Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
perkataan sama erti bagi perkatan2 berikut: i)bimbsng, takut ii)sedih, sayu iii)kacau, tidak tenteram | risau,gelisah,khuatir. | Tatabahasa | 22.08.2007 |
Salam sejahtera. Apakah perbezaan huru-hara dan haru-biru dari segi penggunaan? Harap dapat keterangan yang jelas. Terima kasih. | Haru-biru ialah haru-hara, huru-hara, kacau-bilau, porak-peranda, kekalutan, kerusuhan: kota yang dahulunya sangat tenang telah menjadi haru-biru; Mengharu-birukan 1. menimbulkan kerusuhan (kekacauan dan lain-lain), mengelam-kabutkan, mengacau-bilaukan: rusuhan itu telah mengharu-birukan suasana di bandar itu; 2. menyebabkan sangat gelisah (runsing dan sebagainya): yang sangat mengharu-birukan fikirannya ialah perceraian anaknya; masalah itu mengharu-birukan fikirannya; keharu-biruan keadaan haru-biru: keharu-biruan yang berlaku dalam mimpinya itu pasti akan menambah tekanan jiwanya. Huru-hara ialah dalam keadaan tidak tenteram, kacau-bilau: negeri yang aman akan huru-hara akibat hasutan daripada anasir-anasir komunis; 2. dalam keadaan kelam-kabut (tidak keruan dan sebagainya): dia bimbang kalau diisytiharkan pada waktu itu, akan huru-haralah tentera yang berperang di bawah pemerintahannya; 3. bp berjalan dengan tidak tentu tujuan: janganlah huru-hara ke sana ke mari dengan kawan-kawan pada waktu malam; 4. keadaan kacau-bilau: ahli nujum meramalkan bahawa huru-hara akan berlaku di negeri itu dalam tahun 1990-an; | Tatabahasa | 08.07.2013 |
1.Keadaan lalu lintas menjadi tenang pada waktu malam. 2.Hujan mulai tenang pada waktu petang selepas beberapa jam turun dengan lebatnya. Ada salah tak? | Tenang bermaksud: 1. tidak berkocak, tidak berombak (air, laut), teduh (angin, ribut, dll); dan 2. tidak gelisah (runsing dll), tidak kacau atau rusuh (hati, fikiran, dll), aman dan tenteram (keadaan). Berdasarkan definisi dalam Kamus Dewan perkataan tenang tidak sesuai digunakan dalam ayat contoh yang tersebut, sebaliknya perkataan reda lebih sesuai digunakan. | Tatabahasa | 25.02.2012 |
makna perkatan "MADANI" saperti ingin dibayangkan dengan perkataan 'Masyarakat madani' perbezaan dengan masyarakat modern ; -harmonis ; -aman ; -maju atau yang agak sama maksud nya. Terima kasih | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat kata madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan(berkenaan dengan masyarakat, generasi dsb.). Moden bermaksud dari masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, yang terbaru,cara(kaedah)baru, mutakhir. Harmonis bermaksud selaras, seimbang, sepadan,sesuai atau bersesuaian(antara satu sama lain). Aman bermaksud bebas daripada keadaan kacau-bilau(seperti peperangan, pergaduhan, permusuhan,dsb.); bebas daripada gangguan atau sesuatu yang tidak menyenangkan ,damai, tenang,tenteram. Maju bermaksud bergerak ke muka, melangkah ke hadapan, mengasak ke hadapan; bertambah baik baik keadaannya(dalam pelajaran, perniagaan dll.);tinggi tamadunnya(peradabannya,taraf hidupnya, dll). Berdasarkan makna di atas , maka dapat dilihat perbezaan antara konsep-konsep tersebut.Masyarakat madani melibatkan kemajuan dari segi pemikiran dan kerohanian, masyarakat moden melibatkan kemajuan dari segi fizikal seperti pembangunan dsb., masyarakat harmonis dan aman melibatkan keadaan masyarakat yang stabil dan bebas daripada kacau-bilau, dan masyarakat maju pula melibatkan keadaan masyarakat yang bertambah baik dari segi ekonomi, pembangunan, industri dsb. | Makna | 30.05.2008 |
1." Saya berasal daripada keluarga yang aman" dan " Ali sekeluarga berasal daripada keluarga yang aman" Minta Tuan beri pendapat sekiranya terdapat kesilapan pada ayat di atas. 2."mi laksa" adakah perkataan ini boleh digunakan bersama? | 1. Kedua-dua ayat tersebut adalah kurang tepat daripada aspek pemilihan katanya. Kata 'aman' bermaksud tenteram dan sentosa lazimnya digunakan dalam konteks negara, seperti dalam ayat 'Malaysia merupakan negara kecil tetapi aman dan makmur; dan tidak digunakan dalam konteks keluarga. Begitu juga dengan penggunaan kata 'berasal' dalam ayat tersebut, lazimnya merujuk asal usul keluarga daripada golongan miskin, kaya, atau keturunan mulia, hina dan sebagainya. 2. Mi dan laksa adalah sejenis makanan yang berbeza antara kedua-duanya. Penggunaannya berdasarkan jenis masakan yang disediakan sama ada mi atau laksa. | Tatabahasa | 09.03.2011 |
|
|