Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
adakah wajib di letakkan perkataan 'Wilayah Persekutuan" untuk putrajaya? | Tidak wajib seperti "Kuala Lumpur". | Lain-lain | 22.08.2009 |
Salam, 1) Apakah ayat yang sesuai untuk menulis memo panggilan kursus yang wajib dihadiri oleh pegawai atasan? 2) Bolehkah perkataan " Tuan/puan dijemput menghadiri bengkel tersebut tanpa uzur" ? digunakan untuk menjemput pegawai atasan dan kehadiran adalah wajib. | 1. Penggunaan ayat yang sesuai untuk menulis memo panggilan kursus bergantung pada kursus yang hendak diadakan. 2. Kehadiran adalah diwajibkan kepada semua pegawai /Semua pegawai wajib menghadiri kursus ini. | Tatabahasa | 11.05.2010 |
Rajah 1.1 menunjukkan teori perkaitan di antara sebab dan syarat-syarat wajib zakat bagi zakat yang berasaskan harta perolehan. Soalan: Sesuaikah penggunaan perkataan "perkaitan" di situ, atau ada perkataan lain yang lebih sesuai? Kemudian perlukah diletakkan perkataan "di" sebelum "antara" atau cukup dengan "antara" sahaja tanpa "di (di antara) dalam konteks ayat di atas? Terima kasih. | Rajah 1.1 menunjukkan kaitan antara sebab dan syarat wajib zakat bagi zakat yang berasaskan harta perolehan. - perkaitan bermaksud hal atau keadaan yang berkaitan, manakala kaitan bermaksud hubungan. Kata kaitan lebih sesuai dalam ayat ini. Perkataan di antara lazimnya digunakan bagi perkataan yang menunjukkan ada ruang/jarak antara kedua-duanya, oleh itu kata antara lebih sesuai dalam ayat ini. | Tatabahasa | 12.05.2011 |
Assalamualaikum.. 1.Apakah bahasa pengantar yang perlu digunakan dalam IPTA? 2.Adakah penggunaan Bahasa Melayu wajib di IPTA? 3.Mana perkataan yang betul; Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Terima kasih. | Bahasa Melayu dikekalkan sebagai bahasa pengantar utama di IPTA. Walau bagaminanpun selaras dengan perkembangan pendidikan global IPTA diberi kebenaran untuk mengendalikan kursus pengajian tertentu dalam bahasa Inggeris dengan syarat bahasa Melayu hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib. Pengunaan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Akta bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu. Daripada aspek tamadun penggunaan yang betul ialah bahasa Melayu kerana pembinaan bahasa itu disandarkan kepada tamadun Melayu. Walau bagaimanapun mengikut keputusan pihak Kabinet Malaysia perkataan bahasa Malaysia digunakan untuk menyemai rasa kekitaan dalam kalangan rakyat. | Lain-lain | 27.03.2011 |
Untuk penggunaan kata seruan, adakah wajib untuk meletakkan kata seru di permulaan ayat atau ianya adalah suatu pilihan untuk menjadi ayat seruan. Aduh, sakitnya kakiku! Sakitnya kakiku! Adakah ayat kedua masih dianggap ayat seruan. Terima Kasih. | Ayat yang kedua itu, masih digolongkan sebagai ayat seruan kerana menggunakan kata seruan dan menggunakan itonasi yang berbeza daripada ayat biasa. Kata seru ialah bentuk kata yang erfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan. Harap maklum. | Tatabahasa | 13.08.2007 |
UNTUK SINGKATAN SENDIRIAN BERHAD IAITU SDN BHD, APAKAH WAJIB UNTUK MELETAKKAN TANDA TITIK DI KEDUA DUA PENGHUJUNG SDN DAN BHD IAITU SEPERTI SDN. BHD. ATAU BOLEH JUGA TANPA TITIK SEPERTI SDN BHD | Ejaan yang betul ialah Sdn. Bhd., mesti ada tanda titik kerana ejaan tersebut ialah singkatan kepada Sendirian Berhad. | Ejaan | 24.05.2012 |
jelaskan sedikit tentang penggunaan oleh ketika menggunakan imbuhan di...wajib atau optional | Untuk ayat pasif yang menggunakan kata kerja pasif di-, kata sendi nama oleh pada binaan oleh + FN yang letaknya selepas kata kerja boleh digugurkan tanpa menjejaskan makna atau struktur ayat. Contoh: Barang itu sudah diambil Ali semalam, sampah sarap dibakar ayah pada pagi tadi. Namun demikian, sekiranya binaan oleh + FN terletak jauh daripada kata kerja, maka oleh tidak boleh digugurkan. Contoh: Barang itu sudah diambil semalam oleh Ali, sampah sarap dibakar pagi tadi oleh ayah. | Tatabahasa | 22.04.2010 |
"Sejak abad ke abad" Bolehkah sejak dan ke digunakan sebegini atau wajib membubuh "dari abad ke abad"? | Frasa yang betul ialah "dari abad ke abad" dan jika perkataan sejak hendak digunakan, frasa yang betul ialah "sejak abad ke-19 ...". | Tatabahasa | 29.10.2012 |
Adakah 'Tindakan sewajarnya' betul? Oleh sebab tindakan diambil sepatutnya wajar ataupun wajib? | Frasa "tindakan sewajarnya" adalah betul merujuk kepada tindakan yang dirasakan wajar diambil berdasarkan situasi dan pertimbangan yang lain. | Tatabahasa | 23.08.2011 |
Penggunaan "salutation" YBhg,, Yg Berhormat dan sebagainya didalam surat menyurat atau ucapan adalah diwajibkan. Bagaimana pula didalam aturcara program (brochure)? Terutamanya apabila senarai nama didalam program semuanya adalah VVIP (menteri, ahli korporat - Tan Sri, Dato, dll). Adakah wajib meletakkan "salutation" di setiap senarai nama individu? | Dalam penulisan rasmi, bagi menunjukkan kesantunan berbahasa, kata sapaan wajib dimasukkan dengan gelaran kehormat individu. Untuk rujukan berkaitan kata sapaan, sila rujuk buku Protokol di Malaysia: Tradisi & Amalan (tulisan Moktar Haji Mohd. Tohar dan Ahmad Fawzi M. Basri, terbitan DBP). | Tatabahasa | 12.11.2013 |