Tajuk |
Sinopsis |
Bidang |
Klasifikasi |
NIKEL | Nikel ialah unsur kimia logam berwarna putih yang digunakan dalam aloi. Nombor atomnya ialah 28 dan berat atomnya ialah 58.69. Simbol kimia Ni. Nikel adalah bermagnet, sangat berkilat dan tidak mudah pudar. | UMUM | |
SATIN | Satin ditenun dengan benang pakan (benang melintang) tidak menyilang benang lungsin (benang memanjang) sekerap tenunan kain jenis lain. Satin tidak mempunyai corak serong yang nyata. Malahan fabrik ini licin dan berkilat. Satin juga merujuk kepada fabrik sutera, nilon, rayon dan kapas dengan tenunan satin. | UMUM | |
SUTERA | Sutera ialah gentian yang kuat dan berkilat (bahan seperti benang) yang digunakan untuk membuat kain. Sutera mempunyai kecantikan semula jadi yang tidak dimiliki oleh kain jenis lain. Oleh sebab itulah kain sutera sering kali disebut sebagai raja segala gentian. Serat sutera dihasilkan daripada kokun ulat yang dikenali sebagai ulat sutera. Banyak haiwan lain, termasuk labah-labah dan lacewing menghasilkan benang sutera. Tetapi sutera yang dihasilkan itu tidak dapat dibuat kain secara ekonomi. | UMUM | |
KEMATU | Kematu ialah tebalan yang kecil, keras, dan berkilat pada epidermis (lapisan luar kulit). Ketumbuhan yang tebal ini menekan dermis (lapisan kulit yang lebih dalam) dan menyebabkannya menjadi nipis dan lembut. Tekanan dan geseran menyebabkan tumbuhnya kematu. Oleh itu, kematu sering kali tumbuh pada sendi jari kaki seseorang yang memakai kasut yang tidak sepadan. Walau bagaimanapun, kematu mungkin terbentuk di mana-mana sahaja pada badan apabila tekanan dan geseran mencederakan kulit. Kematu lembut biasanya terdapat di antara jari-jari kaki. Di sini, kulit yang menebal itu akan sentiasa lembut kerana sentiasa dibasahi peluh. | UMUM | |
MAHOGANI | Mahogani sering dikenali sebagai kayu kabinet yang terbaik di dunia kerana ia mempunyai kebanyakan sifat yang diperlukan untuk membuat perabot. Kayu ini kuat, cukup keras, dan tahan sebagai perabot, tetapi cukup mudah untuk digergaji atau diketam, dan diukir. Mahogani tidak mengecut, mengembang, atau meleding seperti kebanyakan kayu lain yang sama kerasnya. Kayunya mempunyai warna dan ira yang menarik, dan berkilat. | UMUM | |
TUN FATIMAH | TUN FATIMAH ( ? - ?), raja perempuan Melaka. Dia ialah anak Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Dia digambarkan sebagai gadis yang sangat cantik. Mengikut Sejarah Melayu, kecantikan Tun Fatimah seperti ... laut madu, bercahaya-cahaya, berkilat, seperti bulan purnama ketika cuaca. Tun Fatimah berkahwin dengan Tun Ali, anak Seri Nara Diraja Tun Tahir. Sultan Mahmud yang berangkat menghadiri majlis perkahwinan Tun Fatimah jatuh hati kepadanya dan mendendami Bendahara Tun Mutahir kerana tidak memberitahu baginda yang dia mempunyai anak perempuan yang cantik. Hasil perkahwinan tersebut, Tun Fatimah dikurniakan cahaya mata dan diberi nama Tun Terang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Tokoh |
SUMBI GIGI | Kapsyen : Sumbi gigi SUMBI GIGI, penambal gigi yang rosak atau gigi tambahan atau buatan. Sumbi gigi memainkan peranan penting dalam penjagaan gigi di samping mengemas dan mencantikkan gigi. Sumbi gigi juga boleh berfungsi sebagai susuk pemanis. Pada mulanya sumbi gigi ini dibentuk menggunakan logam seperti tembaga, perak dan emas. Lama-kelamaan ada sesetengah masyarakat elit menempah sumbi gigi menggunakan logam platinum, kerana lebih mahal, kuat dan kelihatan berkilat apabila seseorang itu senyum atau ketawa. Dengan kata lain, sumbi gigi tidak lagi menjadi penutup bagi gigi yang rosak, sama ada berlubang atau rapuh tetapi mula enjadi penghias wajah pemakainya. | BUDAYA | Alat/Alatan |
|
|