Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
apakah beza perkataan sesal dan kesal | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sesal bermakna perasaan tidak senang kerana telah melakukan sesuatu yg tidak baik (dosa dll), keinsafan telah bersalah. Kesal pula ialah berasa kecewa atau tidak senang hati (di atas sesuatu perkara, perbuatan, dll), berasa sebal, berasa jengkel. Untuk ketarangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 11.05.2009 |
malu | Antara maksud malu merujuk Kamus Dewan ialah 1. = bermalu berasa aib (hina, rendah, dll) kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan, berasa tidak senang: aku ~ pula apabila tidak pakai seluar dan baju; panglima tak bermalu, melerek-lerek macam kambing jantan pd perempuan yg tiada mahu kepadanya; 2. perasaan aib (hina, rendah diri, dll): utk menutup ~nya, ayah Zainab telah memujuk Salim supaya mahu menjadi menantunya. | Makna | 29.01.2010 |
KIta tidak boleh memandang (senang) perkara penting itu. Nak tanya perkataan senang yang digunakan di ayat atas adalah betul atau tidak? Kalau tidak betul, nak macam mana menggunakan perkataan senang ini di atas ayat tersebut? Terima kasih. | Walaupun perkataan "senang" bersinonim dengan "mudah" tetapi dalam kalangan masyarakat kita tidak mengungkapkan frasa "memandang senang" melainkan "memandang mudah" atau "memandang ringan". | Tatabahasa | 10.10.2012 |
saya hendak membuat ayat seperti berikut: SNEK BERSANTAI KEGEMARAN RAMAI. adakah boleh digunakan perkataan bersantai di dalam ayat tersebut dan betulkah penggunaan ayat bersantai didalam ayat tersebut. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bersantai bermaksud berbuat apa sahaja dgn bebas tanpa ketegangan, bersenang-senang (tidak mengalami tekanan atau desakan): apabila persediaan sudah cukup, saya bekerja kadang-kadang ada ~-santai juga, bermalas-malas juga. Oleh itu, ayat saudara untuk menggunakan frasa tersebut tidak betul kerana bersantai merujuk orang/manusia yang bersantai, bukan snek. Cadangan kami: Snek Kegemaran Ramai. | Tatabahasa | 18.06.2010 |
apakah itu kata mudah dan apakah itu kata kompleks? | Mudah ialah senang/tidak sukar, manakala kompleks pula ialah rumit,sulit(tidak mudah atau jelas). Keterangan lanjut sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 19.01.2010 |
apakah maksud malu dan segan?? adakah malu dan segan mempunyai maksud yang sama atau berbeza?? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, malu bermaksud 1. = bermalu berasa aib (hina, rendah, dll) kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan, berasa tidak senang: aku ~ pula apabila tidak pakai seluar dan baju; panglima tak bermalu, melerek-lerek macam kambing jantan pd perempuan yg tiada mahu kepadanya; 2. perasaan aib (hina, rendah diri, dll): utk menutup ~nya, ayah Zainab telah memujuk Salim supaya mahu menjadi menantunya; 3. menaruh hormat akan, berasa segan (agak takut): ia sendiri masih begitu ~ hendak mengemukakan pertanyaan ini; ~ besar malu yg amat sangat; ~ mata segan, hormat; ~ bertanya, sesat jalan = ~ berdayung, perahu hanyut = ~ makan, perut lapar prb kalau tidak mahu berusaha tentulah tidak akan mendapat kejayaan; ~ kalau anak harimau menjadi anak kucing (kambing) prb tidak patut kalau anak orang baik-baik atau pandai menjadi jahat atau bodoh; manakala segan pula bermaksud 1. tidak suka berbuat sesuatu, tidak mahu, tidak sudi, enggan, malas: mereka ~ hendak turun naik tangga mahkamah itu; 2. = ~-silu berasa malu (silu, hormat, dll): ada sesetengah ibu yg berasa ~ kerana mengandung; tak ~ a) mahu, sudi, suka; b) tidak malu; c) tidak takut-takut; tak ~-~ tidak malu-malu, tidak takut-takut, tidak harga-menghargai; ~ tak ~ tidak malu-malu, tidak takut-takut; ~ bergalah, hanyut serantau = ~ berkayuh perahu hanyut = ~ bertanya sesat jalan prb kalau tidak mahu berusaha tidak mungkin mendapat kejayaan; | Istilah | 01.11.2009 |
bersenang-senang dahulu bersusah-susah kemudian | Soalan saudari tidak jelas. Peribahasa yang ada 'Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian. | Lain-lain | 08.10.2009 |
Apakah perbezaan riuh dan bingit ? terima kasih. | Riuh bermaksud bising, gempar, ramai (bunyi, suara, dan lain-lain), manakala bingit bermaksud tidak sedap, kurang senang (didengar). | Makna | 18.11.2008 |
maksud keluguan dan segmentasi | Lugu bermaksud berasa senang, puas, kenyang. Kata terbitan keluguan tidak ada contoh dalam Kamus Dewan walau bagaimanapun maksudnya sama seperti makna kata asalnya. Manakala segmentasi tidak ada dalam bahasa Melayu, yang ada ialah perkataan segmen bermaksud 1. bahagian (dari sesuatu), penggal; 2. (istilah Biologi) bahagian dari binatang yang beruas-ruas (seperti cacing, serangga, dll), dan padanan segmentation dalam bahasa Melayu ialah pensegmenan. | Makna | 12.09.2009 |
Adakah perkataan 'berkenan' sesuai digunakan dalam ayat di bawah? Sewaktu kita dalam keadaan panas baran, kita tidak akan berkenan dengan pujukan daripada sesiapa pun. | Berkenan bermaksud bersetuju di hati atau berasa gembira (puas hati atau senang hati) tetapi tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Pujukan lazimnya dikaitkan dengan terpengaruh ataupun termakan pujuk bukan berkenan atau bersetuju dengan pujukan. Panas baran juga ialah sifat dan bukan keadaan. | Tatabahasa | 25.08.2011 |
|
|