Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
1)mencolok mata atau menjolok mata? 2)serbaneka atau serba aneka? 3)sebaik sahaja atau sebaik-baik sahaja? | Merujuk Kamus Dewan, mencolok mata dalam bentuk kata kiasan bermaksud menimbulkan rasa meluat dan sebagainya kepada sesiapa yang melihat kerana berlebih-lebihan (tentang pakaian, kelakuan dan lain-lain). Manakala menjolok mata antaranya bermaksud memberi malu atau menyakiti hati (kerana perbuatan yang tidak sopan, cara berpakaian dan sebagainya). Lazimnya, perbuatan ini merujuk makna kiasan, oleh itu frasa mencolok mata yang sering digunakan. Serbaneka atau serba aneka kedua-duanya boleh digunakan. Sebaik sahaja atau sebaik-baik sahaja kedua-duanya juga, boleh digunakan bergantung pada konteks ayat. | Tatabahasa | 29.09.2012 |
Dengarlah sebaik-baiknya agar anda tidak melepasi peluang keemasan ini. Munsyi, apakah kesalahan dalam ayat ini? TK | Dengarlah baik-baik agar anda tidak terlepas peluang keemasan ini. | Tatabahasa | 16.07.2012 |
Kek itu mengembang sebaik sahaja dikeluarkan dari ketuhar. (Adakah ayat di atas betul?Saya berpendapat bahawa kata kerja "mengembang"yang digunakan tidak sesuai) | Saudara, Perkataan mengembang dalam ayat itu sesuai digunakan. | Tatabahasa | 07.07.2010 |
KAVER?? | Perkataan kaver tidak wujud dalam bahasa Melayu. Berdasarkan maklumat yang diberikan penggunaan perkataan kaver terhad dalam kelompok tersebut. Walau bagaimanapun sebaik-baiknya kita bersama-sama menggunakan bahasa yang betul apatah lagi dalam paparan yang boleh dilihat oleh orang ramai. | Lain-lain | 29.10.2012 |
Harap dapat memberitahu adakah ayat-ayat tersebut betul dan penjelasannya. 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselataman. ( mana yang tepat ) 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi. Sekian, terima kasih. | 1. Orang ramai (berebut-rebut / berduyun-duyun) masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. ( mana yang tepat ) Orang ramai berebut-rebut/berasak-asak masuk ke dalam stadium sebaik sahaja pintu utama dibuka oleh pengawal keselamatan. (tepat) - dalam konteks ayat ini, situasi pintu dibuka oleh pengawal. 2.Marina terpaksa menangguhkan niatnya menyambung pelajaran kerana kesempitan wang. (Tepat) 3. Serina menamai kucingnya Putih kerana bulu kucingnya itu putih. (tepat) 4. Ikhwan dan Alif gemar betul membaca buku cerita. (TEPAT) 5. Novel yang paling tebal itu tidak terbaca oleh saya dalam tempoh dua hari. (TEPAT) 6. Mereka membincangkan lain-lain perkara dalam mesyuarat agung itu. frasa yang betul ialah perkara-perkara lain. 7. Yang muda hendaklah dinasihati dan yang tua hendaklah disayangi.(Tepat) | Tatabahasa | 13.08.2012 |
7. Lagu kebangsaan berkumandang di langit sebaik sahaja selesainya upacara tersebut. Tiada kesalahan. munsyi, adakah di langit salah? TQ adakah ayat ini gramatis? | Penggunaan yang lazim digunakan ialah 'berkumandang di udara'. Ayat itu tidak gramatis. Sila rujuk buku Tatabahasa sebagai panduan membina ayat dengan gramatis. | Tatabahasa | 11.03.2012 |
Sebaik-baik mencelikkan matanya, terlihat oleh Yus ( pada , akan) wajah adik-adiknya yang tiga orang itu. Jawaban munsyi ialah akan, tetapi saya masih tidak faham mengapakah bukan pada yang digunakan? terlihat pada wajah?? sebenarnya jawaban daripada buku rujukan ialah akan, iaitu sama pendapar dengan munsyi. | Kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu, seperti yang berikut: a. menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa. b. kata sendi nama "pada" apabila didahului "ada" mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan. c. sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Oleh sebab dalam ayat yang diberikan tidak menunjukkan ketiga-tiga situasi yang diberikan di atas, jawapan yang betul ialah "akan". | Tatabahasa | 12.02.2012 |
Assalamualaikum wbt Encik. Saya ingin mendapat kepastian berhubung ayat di bawah sama ada betul atau sebaliknya. 1) Seorang pekerja yang baik sentiasa melaksanakan/menunaikan tanggungjawabnya dengan sebaik yang mungkin. 2) Polis itu tidak berasa gentar/gerun ketika berhadapan dengan sekumpulan perompak tersebut. 3) Pak Tua menggagahkan/menguatkan diri untuk menebang pokok rambutan di hadapan rumahnya dengan sebilah kapak. 4) Zainun agak gugup/gagap ketika menyampaikan pidato di hadapan para penonton. Terima kasih. | Perkataan yang betuk bagi ayat tersebut ialah; 1. melaksanakan tanggungjawab 2. tidak berasa gerun 3. menguatkan diri 4. agak gugup. Harap maklum. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Salam sejahtera, boleh tuan/puan beritahu saya apakah jawapan untuk soalan yang disertakan atau soalan tersebut langsung tidak mempunyai jawapan yang tepat. soalan: Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan cergas dengan betul. I Bersenam menjadikan otak kita cergas. II Dia bergiat cergas dalam bidang olahraga. III Kami berasa cergas setelah bekerja seharian. IV Suara budak itu memang cergas apabila berpidato. A. I dan II sahaja. B. I dan III sahaja. C. II dan IV sahaja. D. I, II, III dan Iv | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, makna cergas ialah: 1. bertenaga dan giat (bkn orang, tubuh, otak, dsb), aktif: Aminah kanak-kanak yg ~; 2. pantas, cepat: mereka bergerak ~ sebaik-baik sahaja diberi perintah; 3. banyak menjalankan atau terlibat dlm kegiatan dsb, giat, aktif: mengambil bahagian ~ dlm aktiviti sukan sekolahnya; sebuah jawatankuasa yg ~; 4. banyak kegiatannya menjual dan membeli (bkn pasaran saham); 5. (masih) mengeluarkan wap dan lahar (bkn gunung berapi), aktif: gunung berapi Etna masih ~. Berdasarkan takrifan tersebut, maka pilihan yang betul ialah ialah I, II, dan III. Untuk mengelakkan kekeliruan, saudara digalakkan merujuk penyedia soalan tersebut. | Tatabahasa | 24.06.2010 |
Salam sejahtera, saya ingin bertanya tentang pertukaran ayat biasa kepada ayat songsang. Jika soalan saya berbunyi (1) Sazali terpakasa menangguhkan perkahwinannya kerana menghadapi masalah kewangan. (2) Pasangan penggantin diraja duduk di atas peterana sebaik-baik sahaja diarak oleh pasukan kompang. (3) Dia menonton bola sepak di Stadium. Apakah jawapan yang betul bagi ketiga-tiga soalan di atas? Soalan saya yang kedua ialah adakah Ayat Susunan Songsang tidak mempunyai makna? atau sebahagiannya mungkin tidak ada makna? Soalan saya yang ketiga ialah pernah pihak DBP menjawab soalan saya yang berbunyi menukarkan ayat pasif (Baginda menganugerahi pahlawan itu bintang kehormat) kepada ayat pasif (Pahlawan itu dianugerahi bintang kehormat oleh baginda). Jika mengikut hukum objek tepat dan objek sipi, bagaimanakah jawapan yang diberikan oleh DBP bagi soalan "Saya menghadiahi Ali sebuah basikal" akan menjadi Sebuah basikal dihadiahi saya? Bukan ke bagi orang pertama formula atau penyusunan binaan ayat pasif mesti "Kata ganti nama pertama atau kedua diikuti kata kerja"? Bukan ke jawapan yang sebenarnya harus berbunyi "Ali saya hadiahi sebuah basikal" yang sememangnya ikut hukum tatabahasa (objek tepat dan objek sipi serta hukum binaan ayat pasif bagi pelaku I dan II? Sekian, terima kasih. | Saudara, 1. Kerana menghadapi masalah kewangan Sazali terpaksa menangguhkan perkahwinannya. 2. Sebaik-baik sahaja diarak oleh pasukan kompang pasangan pengantin diraja duduk di atas peterana. 3. Di stadium dia menonton bola sepak . Susunan yang betul ialah ' Ali saya hadiahi sebuah basikal'. Mungkin jawapan yang diberikan oleh petugas sebelum ini tidak lengkap. Maaf atas kesulitan yang berlaku. | Tatabahasa | 13.08.2010 |