Tajuk |
Sinopsis |
Bidang |
Klasifikasi |
TINGKAH LAKU PENYESARAN | Tingkah laku penyesaran merujuk kepada kepelbagaian aktiviti yang kelihatan tidak sesuai dilakukan dalam sesuatu keadaan tertentu. Sebagai contoh, sesetengah mamalia merapikan bulunya apabila hendak mengambil keputusan apakah untuk melawan atau melarikan diri. Kebanyakan tingkah laku penyesaran berlaku semasa keadaan emosi yang berkonflik. | UMUM | |
MALNUTRISI | Malnutrisi ialah suatu keadaan tidak sihat yang disebabkan oleh makanan yang tidak berzat, makanan yang tidak sesuai, atau tubuh yang tidak dapat menyerap atau menggunakan zat makanan. Malnutrisi primer berlaku apabila tubuh mendapat terlalu banyak makanan, tidak memperoleh makanan yang cukup atau mendapat makanan yang tidak sesuai. Malnutrisi sekunder berlaku apabila, disebabkan penyakit, tubuh tidak boleh menggunakan zat makanan walaupun zat makanan itu terdapat dalam sesuatu makanan. | UMUM | |
MIGRASI | Migrasi, dalam istilah biologi ialah perpindahan haiwan ke satu tempat yang menawarkan keadaan kehidupan yang lebih baik. Banyak burung, ikan, serangga, dan mamalia selalu bermigrasi untuk mengelakkan perubahan keadaan cuaca dan bekalan makanan yang tidak sesuai. Manusia juga bermigrasi, atau berhijrah, tetapi mereka berbuat demikian atas sebab politik, sosial dan juga biologi. | UMUM | |
AUSTRALIND | Australind ialah sebuah kawasan serokan di Leschenault, yang terletak kira-kira 145 kilometer di selatan Perth, Australia. Australind terkenal sebagai tempat yang tidak berjaya diduduki pada tahun 1841 dan tahun 1845. Terpengaruh dengan teori Edward Gibbon Wakefield, ahli perniagaan di London menubuhkan Syarikat Australia Barat dan membeli tanah tersebut. Mereka kemudian menjualnya sebagai tanah pertanian kepada orang yang hendak menaklukinya, dan menggunakan wang tersebut untuk membayar kos perpindahan buruh. Penduduk pertama yang menduduki tanah tersebut mendapati kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian. Dalam tempoh lima tahun, Australind telah ditinggalkan. | UMUM | |
MISTRAL | Mistral adalah angin utara yang sejuk, kering, dan bertiup kencang dari barat Alps dan penara di selatan Perancis dan keluar ke Mediterranean. Udara yang berat dan sejuk dari tanah tinggi bergerak semakin laju apabila menghampiri udara yang lebih panas dan ringan di atas permukaan laut pada musim sejuk. Keadaan ini menyebabkan wujudnya angin kencang secara tiba-tiba, apabila angin sejuk turun ke aras laut dan angin panas bergerak ke atas. Mistral menyebabkan fros berlaku dan menyebabkan kerosakan tumbuhan. Keadaan ini tidak sesuai bagi ladang anggur di selatan Perancis. Angin mistral lazimnya bertiup selama 100 hari dalam setahun. | UMUM | |
BINGKISAN MELAYU | BINGKISAN MELAYU, buku yang mengandungi contoh-contoh surat kiriman dan jawapan dalam bahasa Melayu yang diterbitkan pada tahun 1952. Buku bertulisan Rumi ini asalnya diberi judul Persuratan Melayu dikarang oleh Mansor bin Sanusi. Penukaran judul buku ini dibuat kerana penulis merasakan bahawa judul asalnya tidak sesuai dengan isi kandungannya, tanpa membuat sebarang pindaan. Bingkisan Melayu diterbitkan oleh Sinaran Bros, Bayan Lepas, Pulau Pinang dan dicetak oleh Syarikat Percetakan Qalam, Jalan Geylang, Singapura. Kata pengantar buku ini ditulis oleh S.M. Zainal Abidin B.A dan diulang cetak sebanyak tujuh kali. | BAHASA | Kitab |
TETRASIKLIN | Tetrasiklin ialah satu daripada famili antibiotik yang digunakan untuk merawat jangkitan. Tetrasiklin menjejaskan banyak jenis bakteria dan mikroorganisma lain termasuk riketsia (lihat Riketsia ). Doktor menggunakan tetrasiklin untuk merawat penyakit seperti tifus, trakoma, dan penyakit saluran jantina. Mereka juga menggunakan tetrasiklin dalam rawatan penyakit akne. Tetrasiklin yang pertama didapati pada tahun 1948. Semenjak itu, tetrasiklin digunakan dengan meluas malah kerap kali tidak sesuai digunakan bagi merawat pelbagai jenis penyakit. Penggunaannya yang meluas ini menyebabkan banyak mikroorganisma dapat menentang kesan daripada antibiotik ini. Oleh sebab itu, tetrasiklin tidak lagi berkesan melawan penyakit akibat mikroorganisma ini. | UMUM | |
PAK KADUK | PAK KADUK, nama watak dalam cerita jenaka Melayu, sastera rakyat. Pak Kaduk melalui Cerita Pak Kaduk membawa watak bodoh sial. Dia bernasib baik tetapi rezeki tidak di pihaknya kerana sifat tamaknya. Dia juga tidak boleh dianggap bodoh seperti Pak Pandir kerana dia berdaya menggunakan akal supaya mendapat manfaat daripada usaha yang dilakukan. Malangnya tindakan yang diambil setelah membuat pertimbangan tidak sesuai dengan keadaan sebenar, menyebabkan dia kerugian, iaitu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. | SASTERA | Karya |
KUFAH | Kufah, bandar yang terletak di Iraq yang diasaskan pada tahun 17 H/638 M bagi menggantikan peranan bandar Basrah yang persekitarannya tidak lagi sesuai untuk kediaman orang Arab. | AGAMA | Konsep |
GUNDIK | GUNDIK, perempuan simpanan raja atau sultan. Isteri (permaisuri) raja biasanya berketurunan raja dan dikahwini secara sah, manakala gundik ialah perempuan bukan berdarah raja yang diambil sebagai hamba atau orang suruhan raja atau istana. Bilangan isteri raja tidak melebihi empat orang sesuai dengan hukum Islam. Sebaliknya, raja boleh mempunyai gundik seramai mungkin. Pada peringkat awal perkembangan, Islam membolehkan hamba digauli oleh tuannya. Raja mengambil kesempatan itu untuk menghalalkan perbuatan tersebut dengan mempunyai gundik antara 300 hingga 400 orang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
|
|