Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bagaimanakah kita membezakan penggunaan 'mengabui' dan 'mengaburi'? (kabur) | Mengabui ialah 1. membubuh abu (pd sesuatu); 2. = ~ mata ki menyebabkan (seseorang) terpedaya hingga tidak mengetahui atau menyedari keadaan atau tujuan yg sebenar, mengelirukan, menyesatkan pandangan, memperdaya: beliau mengingatkan penduduk-penduduk di situ supaya mengawasi tindak-tanduk golongan yg cuba ~ mata orang ramai. Mengaburi pula ialah menjadikan kabur: tanda tanya terus ~ fikiran Burad. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 16.08.2010 |
bagaimanakah cara untuk saya mempersembahkan karya saya seperti sajak dan sebagainya? | Dalam hal ini soalan sdr amat tidak jelas atau kabur. Maksud saya mempersembahkan sajak untuk apa? Adakah untuk persembahan deklamasi di pentas atau persembahan untuk media cetak/elektronik? Harap dapat jelaskan. Terima kasih dan salam. | Lain-lain | 08.09.2008 |
Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia Saya sedang menulis tesis dalam bahasa melayu diperingkat PhD dalam jurusan kejuruteraan elekktrik di UKM. Pertanyaan saya ialah mengenai satu pendekatan "Adaptive Neuro Fuzzy Inference System (ANFIS)". Saya terjemahkannya sebagai "Sistem Taabir Kabur Neuro Adaptif", adakah boleh diterima atau ada cadangan lain dari pihak tuan/puan. Sekian | Untuk makluman tidak ada istilah khusus untuk Adaptive Neuro Fuzzy Inference System (ANFIS). Walau bagaimanapun, kami ada istilah untuk Neuro Fuzzy (Neural Kabur), Adaptive (Ubah Suai) dan Inference (Inferen). Oleh itu, istilah yang kami cadangkan ialah Sistem Inferen Neural Kabur Ubah Suai. | Istilah | 20.04.2011 |
Apakah beza DEfinisi dan definasi? wujudkah istilah dalam BM definasi walhal KAmus DEwan tidak menyebutnya... Knapa fenomena 'definasi' semakin banyk digunakan jika kesahihan penggunaannya yang kabur sumbernya.. | Perkataan yang betul ialah definisi, iaitu terjemahan daripada definition. Perkataan difinasi dianggap salah dan penggunaanya di dalam teks tidak gramatis. Kini penggunaan definisi semakin mantap dan perkataan definasi telah diketahui oleh umum sebagai tidak gramatis. | Tatabahasa | 25.09.2012 |
assalamualaikum, Saya mempunyai kemusykilan tentang kata pemeri iaitu penggunaan ialah dan adalah.Walaupun telah merujuk Tatabahasa Dewan namun masih kabur. 1.Apakah jawapan bagi: Salina (ialah/adalah) kawan baik saya. 2.Adakah penggunaan kata ganti nama (orang) semestinya diikuti atau digandingkan dengan IALAH? 3.Saya berharap tuan dapat memberikan formula yang mudah agar saya dapat membezakan penggunaan kedua-dua perkataan. Terima kasih.Assalamualaikum. | 1. Salina ialah kawan baik saya. 2.Kata ganti nama (orang) tidak semestinya diikuti atau digandingkan dengan IALAH. 3. Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, contohnya Pengetua SMK Kajang ialah Encik Ahmad, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama, contohnya Baju yang dipakai adik adalah merah, Kursus ini adalah untuk menambahkan pengetahuan. | Tatabahasa | 28.07.2008 |
Beza antara perkataan 'melihat' dan 'memandang'. | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, melihat bermaksud 1. nampak apabila memandang, tidak buta, celik: ia tidak dapat ~ lagi kerana matanya sudah kabur; 2. memandang (menengok, menonton, dll) dgn menggunakan mata: mereka pergi ke tepi pantai ~ kapal yg terdampar itu; 3. menilik, meramal (nasib dll): ~ nasib; 4. membuat kesimpulan dgn menggunakan pancaindera, memaklumi (mengetahui dsb) dgn atau setelah melihat (mendengar dsb), meninjau: setelah ~ raja murka itu segalanya orang besar-besar semuanya takut gementar tulangnya; dlm hal ini kita cuba ~ beberapa sebab tersebut; dilihat dr sudut bahasa, beliau tidak menyambung pencapaian bahasa dlm cerpen-cerpen Keris Mas; 5. melawat (orang sakit dll), menziarahi: ~ orang sakit; ~ bulan datang haid. Memandang pula ditakrifkan sebagai 1. menggunakan mata utk mengetahui, melihat seraya mengendahkan, memperhatikan, mengamati: dipandangnya bangunan yg tiga tingkat itu; segala perempuan yg ~ itu semuanya tertawa gelak-gelak; 2. menganggap: Wan Derus dipandang sbg seorang ketua; 3. memikirkan, mempedulikan, memerhatikan: keadilan tidak ~ pangkat atau harta; 4. menghormati, menghargai: ia dipandang orang di kampung itu; ~ berat menganggap sesuatu bukan sbg perkara kecil atau tidak penting, memberikan perhatian dgn penuh kesungguhan; ~ enteng (gampang, mudah, ringan, sepi) menganggap enteng (gampang dll), menganggap tidak penting; ~ hina (rendah) a) menganggap hina (rendah); b) menghinakan (merendahkan); ~ jauh (ke hadapan) memberikan perhatian kpd atau memperhitungkan perkembangan (kepentingan dsb) jangka panjang; ~ kpd mengambil kira akan, memperhitungkan, memikirkan; ~ serong menganggap tidak jujur, tidak mempercayai. | Istilah | 03.12.2009 |
saya ingin dapatkan madah yang indah tentang menuntut ilmu atau pendidikan | Kelebihan Ilmu Ilmu itulah gemala sakti,Sinarnya cerah cahaya sejati,Asalnya puncanya lamun didapati,Sukar bercerai sehingga mati. Harganya tidak dapat ternilaikan,Sebuah dunia belinya bukan,Kuasanya besar sukat digunakan,Di laut, di darat, di rimba, di pekan. Masa seorang ialah taulan,Teman berbeka, suluh berjalan,Masa berhimpun ia pengenalan,Hias penyata polan si polan. Bagi yang duka ia penghibur,Ia penerang bagi yang kabur,Ialah kandil di dalam kubur,Lamun dengannya beramal subur. Ia penerang jalan ke syurga,Ia pemuas tekak yang dahaga,Ialah sungai, ialah telaga,Laut yang luas ialah juga. Ialah alat sangat berguna,Idaman orang yang bijaksana,Hamparnya luas amat saujana,Tepinya ajal sempadannya fana. (Pendeta Za’ba,) | Lain-lain | 26.07.2008 |
|
|