Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Pada 14 /11/12. Waktu berita utama TV3. Seorang tokoh politik yang sangat terkenal kononnya memperjuangkan Bahasa melayu/kebangsaan . Sempena meraikan sambutan hari devepavali beliau telah telah mengunakan imbuhan yang saya kurang pasti betul atau salah penggunaannya, iaitu berdeepavali dan bertahun baru. Ini bukan lah kali pertama beliau mengeluarkan perkataan yang pelik pelik. Bagi saya ini adalah satu pencemaran. | Penggunaan perkataan berdeepavali tersebut seolah-olah menyamakannya dengan perkataan berhari raya, iaitu merayakan hari raya. Namun pembentukan perkataan tersebut adalah tidak gramatis kerana kita juga tidak menggunakan ungkapan beraidilfitri dalam konteks merayakan hari raya Aidilfitri. | Tatabahasa | 15.11.2012 |
Salah satu rangkai kata yang agak pelik dari segi tatabahasa ialah "membersihkan sampah". Rangkai kata ini biasa digunakan, tetapi kalau lihat dari maksud yang diberikan oleh kamus, membersihkan bermaksud menjadikan sesuatu bersih, dengan itu "membersihkan sampah" bermaksud "menjadikan sampah bersih". Kalaulah, rangkai kata ini dihukum sebagai salah, kecohlah seluruh masyarakat kerana sukar menerimanya. Dengan itu, bagaimana kita dapat menyampaikan maksud "membuang sampah di sesuatu kawasan supaya nampak bersih"? | membersihkan- merupakan kata kerja aktif transitif yang memerlukan objek bagi menjelaskan maknanya. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membersihkan bermaksud menjadikan sesuatu bersih (dgn cara membasuh, menyapu, dll): ~ longkang; ~ sayur-sayuran sebelum dimasak;. Membersihkan sampah- menjadikan sesuatu menjadi bersih dengan cara menyapu atau membasuh sampah tersebut. sampah- boleh merujuk kepada kotoran, najis dan lain-lain. Rangkai kata tersebut tidak salah kerana sampah itu boleh dibersihkan. Contoh: membersihkan najis, membersihkan kotoran- iaitu menjadikan sesuatu itu bersih dengan mencuci atau membasuh najis / kotoran tersebut. 1. Ali membersihkan sampah itu. 2. Sampah itu dibersihkan oleh Ali. Berkenaan "membuang sampah di sesuatu kawasan supaya nampak bersih- boleh digunakan frasa ; membersihkan timbunan sampah/ rumah sampah. Ini menjelaskan perbuatan menjadikan sesuatu itu bersih dengan menyapu atau membasuh. | Tatabahasa | 08.09.2012 |
Dalam kehairanan, kami menuju ke arah bunyi pelik itu. adakah apa-apa kesalahan dlm ayat ini? | Ayat yang dinyatakan betul. | Tatabahasa | 05.07.2013 |
Salam hormat. Saya ingin bertanyakan tentang istilah 'jakun'. Adakah maksud lain bagi istilah itu selain daripada 1. suku kaum orang asli (OA), 2. halkum (Mn). Mengapakah masyarakat sering menggunakan istilah itu untuk menunjukkan sesuatu yang pelik, kolot dan seumpamanya. Terima kasih. | Berdasarkan sumber rujukan kami hanya dua maksud yang tersebut membawa maksud jakun, berkemungkinan terdapat dialek di daerah tertentu memberikan peluasan makna kepada kata jakun untuk maksud yang lain lagi. | Makna | 08.12.2010 |
Terima kasih atas bantuan. Seterusnya saya ingin kepastian tentang jawapan bagi soalan-soalan yang berikut: 1. Abu berasa _____ apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. A kaget B takjub C kagum D pelik 2. Masih ada ____ pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. A kekelituan B kegusaran C perselisihan D perbandingan 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. A AMAT TERINDAH B SUNGGUH AMAT INDAH C AMAT SUNGGUH TERINDAH 4. Biasiswa itu DIBERI KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. A DIBERI KEPADA PELAJAR B DIBERIKAN PADA PELAJAR C DIBERI UNTUK PELAJAR Terima kasih | 1. Abu berasa kaget apabila melihat Rokiah yang disangkanya telah meninggal dunia muncul secara tiba-tiba di hadapannya. 2. Masih ada perselisihan pendapat dalam kalangan orang ramai tentang punca kenaikan harga barang. 3. SUNGGUH AMAT INDAH pemandangan di sekitar pulau peranginan di negeri Sabah itu. 4. Biasiswa itu DIBERIKAN KEPADA PELAJAR yang kurang berkemampuan bagi meringankan bebanan keluarga mereka. | Tatabahasa | 19.10.2010 |
Bukankah Bahasa Baku telah diarahkan supaya diberhentikan kegunaannya secara resmi, kenapa kini masih terdapat kegunaannya secara berleluasa oleh pihak TV, khanya penyampai berita di TV 3 dan TV1, kami berasa agak pedih telinga setiap kali terdengar bacaan yang anih dan pelik sama sekali bertentangan dengan dasar Kerajaan dalam Penggunaan Bahasa Malaysia yang betul. tolong beri nasihat, terima kasih. | Encik Wong, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Mengenai arahan supaya bahasa baku diberhentikan penggunaanya, tidak pernah pula saya melihat arahan tersebut. Bagi saya penggunaan bahasa baku itu adalah baik kerana sebutan dibuat mengikut ejaan. Kalau hendak dibandingkan dengan bahasa Perancis umpamanya lagi teruk. Ejaannya lain bunyinya lain. Cuma bagi saya semua itu 'alah bisa tegal biasa' -jika telah biasa kita gunakan tentu kita tidak menghadapi masalah untuk menyebutnya. | Tatabahasa | 25.02.2009 |
Apabila menulis kata nama khas tempat dalam rencana bahasa Inggeris perlukah nama tempat tersebut ditukar seperti contoh Tasik Dayang Bunting kepada Lake of Pregnant Maiden? Tetapi ada juga brosur yang pernah ditulis dan apabila ditukar kata nama khas ke bahasa Inggeris menjadi pelik sebagai contoh Gua Langsuir kepada Banshee Cave. Terima kasih. | Kata nama khas tempat biasanya dikekalkan ejaan asal, kecuali beberapa nama tempat yang versi bahasa Inggerisnya memang telah dikenali dan digunakan pada peringkat antarabangsa. Contohnya, Penang untuk Pulau Pinang, Malacca untuk Melaka. | Ejaan | 29.01.2013 |
para penonton diminta duduk supaya tidak kelihatan sumbang. (tuan, sumbang adalah salah dan patut digantikan dengan perkataan apa? tq | Untuk makluman, dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan sumbang bermaksud 1. tidak sedap didengar atau dilihat (bkn bunyi, perbuatan dll); janggal 2. tidak betul perbuatannya; salah; silap 3. tidak mengikut adat kesopanan atau tidak mengikut adat kebiasaan (spt melakukan zina dll). Perkataan sumbang boleh digantikan dengan perkataan lain, misalnya janggal, pelik, dan sebagainya, bergantung pada konteks penggunaannya. | Makna | 09.09.2011 |
soalan 1: 1. Saya nak ucap terima kasih juga kepada Setiausaha Agung yang rambutnya teristimewa sekarang ini.......Kesalahan yang terdapat pada ayat ini ialah "yang rambutnya teristimewa" sekarang ini...... (boleh jelaskan kenapa "yang rambutnya teristimewa salah") 2. Yang pertama, bahawa... Yang pentingnya,....kenapa perkataan "yang" tidak sesuai diguna pakai di awal ayat??? boleh tolong jelaskan? | Jawapan 1: Ayat yang lebih sesuai ialah "yang berambut "istimewa" sekarang ini...". Perlu ada tanda " " pada perkataan istimewa kerana istimewa di sini boleh menjelaskan pelbagai maksud. Mungkin juga berambut cantik, berambut pelik dan sebagainya. Jika hendak menggantikan ayat yang lebih sesuai ialah "yang rambutnya sangat istimewa atau yang rambutnya sangat luar biasa sekarang ini". Maksud "teristimewa" ialah "yang luar biasa, yang sangat khas, terkhusus"(Kamus Dewan Edisi Keempat).Jika ayat "yang rambutnya teristimewa" digunakan, maka ayat ini salah kerana ayat yang digunakan berbunyi" yang rambutnya yang luar biasa" . Penggunaan "yang" dua (2) kali berturut-turut dalam ayat bahasa Melayu adalah tidak sesuai dan hendaklah dielakkan. Jawapan 2: "yang" adalah kata hubung dalam bahasa Melayu. Kata hubung bermaksud menghubungkan satu perkataan dengan perkataan yang lain. Contohnya: Saya membeli baju yang berwarna hijau. Perkataan "yang" menghubungkan perkataan "baju" dan "berwarna". Perkataan "yang" hanya biasa digunakan dalam penulisan seperti slogan, puisi atau pantun dan seumpamanya sahaja. Contohnya: "Yang indah itu bahasa".
| Tatabahasa | 29.03.2013 |