Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bagi pernyataan berikut, manakah yang lebih tepat digunakan? semasa atau pada? 1. Saya tidak berasa sakit pada tangan atau pergelangan tangan pada waktu malam. 2. Saya tidak berasa sakit pada tangan atau pergelangan tangan semasa waktu malam. terima kasih. | Pengunaan yang betul ialah Saya tidak berasa sakit pada tangan atau pergelangan tangan pada waktu malam. | Tatabahasa | 14.06.2021 |
Mana mungkin ada orang yang tidak berasa sedih melihat kaumnya masih tetap pada/kepada pendirian lama. | Mana mungkin ada orang yang tidak berasa sedih melihat kaumnya masih tetap pada pendirian lama. | Tatabahasa | 10.04.2012 |
Assalamualaikum wbt Encik. Saya ingin mendapat kepastian berhubung ayat di bawah sama ada betul atau sebaliknya. 1) Seorang pekerja yang baik sentiasa melaksanakan/menunaikan tanggungjawabnya dengan sebaik yang mungkin. 2) Polis itu tidak berasa gentar/gerun ketika berhadapan dengan sekumpulan perompak tersebut. 3) Pak Tua menggagahkan/menguatkan diri untuk menebang pokok rambutan di hadapan rumahnya dengan sebilah kapak. 4) Zainun agak gugup/gagap ketika menyampaikan pidato di hadapan para penonton. Terima kasih. | Perkataan yang betuk bagi ayat tersebut ialah; 1. melaksanakan tanggungjawab 2. tidak berasa gerun 3. menguatkan diri 4. agak gugup. Harap maklum. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Tuan, "Ayah berasa tidak sihat maka mendapatkan rawatan di hospital." 1.Adakah penggunaan perkataan "maka" dalam tersebut betul? 2. Apakah perbezaaan penggunaan perkataan "maka" dan "lalu"? Terima kasih | Dalam ayat yang diberikan, penggunaan perkataan "maka" dan "lalu" boleh bersilih ganti. Contoh penggunaan "maka" ialah Ayah berasa tidak sihat, maka ia mendapatkan rawatan di hospital. Contoh penggunaan "lalu" ialah Ayah berasa tidak sihat, lalu ia mendapatkan rawatan di hospital. | Tatabahasa | 24.01.2021 |
Tuan, frasa manakah yang baku antara "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" dengan "berasa puas akan / kepada kemajuan persuratan Melayu"? Saya berpendirian bahawa sendi yang betul "kepada" atau "akan" kerana "kemajuan persuratan Melayu" sasaran rasa "puas" itu walhal sendi nama yang menyatakan sasaran "akan" atau "kepada", maka frasa yang tepat "berasa puas akan / kepada kemajuan persuratan Melayu". Frasa sifat "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" salah kerana sendi nama "dengan" bermaksud "bersama", maka "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" bermaksud seseorang (pelaku FN benda ayat) berasa puas bersama orang "kemajuan persuratan Melayu" ini - ini tidak waras kerana "kemajuan persuratan Melayu" bukan orang, tidak berasa, maka tidak mungkinlah bersama dengan seseorang untuk berasa puas! Maka salahlah penggunaan sendi nama "dengan" dalam frasa ini. Frasa "berasa puas dengan kemajuan persuratan Melayu" ini bentuk bahasa kelumrahan masyarakat yang patut dibetulkan. Apakah pendapat tuan? | Pneggunaan kata sendi yang paling tepat ialah akan. Kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia, dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contohnya: 1. Wanita itu amat rindu akan anaknya. 2. Semua rakyat mesti sayang akan negara tempat tumpah darahnya. Pada pandangan kami, frasa berasa puas kurang sesuai. Frasa yang yang sesuai ialah berpuas hati. | Tatabahasa | 22.12.2016 |
Tuan, Adakah ayat-ayat berikut betul?Jika tidak,bagaimana betulkannya? 1.Ayah berasa tidak sihat maka mendapatkan rawatan di hospital. 2.Segala jemputan sudah mengambil tempat masing-masing. Terima kasih. | Ayat yang betul ialah: 1. Ayah berasa tidak sihat lalu dia mendapatkan rawatan di hospital. 2. Para jemputan sudah mengambil tempat masing-masing. | Tatabahasa | 17.09.2020 |
bagaimana pula dengan "terharu dengan kejayaan kawan saya." adakah penggunaannya betul? | terharu-berasa hiba atau sedih; berasa kasihan kerana melihat sesuatu yg tidak menyenangkan: Dia memandang ayahnya yg sedang terbaring itu dgn hati yg amat ~. 2 berasa tidak aman (kacau); terganggu: Fikirannya ~ apabila memikirkan masalah-masalah yg akan timbul nanti. | Tatabahasa | 25.07.2012 |
penggunaan perkataan menyesal dan menyesali...maksud dan contoh ayat untuk membezakannya | Menyesal bermaksud berasa dukacita atau ralat kerana melakukan kejahatan dll; berasa insaf. Contoh: Jika tidak lulus, jangan menyesal nanti. Manakala menyesali pula bermaksud menyesal akan; berasa tidak senang kepada; berasa sesal terhadap. Contoh: Pemandu lori itu menyesali perbuatannya yang cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
| Lain-lain | 11.09.2020 |
malu | Antara maksud malu merujuk Kamus Dewan ialah 1. = bermalu berasa aib (hina, rendah, dll) kerana membuat sesuatu yg salah atau yg tidak sopan, berasa tidak senang: aku ~ pula apabila tidak pakai seluar dan baju; panglima tak bermalu, melerek-lerek macam kambing jantan pd perempuan yg tiada mahu kepadanya; 2. perasaan aib (hina, rendah diri, dll): utk menutup ~nya, ayah Zainab telah memujuk Salim supaya mahu menjadi menantunya. | Makna | 29.01.2010 |
betulkan pemahaman saya mengenai istilah berasa dan merasa berasa ialah sesuatu perasaan terhadap benda atau perkara (sesuatu yang dirasai daripada tubuh badan) merasa pula ialah sesuatu perbuatan dengan menggunakan anggota badan | Berasa dan merasa terbit daripada kata rasa. Kedua-dua perkataan ini digunakan dalam konteks ayat yang berbeza. Dengan merujuk kamus, pengguna akan dapat memahami makna sesuatu perkataan dan dapat menggunakan sesuatu perkataan dengan betul. Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP:1826): Makna berasa yang pertama ialah mempunyai rasa dalam hati seperti takut, sedih dan gembira. Contoh ayat: Salina berasa kasihan melihat kucing itu dan mengusap-usap kepalanya. Makna berasa yang kedua ialah mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah seperti manis, pedas dan sedap. Contoh ayat: Kopi ini berasa pahit kerana sedikit sangat gulanya. Makna berasa yang ketiga ialah berada dalam keadaan hairan, sedih, insaf dan sebagainya dalam hati. Contoh ayat: Dia berasa hairan melihat kelakuan majikannya yang tiba-tiba sahaja marah-marah tidak tentu pasal. Makna merasa yang pertama ialah mengecap untuk mengetahui (rasa makanan, minuman dan sebagainya) dengan lidah. Contoh ayat: Ibu hendak merasa kuih yang saya buat. Makna merasa yang kedua ialah mengalami (rasa panas, sakit dan lain-lain) pada tubuh. Contoh ayat: Seluruh tubuhnya merasa gatal-gatal krn dilekati miang rumput ketika terjatuh di tepi longkang. Makna merasa yang ketiga ialah meraba atau menjamah (sesuatu) dengan tangan atau kaki. Contoh ayat: Dia memegang tanganku dan merasa denyut nadi. Kamus boleh dijadikan panduan atau rujukan bagi memastikan sesuatu perkataan yang digunakan betul. | Makna | 05.05.2025 |