Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Apakah jawapan yang paling tepat untuk soalan ini. Soalan 1: Pondok di kaki bukit itu tidak kelihatan dari jauh kerana di _______ kabus. A. dilindungi B diselubungi Soalan 2 : Mana satu yang betul? Para tamu atau para tetamu. | 1: Pondok di kaki bukit itu tidak kelihatan dari jauh kerana diselubungi kabus. 2: Para tamu atau para tetamu. Kedua-duanya betul, tamu ialah orang yang datang mengunjungi orang lain, manakala tetamu merujuk orang yang diundang (dijemput) untuk menghadiri jamuan. | Tatabahasa | 27.05.2009 |
MAKSUD PERKATAAN ORANG HILANG DAN PENCULIKAN | Makna secara harfiah "orang hilang" ialah orang yang tidak kelihatan lagi dan penculikan bermaksud mencuri (melarikan) kanak-kanak atau orang dewasa untuk dibunuh, diminta wang tebusannya dan lain-lain. Walau bagaimanapun dari aspek sudut undang-undang kedua-dua istilah tersebut memerlukan huraian terperinci dengan merujuk pakar bidang berkenaan. | Makna | 05.06.2009 |
para penonton diminta duduk supaya tidak kelihatan sumbang. (tuan, sumbang adalah salah dan patut digantikan dengan perkataan apa? tq | Untuk makluman, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan sumbang bermaksud 1. tidak sedap didengar atau dilihat (bkn bunyi, perbuatan dll); janggal 2. tidak betul perbuatannya; salah; silap 3. tidak mengikut adat kesopanan atau tidak mengikut adat kebiasaan (spt melakukan zina dll). Perkataan sumbang boleh digantikan dengan perkataan lain, misalnya janggal, pelik, dan sebagainya, bergantung pada konteks penggunaannya. | Makna | 09.09.2011 |
Salam sejahtera, Tuan/puan, Sila nyatakan ayat mana yang betul. 1. Badan kucing dilitupi bulu. 2. Badan kucing diliputi bulu. Terima kasih. | Berdasarkan Kamus Dewan edisi keempat, maksud liput dan litup adalah seperti yang berikut: litup bermaksud tertutup (tertudung dan lain-lain) rapat-rapat hingga tidak kelihatan; melitupi - menutupi rapat-rapat, menyelimuti, menyelubungi; terlitup - tertutup (tertudung) rapat-rapat; litupan - (Geo) sesuatu yg melitupi liput bermaksud 1. berselubung, bertutup, dipenuhi oleh 2. (kiasan) terselindung, tersembunyi; terliput 1. tertutup oleh sesuatu (air dll); 2. termasuk atau terlingkung (dlm sesuatu kawasan dll) Berdasarkan maksud yang diberikan, kedua-dua perkataan, iaitu dilitupi dan diliputi boleh digunakan. | Makna | 25.05.2012 |
makna istilah 'rencam' | Perkataan rencam bermaksud i. merencam , tidak terang atau tidak jelas kelihatan,mengaburkan mata(kerana ,terlalu halus dll.) 2. rencaman, campuran daripada pelbagai macam 3. (terdiri)daripada pelbagai macam. Sila rujuk kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1311. | Makna | 03.03.2009 |
Apakah beza antara perkataan sana dan situ? Pada pengetahuan saya, situ digunakan untuk menunjukkan sesuatu yang jauh tetapi masih boleh kelihatan manakala sana digunakan untuk merujuk kepada sesuatu yang jauh dan tidak boleh kelihatan. Contoh ayat : 1.Adik saya berdiri di sana/situ. 2. Saya berjalan ke arah sana/situ. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, sana bermaksud tempat yang jauh atau yang dianggap jauh. Di sana bermaksud tempat yang jauh (dari orang yang bercakap). Situ pula ialah (kata yang menunjukkan) tempat yang tidak jauh dari orang yang berbicara). Di situ bermaksud di tempat itu. | Makna | 13.08.2011 |
I Dia yang menggambarkan dirinya pelukis terkenal tanah air. II Dari hari ke sehari dia kelihatan semakin kurus. apakah kesalahan tatabahasa bagi kedua-dua soalan di atas? terima kasih | I. Dalam ayat tersebut, 'yang' tidak perlu dan ayat yang betulnya ialah 'Dia menggambarkan dirinya pelukis terkenal tanah air.' II. Dari hari ke hari dia kelihatan semakin kurus. Harap maklum. | Tatabahasa | 05.06.2008 |
1. Mereka jarang balik ke kampung. 2. Pakaian pelakon itu sangat jarang. 3. Keluarga Pak Salleh jarang berkunjung ke rumah kami semenjak pindah ke Kuala Lumpur. 4. Rumah-rumah di kampung itu kelihatan jarang. Keempat-empat penggunaan jarang di atas, manakah penggunaan jarang yang lebih tepat. 5. Ibu menanam bunga di taman. Ataupun Ibu menanam pokok bunga di tanam. Manakah ayat yang lebih tepat. Terima Kasih. | Jarang bermaksud 1. tidak rapat, renggang, bersela-sela, tidak kedap (tenunannya dll): 2. tidak lebat, tidak padat: manakala jarang-jarang tidak sering, tidak kerap, tidak selalu, tidak lazim. berdasarkan makna tersebut ayat 2 (Pakaian pelakon itu sangat jarang) dan 4 (Rumah-rumah di kampung itu kelihatan jarang) betul penggunaan kata jarangnya, manakala ayat 1 dan 3, yang betul ialah jarang-jarang. | Tatabahasa | 07.03.2010 |
Adakah ayat di bawah betul? Sekiranya ayat tersebut betul atau salah saya minta tuan terangkan sebab ayat : i. Bayi yang baru lahir itu kelihatan amat comel sekali. ii. Lampu pelita minyak tanah itu tertutup apabila ditiup angin. | i. Ayat "Bayi yang baru lahir itu kelihatan amat comel sekali" betul kerana kata penguat bebas, iaitu amat,sungguh dan sangat boleh diikuti oleh kata penguat belakang sekali. Hal ini demikian kerana kata penguat tersebut tidak mendukung maksud darjah penghabisan. ii. Ayat yang betul " Pelita minyak tanah itu padam apabila ditiup angin" | Tatabahasa | 08.08.2011 |
1. Wanita itu menangis (teresak-esak / tersedu-sedu) kerana kehilangan suaminya yang tersayang. 2. (Banyak kanak-kanak) kelihatan (letih lesu) dalam bulan Ramadan. Bahagian manakah dalam ayat ini salah? Atau tiada kesalahan. 3. Golongan remaja perempuan perlu berwaspada agar (tidak diperdaya) oleh lelaki hidung belang. ATAU Golongan remaja perempuan perlu berwaspada agar (tidak mudah terperdaya) oleh lelaki hidung belang. 4. Ibu (memasakkan) sambal udang untuk abang yang baru pulang dari asrama. 5. Berikut (adalah) peserta yang berjaya ke peringkat akhir. 6. Sangat sukar sekali untuk kami membuat keputusan itu. 7. Mereka berjalan cepat-cepat ke sekolah kerana hujan renyai-renyai mulai turun. 8. Ken Yee (diam) di rumah banglo yang terletak di hujung kampung itu. 9. Para pelajar disuruh duduk (diam) semasa ketiadaan guru. 10. (Sementara) itu kapal belajar juga, makin lama makin laju. 11. Kami (menemukan) beg pelajar itu di belakang bangunan itu. | 1. Wanita itu menangis teresak-esak kerana kehilangan suaminya yang tersayang. 2. Banyak kanak-kanak kelihatan letih/lesu dalam bulan Ramadan. - ayat ini betul 3. Golongan remaja perempuan perlu berwaspada agar tidak mudah terperdaya oleh lelaki hidung belang. 4. Ibu memasakkan sambal udang untuk abang yang baru pulang dari asrama. 5. Berikut ialah peserta yang berjaya ke peringkat akhir. 6. Sangat sukar sekali untuk kami membuat keputusan itu. 7. Mereka berjalan cepat-cepat ke sekolah kerana hujan renyai-renyai mulai turun. 8. Ken Yee tinggal di rumah banglo yang terletak di hujung kampung itu. 9. Para pelajar disuruh diam semasa ketiadaan guru. 10. Sementara itu kapal belayar juga, makin lama makin laju. 11. Kami menemukan beg pelajar itu di belakang bangunan itu. Untuk menyemak penggunaan perkataan yang sesuai, sila rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari. Untuk memastikan penggunaan kata penguat yang betul seperti dalam soalan ketujuh (7) rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 259. | Tatabahasa | 24.10.2011 |