Murdock, William (17541839), pereka cipta Scotland yang membuat beberapa pembaikan penting enjin kuasa stim dan juga menjumpai cara mendapatkan gas daripada batu arang. Dia turut mencipta simen-besi. Dia digaji oleh Matthew Boulton dan James Watt untuk memasang enjin pam ke lombong Cornish (lihat Boulton, Matthew; Watt, James). Pada tahun 1785, dia mencipta dengan jayanya sebuah model enjin untuk menarik kereta kuda. Dia memasang lampu menggunakan gas di rumahnya di Redruth. Pada tahun 1802, dia memasang gas di bengkel majikannya. Dia menyedari bahawa jet gas lebih terang apabila gas itu dipecahkan kepada beberapa jet kecil. Penggunaan gas untuk lampu jalan raya telah dimajukan secara persendirian oleh Murdock, dan banyak pengusaha syarikat menuduh bahawa dia mencuri idea daripada mereka. Murdock dipercayai mencipta alat untuk membuat pengaturan gear matahari dan planet untuk mendapatkan pergerakan putaran daripada enjin-rasuk. Ciptaan ini membolehkan binaan enjin kuasa wap memutarkan roda. Murdock lahir di Auchinlek, di daerah Strathclyde, Scotland. |