Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
tuan, 1. pemuda itu begitu gigih untuk menduduki peperiksaan walaupun telah gagal beberapa kali.( apakah kesalahan yang ditemui? saya tak faham kerana buku mengatakan bahawa ayat ini salah) 2. badannya yang gempal menjadi kering setelah mengidap penyakit asma.(saya berasa ayat ini salah tetapi buku pula mengatakan betul?) terima kasih | Pendapat saudara betul kerana ayat pertama tidak mengandungi kesalahan, manakala dalam ayat kedua terdapat kesalahan penggunaan kata kering. Kering bermaksud tidak berair atau tidak basah dan makna kata kering yang lain juga tidak tepat dari semantiknya untuk ayat berkenaan. | Tatabahasa | 24.07.2011 |
1. Manakah lebih gramatis/tepat? 'Lekatkan paku tekan pada rod kaca menggunakan lilin lebur atau lilin cair'? 2. Jika ingin menyatakan larutan akueus klorin tanpa perkataan akueus, yang manakah adalah tepat: 'air berklorin' atau 'larutan klorin berair'? 3. Apakah istilah bahasa melayu untuk 'gas giants' dan 'ice giants' (kedua-duanya merujuk kepada kumpulan planet dalam sistem suria). Terima kasih. | 1. Dalam pangkalan data DBP, frasa yang digunakan ialah lilin cair 2. Penggunaan yang tepat ialah larutan berair klorin jika merujuk kepada air yang mengandungi klorin. Akan tetapi, jika merujuk kepada klorin yang mengandungi air, frasa yang harus digunakan ialah larutan klorin berair. 3. Untuk soalan nombor 3, kedua-dua istilah tersebut tidak terdapat dalam pangkalan data DBP. Sungguhpun begitu, kami mencadangkan supaya digunakan frasa Planet Gas bagi istilah Gas Giant dan Planet Ais bagi merujuk Ice Giant. | Istilah | 25.10.2016 |
wujud tak perkataan lembab atau lembap? yg mana membawa maksud keadaan yg berair dan yg mana membawa maksud kurang/tidak bijak? terima kasih. | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat yang wujud perkataan lembap dengan maksud masih basah, tidak rancak, lambat atau kurang mencapai kemajuan, tidak cerdas, lemah, lembam. Perkataan yang membawa maksud kurang atau tidak bijak ialah lembam. Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 916. | Makna | 16.06.2008 |
Mengikut kamus maksud pantai ialah tebing atau tepi laut yg diliputi pasir. Adakah sesuai jika dikatakan bermandi-manda di pantai atau lebih sesuai bermandi-manda di laut. Jika kedua-dua boleh digunakan tolong terangkan konteks penggunaan. | Bermandi-manda di pantai bermaksud mandi beramai-ramai dengan bersuka ria di kawasan yang berpasir dan berbatu-batu di tepi laut. Contohnya, ibu membawa adik bermandi-manda di pantai kerana adik masih kecil dan tidak pandai berenang. Bermandi-manda di laut bermaksud mandi beramai-ramai dengan bersuka ria di bahagian berair masin yang menggenangi sebahagian besar permukaan bumi. Contohnya, abang dan kakak sudah pandai berenang. Mereka bermandi-manda di laut setelah mendapat keizinan daripada ayah. Rujuk Kamus Dewan Perdana, (DBP, 2021), halaman 1261, 1406 dan 1611. | Tatabahasa | 17.08.2024 |
|
|