, kampung atau golongan tertentu. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Jawatan/Gelaran |
ARCADIA | Arcadia, salah satu bahagian di Greece pada masa kini adalah kawasan yang penting pada zaman purba. Lebih kurang 108 000 orang tinggal di kawasan yang terdiri daripada gunung dan lembah subur di Peloponnesus (semenanjung selatan Greece). Arcadia adalah satu-satunya bahagian Peloponnesus yang tidak diserang oleh orang Dorian pada tahun 1100-an S.M. Orang Arcadia mengekalkan sebahagian besar bahasa Yunani pra-Dorian. Pada tahun 500-an S.M. Arcadia menyertai Liga Peloponnesus, perikatan tentera yang terdiri daripada bandar-bandar di Peloponnesus yang diketuai oleh Sparta. Bandar- bandar Arcadia tetap setia kepada Sparta sehingga tahun 369 S.M., apabila ia menubuhkan liga pertahanannya sendiri. Tidak lama kemudian Liga Arcadia berpecah, tetapi Liga Macedonia dan kemudiannya Liga Achaean dan Aetolian melindungi Arcadia. | UMUM | |
LONG JAAFAR | LONG JAAFAR ( ? -1858), pentadbir daerah Larut, Krian dan Bagan Tiang, Perak. Tarikh dan tempat lahirnya tidak diketahui. Long Jaafar dipercayai daripada keturunan Aceh, yang pernah memerintah Perak hampir lebih kurang seratus tahun pada pertengahan abad ke-16 hingga awal abad ke-17. Long Jaafar ialah cucu Pandak Jamaluddin, Orang Besar Enam Belas Perak yang pertama dengan gelaran Dato Paduka Setia, dan anak Alang Allaidin, Orang Besar Lapan. Long Jaafar mula dikenal pada zaman pemerintahan Sultan Abdullah Muazzam Shah (m.m. 1819-1930) memegang jawatan Dato Panglima Bukit Gantang dan berkahwin dengan sepupunya, Ngah Pura, anak Dato Alang Alaidin. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SITI TANJUNG PERAK | SITI TANJUNG PERAK (1912-1992), pelakon filem. Dia lahir di Bugis, Pulau Sulawesi, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Siti Sundari Samad. Dia tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, hanya tamat sekolah desa. Semasa berumur belasan tahun, dia telah lari dari kampungnya untuk mengelakkan daripada kahwin paksa dan telah menyertai kumpulan bangsawan `Taman Setia pada tahun 1929. Nama Siti Tanjung Perak diperolehinya kerana dia sering mendendangkan lagu Tanjung Perak ketika mengadakan persembahan bangsawan di seluruh Indonesia dan Tanah Melayu pada ketika itu. | BUDAYA | Tokoh |
BANGGAI | BANGGAI, sekumpulan pulau kecil yang terletak di antara Sulawesi Timur dengan Pulau Sula. Banggai juga disebut Semenanjung Banggai. Sejarah awal Banggai berhubung rapat dengan negeri-negeri jirannya. Banggai dianggap sebagai negeri yang wujud di bawah ketuanan Ternate serta kawasan lain seperti Sulawesi, Gorontalo, Buton, Solor, Seram dan Ambon pada zaman kegemilangan Ternate sekitar tahun 1620-an. Banggai perlu taat setia kepada Ambon apabila Ambon menggantikan Ternate sebagai kuasa tertinggi di seluruh Laut Timur pada pertengahan abad ke-17. Menurut rekod sejarah, Ternate dapat mencapai matlamat untuk memperluaskan kuasanya melalui pertolongan secara tidak langsung dari Banggai. Keadaan ini timbul kerana pedagang tempatan di Banggai bertanggungjawab menjual senjata api, kapak dan pisau kepada Ternate dalam kempen untuk menggulingkan musuhnya, Ambon. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
SITI ROHANA KUDUS | SITI ROHANA KUDUS (1884-1972), pengasas Kerajinan Amai Setia, sebuah perkumpulan wanita yang pertama di Sumatera Barat , Indonesia. Dia lahir pada 20 Disember 1884 di Kota Gadang, Bukittinggi, Sumatera, Indonesia. Nama sebenarnya ialah Siti Rohana binti Muhammad Rasjad gelar Maharaja Sutan. Dia lebih dikenal dengan nama Rohana Kudus, iaitu cantuman nama suaminya, Abdul Kudus. Dia adalah kakak kepada Sutan Syahrir, tokoh nasionalis Indonesia. Rohana Kudus menerima pendidikan awalnya secara tidak rasmi daripada guru dan ibu angkatnya, Adiesa, isteri seorang jaksa di Alahan Panjang. Adiesa mengajarnya mengaji al-Quran, membaca dan menulis Jawi dan Rumi. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
|
|